AHLI politik veteran Mohd Isa Abdul Samad tidak pernah sunyi daripada
kontroversi sejak berkecimpung dalam politik Malaysia pada 1978 selepas
menang kerusi Linggi, Negeri Sembilan, dan kemudian dilantik menjadi
exco negeri sehingga 1982.
Bekas guru itu mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan selama 22 tahun
sebagai menteri besar sejak 1982. Keahliannya dalam Umno digantung
selama tiga tahun dari Jun 2005 hingga Jun 2008. Pada mulanya keahlian
beliau digantung enam tahun, tetapi dikurangkan kepada tiga tahun.
Hukuman tersebut dibuat oleh lembaga disiplin parti yang mendapati
beliau terbabit dalam politik wang ketika bertanding untuk jawatan naib
presiden bagi tempoh 2004-2007. Beliau didapati terbabit membeli undi.
Beliau menang dalam petandingan jawatan naib presiden dengan meraih
1,507 undi berbanding pencabarnya ketua menteri Melaka pada masa itu,
Mohd Ali Rustam (1,329) dan Muhyiddin Yassin yang juga menteri
perdagangan antarabangsa dan industri dengan 1,234 undi.
Tetapi kemenangannya dibatalkan ekoran kes rasuah tersebut.
Kini, ketua Umno Bahagian Teluk Kemang yang popular itu terpalit lagi
dengan kes rasuah melibatkan pemilikan tanah Felda bernilai RM270 juta
di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dipindahkan dalam keadaan
mencurigakan.
Lembaga pengarah Felda mendakwa mereka tidak tahu menahu mengenai transaksi itu, yang berlaku ketika Isa menjadi pengerusinya.
Siasatan dalam kes tanah di Jalan Semarak itu masih dijalankan.
Felda, agensi yang ditubuhkan pada 1956 bertujuan untuk menangani
penempatan semula golongan luar bandar yang miskin ke kawasan
pembangunan baharu dan menyusun pekebun kecil, sepatutnya menjadi
platform terbaik bagi Isa untuk kembali dalam arena politik selepas
penggantungannya.
Sebagai pengerusi Felda dari 2011-2017, Isa menyelia kawasan
rancangan yang menempatkan kira-kira 54 daripada 222 kerusi Parlimen di
seluruh negara.
Kawasan ini merupakan bank undi kerana 1.2 juta pengundi di tanah
rancangan yang membentuk 5% daripada jumlah pengundi dalam negara
memilih parti kerajaan sejak enam dekad lalu. Tentulah ini satu "deposit
tetap" bagi Umno.
Tetapi ahli politik berusia 68 tahun itu mensia-siakan peluang untuk
memenangi hati dan budi peneroka Felda dan kembali ke arena politik
apabila masalah mula timbul pertengahan 2017 ketika timbul pertengkaran
pengurusan antara Isa dan CEO Felda Global Ventures Holdings Berhad
(FGV), Zakaria Arshad.
Susulan itu timbul dakwaan salah pengurusan yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Desakan supaya Isa yang juga lembaga pengarah FGV disingkirkan
menjadi semakin kuat apabila Zakaria diminta meletak jawatan dan
seterusnya digantung tugas, apabila beliau enggan berbuat demikian.
Ketika Isa dilantik oleh kerajaan pada 2011, tugas utamanya ialah
untuk membimbing Felda sehinga FGV, pengeluar minyak mentah terbesar
dunia, berjaya disenaraikan. Felda tersenarai pada 2012 dengan penuh
gahnya, namun pendapatannya terus merudum pada masa ia dilingkari
tuduhan rasuah.
Isa disingkir dari jawatan pengerusi apabila prestasi Felda semakin buruk dan semakin banyak aduan diterima.
Dalam perkembangan lain, Isa direman selama lima hari pada 17 Ogos,
2017 bagi membolehkan SPRM menyoal siasatnya berhubung pembelian hotel
di London oleh Felda Investment Corporation (FIC), yang turut
ditadbirnya sebagai pengarah bukan eksekutif dari 2013 hingga 2017.
SPRM menyiasat dakwaan berhubung percanggahan dalam urusan pembelian
Hotel Park City di kawasan mewah Kensington di London antara 2013 dan
2015. FIC dilaporkan membeli hotel itu pada harga tinggi RM330 juta
berbanding harga pasaran RM110 juta pada masa itu.
Selain itu, urus niaga yang mencurigakan dalam pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak oleh Felda juga disiasat.
Isa tiba di kompleks mahkamah Putrajaya dengan kenderaan MPV berwarna
hitam, ketika pendakwaan memohon perintah reman. Beliau memakai baju
tahanan reman SPRM berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah, tetapi tidak
digari atas “sebab kesihatan”.
Walaupun bekas pengerusi Felda itu nampak tenang ketika disoal oleh
pegawai SPRM, beliau dilaporkan tidak dapat memberikan jawapan yang
jelas dan tegas tentang perkara itu ketika keterangannya diambil.
Pada masa lalu, Isa turut berdepan cabaran dan kegagalan dalam
politik, tetapi beliau tetap mampu mengatasinya. Misalnya, selepas
penggantungan keahliannya dalam Umno dibatalkan, beliau bertanding bagi
kerusi Jempol dalam pilihan raya umum 2004 – dan menang.
Beliau kemudian dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan sehingga
2005 di mana beliau terpaksa mengosongkan jawatan itu kerana didapati
bersalah atas tuduhan mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti
berkenaan.
Pada 2009, Isa kembali lagi. Beliau dipilih untuk bertanding dalam
pilihan raya kecil (PRK) Bagan Pinang bagi mengisi kekosongan selepas
kematian Adun Azman Mohammad Noor. Isa menang dengan majoriti 5,435
undi, menewaskan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.
Kemenangan Isa itu dianggap “mengembalikan maruah Umno” kerana ia
merupakan kemenangan pertama untuk BN selepas tewas dalam sembilan PRK
terdahulu.
Ia dianggap kemenangan besar memandangkan BN masih lagi cuba pulih
selepas hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dalam PRU 2008.
Selain itu, beliau juga masih berpengaruh besar dalam di kalangan
penyokong Umno di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, antara negeri yang
bakal menyaksikan persaingan sengit dalam PRU akan datang.
Beliau juga disukai oleh sesetengah pengundi bukan Melayu di negeri
itu, terutama sekali kerana beliau pernah membantu penduduk kampung Cina
di Lukut mendapatkan geran tanah yang diduduki selama bertahun-tahun.
Dalam latar ini, pelantikan Isa sebagai pengerusi Felda oleh Perdana Menteri Najib Razak dianggap sebagai langkah strategik.
Isa nampaknya masih mempunyai pengaruh politik, walau dengan
pencapaiannya yang teruk di Felda. Selepas disingkirkan dari Felda dan
jawatannya diganti oleh Shahrir Samad, Isa dilantik memangku jawatan
pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang rata-rata
menganggap sebagai “habuan” daripada Najib.
Namun begitu, persoalan masih timbul, sama ada nasib Isa dalam
politik masih dapat diselamatkan atau tidak kali ini oleh pucuk
pimpinan.
Ini memandangkan, Umno dan BN perlu membuat taruhan besar dalam
pilihan raya umum kali ini kerana akan menghadapi cabaran kuat dari
pembangkang yang kembali bergabung.
Bolehkah Isa Samad diselamatkan sekali lagi?
Reviewed by DetikDaily
on
Januari 01, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Saya tertarik dengan pendedahan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.