https://critoxium.com/shop/

Terkini

UMNO tunjuk prinsip tegas, strategi bijaksana dalam kerajaan


Saya tertarik dengan pendedahan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mengenai wujudnya 'tangan-tangan gatal' yang sengaja mengusik garis merah UMNO.

Mohamad secara terbuka menegaskan terdapat pihak yang 'amat sakit hati' dengan UMNO kerana keupayaan sebenar parti itu untuk menyekat dasar bercanggah dengan kepentingan Melayu, Islam dan institusi negara.

Kenyataan beliau amat jelas: "Apa yang mereka nak buat, kalau UMNO tak setuju dalam Kabinet, maka Kabinet tidak akan dapat persetujuan."

Kenyataan ini memperlihatkan satu realiti penting yang sering dinafikan naratif lawan, iaitu UMNO bukan sekadar rakan gabungan, tetapi juga sebagai veto player dalam proses pembuatan keputusan kerajaan.

Inilah faktor utama mengapa UMNO menjadi sasaran provokasi berterusan, kerana selagi UMNO berada dalam kerajaan agenda unilateral pihak tertentu tidak boleh dilaksanakan sesuka hati.

Mohamad turut mendedahkan motif sebenar provokasi ini, iaitu untuk memancing UMNO keluar dari kerajaan: "Pelbagai usaha dibuat untuk menaikkan emosi, amarah kita dengan harapan besar supaya UMNO tinggalkan kerajaan. Maka bersoraklah mereka jika kita buat begitu, inilah yang mereka nak."

Jika UMNO keluar dari kerajaan, imbangan kuasa dalam Kabinet dan Parlimen akan menjadi jauh lebih berat sebelah, membuka ruang kepada pengulangan pendekatan Pakatan Harapan (PH) 1.0, seperti diingatkan Mohamad.

Pengalaman 2018-2020 membuktikan bahawa tanpa UMNO sebagai pengimbang, dasar sensitif boleh dikemukakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira sensitiviti politik Melayu-Islam mendalam.

Garis hujah ini diperkukuh Ucapan Dasar Presiden UMNO 2025 oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang secara jujur mengakui kos politik terpaksa dibayar UMNO: "UMNO dihina, dicaci dan dilabelkan sebagai UMDAP... UMNO dituduh takut dan tunduk kepada rakan-rakan politik di dalam Kerajaan Perpaduan."

Nafi korbankan prinsip perjuangan

Namun, Ahmad Zahid dengan tegas menolak naratif UMNO mengorbankan prinsip perjuangannya. Malah, beliau menyenaraikan bukti substantif mengenai keberkesanan strategi penentangan UMNO dari dalam kerajaan.

Antaranya, penolakan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berpotensi menghakis pemilikan serta suara orang Melayu di bandar, bantahan terhadap pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang bersifat berat sebelah serta penolakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mencabar kerangka sistem pendidikan nasional.

Soalan Ahmad Zahid sangat signifikan dari sudut analisis politik: "Apakah semua ini boleh dikatakan sebagai mencairkan agenda perjuangan Melayu?"

Jawapannya jelas tidak. Sebaliknya, ia menunjukkan UMNO hanya mampu menegaskan prinsip ini kerana berada dalam kerajaan, bukan di luar.

Dalam konteks lain pula, pendekatan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang cenderung mendesak partinya keluar dari Kerajaan Perpaduan mencerminkan denyut emosi akar umbi Melayu yang marah, kecewa dan muak dengan penghinaan terhadap UMNO.

Namun, politik negara tidak boleh digerakkan hanya dengan luahan emosi semata-mata, tetapi lemah dari segi keuntungan strategik. Keluar dari kerajaan tidak akan melemahkan Kerajaan Perpaduan sebaliknya menghadiahkan ruang kuasa kepada pihak lain.

UMNO mungkin mendapat kepuasan moral jangka pendek, tetapi akan kehilangan keupayaan mempengaruhi dasar negara secara langsung. Di sinilah perbezaan ketara antara kepemimpinan sayap dan kepemimpinan veteran.

Pemimpin seperti Ahmad Zahid dan Mohamad tidak menafikan emosi akar umbi, tetapi mereka melihat lebih jauh. Mereka memahami satu hakikat asas politik kuasa, iaitu meninggalkan medan bukan kemenangan.

Selagi UMNO berada dalam kerajaan, parti itu boleh menghalang dasar bercanggah, membentuk keputusan dari dalam dan membina semula keyakinan Melayu melalui bukti. Sebaliknya, keluar dari kerajaan hanya akan mengulangi kesilapan lalu, iaitu menjadi kuat di pentas ceramah, tetapi lemah di meja keputusan.

UMNO hari ini berdepan dilema besar antara emosi dengan keperluan strategi. Kenyataan Ahmad Zahid dan Mohamad memberikan garis panduan jelas kepada seluruh kepemimpinan dan ahli parti. Garis merah parti mesti dipertahankan dengan tegas, namun provokasi tidak wajar dilayan dengan keputusan tergesa-gesa dan bersifat reaktif.

Ketegasan sebenar UMNO bukan diukur melalui keluar atau masuk kerajaan, sebaliknya melalui keupayaannya memastikan tiada dasar besar negara diluluskan tanpa persetujuan parti itu. Inilah kekuatan sebenar parti dan inilah juga sebab mengapa UMNO terus menjadi sasaran provokasi politik berterusan.

Dalam hal ini, Mohamad turut memberi peringatan jelas dan berprinsip: "Berhati-hatilah. Walaupun UMNO berada dalam kerajaan, sekiranya garis merah ini dilangkaui - sama ada kita berada dalam Kabinet atau tidak - jangan ada pihak mengambil kesempatan. UMNO tidak teragak-agak untuk memikirkan semula keberadaan kita dalam kerajaan."

Nada sama turut dizahirkan Ahmad Zahid sebelumnya apabila beliau menegaskan: "Namun, jika ada pihak yang cuba memperlekeh kesetiaan ini, jika kesabaran dianggap sebagai kelemahan dan jika cemuhan serta perlecehan terus dihamburkan terhadap keluarga besar UMNO, maka tindakan sedemikian ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak."

Hakikatnya dalam politik matang, yang paling lantang tidak semestinya paling bijaksana dan yang paling sabar selalunya paling berpengaruh. UMNO memerlukan lebih banyak kebijaksanaan strategik seperti ini sekiranya parti berkenaan benar-benar mahu bangkit semula sebagai parti teras Melayu yang relevan, berwibawa dan berkuasa.

Penulis adalah Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.