Keputusan kes Ridhuan perlu selesai ikut Islam
Oleh UST DR (H) MOHD ALI JAMIL
Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) merasa terpanggil berkongsi rasa prihatin dan bimbang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.
Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) merasa terpanggil berkongsi rasa prihatin dan bimbang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.
Dalam hal ini, DUPWP tidak berhasrat mempertikaikan keputusan
Mahkamah Persekutuan semalam yang telah menetapkan keputusan tersebut.
Cuma, sebagaimana banyaknya pandangan yang dikemukakan pada hari ini,
timbul kebimbangan bahawa kes ini akan menjadi rujukan di masa akan
datang. Ia bakal menjadi polemik yang mengeruhkan keharmonian agama dan
perpaduan kaum di negara ini.
Dalam konteks negara ini, Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1)
telah menyatakan secara jelas bahawa Islam adalah agama Persekutuan.
Bahkan Mahkamah Syariah pindaan pada Perlembagaan Persekutuan 1988
dengan memasukkan perenggan 1A Perkara 121 di bawah Perlembagaan
Persekutuan yang menghadkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri
perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Bagaimana umat Islam yang mengikuti perkembangan kes ini boleh berdiam
diri dari memberi pandangan bahawa kedudukan perenggan 1A Perkara 121
seperti tidak terpakai dalam kes yang berlaku semalam.
Semangat yang terkandung dalam Perenggan 1A Perkara 121 adalah
tidak lain bagi memelihara umat Islam di negara ini serta mengangkat
kedudukan agama Islam di negara ini. Dalam maksud yang lain, kedudukan
Mahkamah Sivil tidak dipertikaikan, tetapi dalam masa yang sama
kedudukan Mahkamah Syariah perlu dijulang dan dihormati sebaiknya.
Bagaimana nantinya kes ini berpanjangan dengan banyak lagi tuntutan
dari pelbagai pihak yang akhirnya jika kes ini dirujuk, ia akan
menyebabkan kerugian dan kekalahan kepada umat Islam. Ia menjadi
ketakutan kepada ibu bapa yang mahu memeluk Islam, kerana bimbang
kehilangan hak terhadap anak-anak, serta tidak mempunyai kuasa untuk
membawa anak-anak bersama memeluk Islam. Dalam konteks dakwah, keputusan
ini membantutkan hasrat murni mereka yang mahu memeluk Islam kerana
bimbang halangan dan kehilangan terhadap keluarga, isteri dan anak-anak.
Justeru, DUPWP mengharapkan campurtangan kerajaan dengan memastikan
polemik ini tidak berpanjangan dengan penyelesaian terbaik untuk umat
Islam. Kita tidak mahu Islam dipandang hina, diperlekeh dan direndahkan
sehingga ianya tidak ada nilai dalam sebuah negara yang mengaku sebagai
sebuah negara Islam.
UST DR (H) MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.