Andainya PRU14...
Oleh Lim Hong Siang
Sudah dua penggal berturut-turut
UMNO-Barisan Nasional tidak meraih majoriti dua pertiga dalam Dewan
Rakyat. Gelombang tsunami pertama membadai tanpa dijangka pada 8 Mac
2008, dan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi tidak
bersedia untuk berdepan dengannya. Parti pembangkang berjaya
merangkul 82 daripada 222 kerusi parlimen, di samping mengambil alih
5 buah kerajaan negeri.
Gelombang tsunami kedua sememangnya
dijangka bakal melanda PRU13 pada 5 Mei 2013, cuma tidak pasti sejauh
mana impaknya. Malah UMNO-Barisan Nasional telah bersedia untuk
situasi “seandainya BN ditewaskan”. Bersedia tidak bermaksud
“melepaskan kuasa seandainya kalah”, tetapi boleh jadi “bagaimana
mempertahankan kuasa sungguhpun dikalahkan”.
Akhirnya BN menang kerusi sungguhpun
kalah undi. Pakatan Rakyat mara selangkah lagi ke depan, dengan 89
kerusi Dewan Rakyat, tetapi sekadar mampu mempertahankan 3 kerajaan
negeri.
Kesudahan ini disambut dengan perasaan
berbaur. Untuk UMNO-BN, mereka gembira kerana masih memegang 60%
kerusi parlimen, dan merampas semula kerajaan negeri Kedah, juga
mempertahankan kerajaan negeri Perak yang dirampasnya pada tahun
2009. Namun BN kehilangan kerusi dan undi yang lebih banyak
berbanding apa yang dicapai Pak Lah dalam PRU12.
Untuk Pakatan Rakyat, semestinya ia
dikecewakan kerana matlamatnya untuk menawan Putrajaya tidak
kesampaian. PR hanya boleh senyum dengan memaksa dirinya menerima
keputusan ini secara positif. Untuk kali pertama jumlah undi yang
diperolehi “pembangkang” mengatasi “pemerintah”, dan lebih 8
kerusi parlimen diperolehinya berbanding PRU12.
Ini sejarah. Padahal di negara
demokrasi yang lain, adalah memadai seandainya parti pemerintah
menang sekadar dengan majoriti mudah dalam pilihan raya. Cuma di
Malaysia, UMNO-BN yang selama ini selesa dengan majoriti dua pertiga,
menggariskan matlamatnya pada paras dua pertiga. PM yang gagal
mencecahnya, akan digulingkan dalam parti.
Najib Razak sepatutnya dijatuhkan
selepas PRU13, tetapi beliau bernasib baik sungguhpun dirinya bangkit
dengan menjatuhkan Abdullah yang gagal mencapai majoriti dua pertiga.
Persoalannya, apakah pemimpin UMNO yang lain sanggup memberi peluang
kepada Najib sekali lagi, untuk terus menerajui tampuk kuasa, jikalau
gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU14?
Padahal, Najib, 64, telah memegang
kuasa untuk 8 tahun, PM yang ketiga panjang tempoh pemerintahannya
setakat ini. Timbalannya adalah Ahmad Zahid Hamidi yang sebaya
dengannya. Anak tangga kuasa ketiga diduduki Hishammuddin Hussein,
56, dan seterusnya, Khairy Jamaluddin, 41, yang semakin menonjol
sebagai pewaris kuasa pada masa depan.
Najib terselamat sekali lagi meskipun
terpalit dengan skandal 1MDB, lantaran pendedahan skandal RM2.6
bilion oleh Wall Street Journal pada 2 Julai 2015. Namun
dengan segala kuasa dalam tangannya, Najib memecat Muhyiddin Yassin
yang teragak-agak untuk bertindak lebih awal ketika itu.
Penghalangnya dialih, talian hayat politiknya dilanjutkan, dan kini
Najib berdepan dengan cabaran dalam PRU14.
Apa yang jelas, jikapun UMNO-BN tidak
ditumbangkan dalam PRU14, kepimpinan Najib tetap dipersoalkan,
sekiranya status quo gagal dipertahankan. Ini bermakna
seandainya UMNO-BN gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam
Dewan Rakyat, atau jikalau Pakatan Harapan berjaya menembusi lagi
beberapa kerajaan negeri, misalnya Kedah, Johor atau Perak.
Kepimpinan Najib akan dipertikaikan jikalau BN menang kurang daripada
133 kerusi parlimen, atau UMNO memperolehi kurang daripada 88 kerusi
parlimen sebagaimana yang tercapai dalam PRU13.
Justeru itu, Najib sebenarnya
menghadapi tekanan untuk melonjakkan prestasi UMNO-BN secara
keseluruhan. Tetapi jikalau Najib berjaya merampas kerajaan negeri
Selangor, ini mungkin “jasa” untuk menebus “dosa”-nya. Atau
jikalau UMNO merampas semula kerajaan negeri Kelantan yang hilang
dari tangan UMNO sejak tahun 1990, ini juga prestasi yang mampu
memahat namanya sebagai PM yang kedua panjang tempoh pemerintahannya,
barangkali.
Apapun, ini cuma teori atas kertas
bahawa hayat politik seseorang pemimpin politik ditentukan
berdasarkan prestasinya. Mana-mana pemimpin yang gagal mencapai
KPI-nya, akan di-rehat-kan, kalau dirinya enggan memberi laluan.
Cuma, perkembangan politik beberapa
tahun kebelakangan memperlihatkan bagaimana pemimpin politik berada
di tempatnya bukan kerana kepimpinannya, tetapi kekuasaannya.
Lebih-lebih lagi, ia disokong dengan budaya dalam parti yang taat
secara membuta tuli, ataupun terlalu takut untuk mempersoalkan
pemimpin.
Padahal, Najib berada pada tempatnya
bukan kerana kepimpinannya, tetapi kelicikannya memecah-belahkan
pembangkang, dan kekerasannya untuk memancung musuh dalaman.
Lama-kelamaan, sistem ini mengekalkan mereka yang paling licik
berpolitik, dan bukan paling layak sebagai pemimpin. Mengikut logik,
parti sedemikian akan menjadi semakin lemah kerana tanpa kepimpinan
yang baik.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.