Pak Ya Cong Codei
Oleh
Drama Pak Ya Cong Codei
terbitan Balang Rimbun menjadi fenomena. Nama Sabri Yunus sebagai
pengarah dan pelakon utama berselerak di media sosial. Kisah Pak Ya
gedebe Kelantan ini juga menjadi topik bual, dari restoran lima bintang
hingga gerai mamak di kaki lima.
Ironinya drama ini tidak ada pelakon
yang popular tahap “gila”. Tidak ada watak CEO muda bergaya dengan
kereta ultra mewah yang kerjanya bercinta di sepanjang drama. Lalu, apa
sebenarnya faktornya Pak Ya Cong Codei?
Oleh hal yang demikian, kita wajar berbangga apabila Pak Ya Cong Codei
menjadi topik bualan di pelbagai lapisan masyarakat. Ini menunjukkan
wacana kemanusiaan yang dibawa oleh drama ini sampai kepada sasaran
khususnya penonton drama Melayu.
Selama ini sebahagian besar drama Melayu
di televisyen tidak lebih satu eskapisme sosial. Drama-drama menuntut
kita meninggalkan realiti dan masuk dalam eskapisme sosial. Sebaliknya
drama adalah sebuah interpretasi semula realisi sosial itu.
Ia bukan sebuah realiti sebagaimana
anutan sesetengah pembuat drama atau filem yang bersungguh-sungguh
memaparkan “realiti” yang mereka fahami. Kalau dunia pelacur mesti
menunjukkan perbuatan melacur. Ini adalah penyakit kronik sesetengah
pembuat drama atau filem kita. Hingga ada pembuat filem berkata, kalau
adegan seks filemnya dipotong hilang “mesej” filem itu. Apa ni?
Pak Ya Cong Codei dirasakan
begitu dekat dengan penonton bukanlah realiti tetapi sebuah
interpretasi. Sabri Yunus membuat intreperpretasi semula realiti itu
kemudian diletakkan dalam milieu sosial yang digarap dengan penuh sedar
akan estitekanya. Milieu (latar sosial) dalam drama ini sangat baik
persembahannya; sebuah komuniti orang Kelantan di pinggir Kuala Lumpur.
Malah ini menjadi sebahagian daripada karakter drama ini.
Elemen kedaerahan misalnya komuniti
Kelantan dan dialog dalam loghat Kelantan adalah sebahagian milieu
sosial. Bagaimanapun tetap Malaysia kalau pun tidak global sifatnya.
Imej Kuala Lumpur sebenarnya sangat klise dan basi dari relung lensa
banyak drama Melayu. Tetapi Sabri Yunus mengungkap Kuala Lumpur dari
sudut pandang geografi dan sosial yang lain.
Kekuatan Pak Ya Cong Codei pada
wacana sosial dan kemanusiaan yang diangkatnya. Ceritanya seorang mafia
kampung yang gedebe dari Kelantan diupah oleh seorang peguam terkenal
mencari anaknya yang diculik pekerjanya sendiri.
Saya selalu percaya filem atau drama
bukanlah cerita. Sebagai sebuah karya seni, cerita yang menarik
sekalipun tidak ke mana kalau tidak membawa wacana. Kosong. Oleh itu
wacana kemanusiaan yang dihamparkan Sabri Yunus lebih besar daripada
ceritanya tentang mafia kampung dan rencah seksual pada permulaannya.
Pak Ya dibawa keluar dari watak klise
mafia yang gemar membunuh, setidak-tidaknya samseng dengan orang
sekeliling. Pak Ya seorang yang humanis, musuh yang mahu membunuhnya,
Datuk Sahak dibiarkan terus hidup dengan deraan keinsafan. Pak Ya
menekankan dialog yang dia bukan pembunuh, yang paling kejam dilakukan
hanya menembak di telinga hingga tembus.
Kenapa Sabri Yunus mengemukakan watak
Datuk Sahak sebagai peguam? Saya fikir bukan kebetulan sebaliknya
terancang. Sabri Yunus mahu memberitahu, orang yang arif undang-undang
yang berjaya melanggar undang. Datuk Sahak menjalankan perniagaan haram
dengan Tony. Tetapi Pak Ya yang tidak arif undang-undang, mafia pula
tetapi dia ada kelebihan kerana ada jiwa dan humanis.
Kerana itu juga Pak Ya memberikan semua
upah RM40,000 mencari anak Datuk Sahak kepada ibu Rashdan, lelaki yang
melarikan anak Datuk Sahar. Dia melarikan kerana dendam. Ibu Rashdan
memerlukan RM40,000 untuk pembedahan jantung. Kesudahannya Pak Ya balik
ke kampungnya dengan tangan kosong. Pak Ya mafia yang gagal kerana ada
kemanusiaan dalam dirinya.
Saya melihat hal-hal kemanusiaan
diungkap dengan pendekatan yang sangat menarik. Rashdan yang menculik
anak Datuk Sahak bukan kerana jahat. Dia hanya mahu membalas dendam
terhadap pembunuhan ayahnya oleh Datuk Sahak. Tetapi di suatu tahap,
kemanusiaan mengatasi dendam dan berhasrat menyerahkan gadis itu kepada
keluarganya. Adegan Rashdan berhujah dengan gadis yang diculik itu
sangat menarik dan terkawal pembikinannya.
Banyak juga drama lain yang cuba membawa
isu kemanusiaan tetapi banyak juga terperangkap dengan didaktik, ala
khutbah dan dialog yang membosankan. Ini disebabkan tidak mampu mengikis
keterujaan untuk memberi “mesej”. Apa itu mesej?
Karya seni bukan membawa mesej. Tidak
perlu menonton drama kalau hendak mendapatkan mesej, dalam Whatsapp
Group sangat banyak mesej “yang baik-baik”. Karya seni membawa wacana
pemikiran pembuatnya, maka khalayak kenalah berfikir, bukan menelan
bulat-bulat seperti membaca Whatsapp.
Kesimpulannya drama Pak Ya Cong Codei
yang tidak ada pelakon kacak dan jelita, penuh gosip dan skandal dengan
VIP itu dan ini, kereta mewah menjalar, ruang pejabat mewah,
seolah-olah sedemikianlah kedudukan orang Melayu dalam perniagaan tetapi
tetap menarik perhatian semua lapisan penonton. Ini membuktikan formula
basi membariskan “batang pisang” membuat catwalk di depan kamera
sebenarnya tidak terbukti berjaya. Harap pembuat drama sedar akan
hakikat ini.
(IKLAN: Antara buku-buku terakhir Ahmad Lutfi Othman: Catatan Hujung, Pencuri Pilih Anjing, dan Lorong Sunyi Media Bebas. Sesiapa yang belum memilikinya, dan berminat, boleh hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291, dengan harga istimewa, potongan 50%.)
Nantikan kemunculan buku terbaru beliau berjudul "Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti."







Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.