https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRU14: Masih adakah harapan untuk anak muda?

Oleh Rahman Imuda

 SAYA merupakan antara orang yang muak dengan konflik calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) jika mereka berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Meletakkan calon berusia 92 tahun sebagai perdana menteri merupakan tawaran yang paling popular. Terdapat juga suara-suara yang mencadangkan Azmin Ali untuk memegang posisi itu. Menurut Dr Wan Azizah, suaminya, Anwar Ibrahim bakal dibebaskan menjelang Jun tahun ini dan saya fikir adalah masuk akal untuk menjangkakan PRU14 akan berlaku sebelum Anwar dibebaskan.

Pemerintah pastinya tidak mahu Anwar terlibat dalam “usaha membereskan” masalah-masalah yang ada pada PH. Secara peribadi saya yakin kehadiran Anwar sedikit sebanyak akan membantu proses memperkukuhkan PH kelak. Adakah mungkin Anwar masih boleh dicalonkan sebagai PM jika PH memenangai PRU14? Atau soalan yang lebih sesuai adakah Dr Mahathir akan merelakan Anwar menjadi PM jika PH berkuasa?

Kuasa undi anak muda

Pergaduhan “gergasi politik” yang sudah tua ini memberi kesan kepada para pengundi, terutamanya pengundi muda. Saya fikir jauh lebih baik jika kita berbincang soal polisi dan dasar berbanding membincangkan figura-figura politik yang sememangnya kehausan kuasa.

Seharusnya itu yang lebih menonjol untuk menawan undi rakyat Malaysia, dan inilah yang dilakukan oleh Pemuda PH apabila mereka menganjurkan konvensyen untuk memberikan janji kepada anak muda jika PH diberikan mandat untuk menjadi kerajaan.

Saya pasti para pemikir yang ada di Pemuda PH menyedari kebanyakan anak muda pada hari ini mengalami “voter fatigue”, satu kondisi yang menyebabkan mereka merasakan undi mereka tidak akan membawa perubahan. Terutamanya, apabila melihat blok pembangkang dan pemerintah tidak mempunyai perbezaan yang terlalu ketara.

Hal ini disokong oleh kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lepas, iaitu berdasarkan statistik mereka setakat Februari 2017, kira-kira 45% daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih 4 juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi.

Bagi memberi keyakinan semula kepada anak muda, mereka menawarkan 10 janji yang akan dilaksanakan sekiranya berkuasa kelak.

Mansuh GST

Janji pertama yang saya lihat pada laporan konvensyen Pemuda PH adalah penghapusan cukai GST yang telah dilaksanakan sejak 1 April 2015. Saya percaya penghapusan GST merupakan janji yang paling populis berbanding janji-janji lain kerana ia sudah mula kendengaran sebelum ia dilaksanakan lagi.

Walaupun saya amat bersyukur jika GST dimansuhkan, tapi saya fikir ia penting untuk pendapatan negara, lebih-lebih apa yang dijanjikan oleh Pemuda PH memerlukan biaya.

Jika dengan GST belanjawan negara masih menemui defesit, mungkinkah setelah meneliti belanjawan “janji-janji” ditambah dengan pemansuhannya kita akan mendapat belanjawan yang lebih baik?

Saya fikir masalah utama yang ada pada GST adalah rakyat tidak melihat “pulangan semula” wang mereka, ditambah dengan pelbagai skandal yang terpapar pada dada akhbar. Jika kutipan GST sebanyak 41.2 bilion (2016) itu mampu memastikan harga keperluan asas tidak naik, harga transportasi baik, belanja kesihatan dan pendidikan tidak dipotong dan peluang pekerjaan semakin banyak, saya tidak fikir rakyat akan mengeluh.

Wajar juga jika PH mengkaji cukai-cukai sedia ada dan boleh dikenakan kepada golongan maha kaya di Malaysia; cukai koperat, cukai pewarisan dan cukai harta. Cukai-cukai ini boleh menyumbang kepada meningkatkan pendapatan negara, dan boleh membantu dalam proses pemansuhan/penurunan kadar GST di negara ini.

Dilema anak muda

Untuk merangka manifesto yang baik, memahami krisis dalam kalangan anak muda adalah penting. Saya fikir Pemuda PH telah melakukan kerja yang baik dalam memahami krisis dan kegusaran anak muda pada hari ini. Kos sara hidup, peluang pekerjaan, hutang pendidikan dan pemilikan aset merupakan antara dilema utama yang dimiliki oleh anak muda pada hari ini.

Untuk peluang pekerjaan Pemuda PH memberikan janji untuk mengurangkan pekerja asing di negara ini dengan mewujudkan pusat pekerjaan di setiap negeri. Saya pasti mereka akan memberitahu kita mekanisme pelaksanaan manifesto ini kelak. Apa yang pasti, “peluang pekerjaan” di negara ini perlu diperbaiki dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada para graduan yang memiliki hutang tertampal di dahi mereka.

Bagi isu pendidikan pula, mereka menawarkan pendidikan percuma untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) disertai dengan geran sara diri. Bagi peminjam PTPTN pula, mereka percaya graduan tidak perlu membayar sehingga gaji mencecah RM4000. Bagi saya, ada beberapa persoalan yang wajar kita ajukan kepada mereka.

Sebagai contoh, bagaimana mereka ingin menguruskan kos pendidikan percuma jika GST dimansuhkan? Kemudian berapa lama agaknya masa yang akan diambil oleh graduan untuk menikmati gaji RM4000 jika gaji penengah kita masih terlalu jauh dari angka itu? Jika bayaran semula kurang memberangsangkan kerana polisi RM4000, bagaimana nasib dengan peminjam seterusnya?

Boleh dipermudahkan lagi

Saya berpandangan beberapa manifesto mereka berfungsi sebagai gimik dan ia tidak salah. Sebagai contoh, tawaran siaran EPL percuma jika PH menang untuk memberi galakan rakyat menghabiskan lebih banyak di rumah.

Saya sedar ia merupakan gimik politik, tetapi berbanding mensasarkan janji ini kepada “sekelompok” pengundi lebih baik menawarkan untuk semua. Bukankah baik jika mereka berjanji untuk membawa lebih banyak syarikat televisyen berbanding dengan beberapa syarikat dominan yang terkenal dengan mengulang-ulang siaran mereka.

Samalah seperti janji penurunan 50% kos jalur lebar, membawa lebih banyak syarikat masuk lalu membiarkan persaingan berlaku pasti akan lebih memudahkan usaha mereka untuk menurunkan harga jalur lebar.

* Rahman Imuda adalah aktivis mahasiswa.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.