Sebagai sebuah parti politik ia perlukan kuasa. Sebagai pembangkang, Pas belum mampu mendukung perubahan. Ia memerlukan regu yang berkesan untuk memerintah negara.
Realiti politik Malaysia terlihat dalam tiga arah. Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dijangkakan UMNO dan Barisan Nasional memilih satu arah meneruskan kepimpinan negara. 

Pakatan Harapan dengan gabungan PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang cuba merebut kuasa membentuk suatu arah yang lain. Sementara Pas dengan politik matang dan sejahteranya memi­lih arah sendiri untuk berkuasa.

Politik Malaysia memerlukan kesinambungan dan kemena­ngan dua pertiga untuk menggerakkan perubahan. Apa lagi perubahan ke arah memartabatkan Islam dalam sistem. Islam tidak boleh lahir secara nyata tanpa dukungan politik majoriti. Pendekatan retorik dan kenyataan yang umum sifatnya tidak ba­nyak memberi kesan perubahan. Menunggu Islam terbina dengan harapan pasang siap bukanlah satu perjuangan yang bijaksana.

Pas bukan sebuah badan dakwah dan tarbiah semata-mata tetapi badan politik. Sebagai badan politik, Pas harus membuat perhitungan politik.

Tidak cukup sekadar sifatnya membangkang. Tenaga ulama-ilmuwan, profesional dan teknokrat dalam Pas harus bergerak di arus perdana supaya ia membantu ke arah perubahan dasar yang lebih Islami.

Rasulullah SAW melakukan strategi perubahan dengan berhijrah ke Madinah dan memba­ngunkan Sahifah Madinah serta menyatukan pelbagai fahaman dan aliran untuk maslahah politik dan melakukan futul makkah untuk kembali memperjuangkan Islam di Mekah. Dan akhirnya dakwah berkembang subur dan Islam tertampil dengan baik.

Sebagai sebuah parti politik, Pas harus berjiwa besar dan memilih strategi bijaksana membaca senario Pakatan Harapan yang dikuasai DAP dan hala tuju negara masa depan supaya politik umat Islam dapat berada di tahap yang lebih mantap. Dukungan politik matang dan sejahtera hanya memberi makna sekiranya Pas yang berjiwa dai’ dan murabbi dapat sama-sama berperanan mengukuhkan pendekatan Islam dalam realiti masyarakat berbilang dan situasi yang kompleks.

Perjuangan UMNO umpama­nya sudah banyak mengalami perubahan. Perubahan ke arah Islam akan lebih rancak sekiranya kekuatan politik umat Melayu berada dalam tahap yang teguh dan kukuh. Ia boleh dilakukan sekiranya UMNO dan Pas bergandingan dalam perjuangan politik supaya perpecahan umat Melayu dapat diperbaiki dan jalan ke arah per­ubahan boleh terjadi dengan lebih baik lagi.

Idealisme Pas untuk memartabatkan Islam adalah baik. Tetapi realiti politik di Malaysia yang bermasyarakat majmuk memerlukan strategi bijaksana bagi melaksanakan sesuatu dasar. 

Perimbangan antara idealisme dan realiti amat dituntut supaya Islam di Malaysia menampilkan imej sederhana dan masyarakat Malaysia merasakan kehadiran Islam hendaklah sifatnya menyumbang untuk kebaikan umat manusia.

Pada hemat penulis, analisis yang dibuat dalam kalangan khalayak dan kajian yang dilakukan pelajar ada perubahan yang menarik ke arah kecenderungan kepada kerajaan yang ada dan penulis menjangkakan track-record UMNO dan BN memberi kemungkinan UMNO dan BN berkuasa lagi. 

Kepimpinan Pakatan Harapan masih bercelaru dan hilang hala tuju walaupun DAP yakin undi orang Cina boleh melakukan sesuatu yang mengejutkan.

Semasa PRU-13, kemenangan Pas sebahagiannya didukung oleh PKR dan DAP. Dalam PRU-14 nanti sekiranya Pas memilih jalan sendiri, ia bakal bertembung dengan pertandingan tiga penjuru yang tidak mudah bagi kemenangan Pas. Dahulu, pengaruh Pas didukung sama oleh orang yang hari ini berjuang dalam PAN. Pertandingan tiga penjuru berdepan dengan PAN menjadi cabaran kepada Pas.

Pas kena mencari regu yang lebih berkesan membawa kemenangan. Pertandingan dua penjuru di mana Pas bersama regu yang berwibawa bakal memungkinkan kemenangan yang lebih besar. Ini congak politik yang mudah.

Perbezaan ideologi antara UMNO dan Pas boleh dibincangkan. Sekiranya kerjasama politik tidak terjadi, pada hemat penulis, UMNO dan BN masih boleh menang seperti kemenangan yang berlaku dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari.

Memang Pas sering dikritik kerana rapat dengan UMNO. Ini petanda baik kerana Pas menginsafi apa yang berlaku di dunia Islam boleh terjadi di Malaysia.

Bayangkan, sekiranya umat Me­layu kehilangan kuasa politik dan DAP menjadi teras utama politik pakatan pembangkang meneraju Malaysia, apa akan jadi kepada nasib Islam yang diperjuangkan oleh Pas?

Pas boleh berasa lega hari ini kerana pemerintahan yang dibawa UMNO mengizinkan Bank Islam, Takaful, Sukuk, pelaksa­naan syariat, industri halal, pendidikan tahfiz dan Ulul Albab, pendekatan wasatiyyah menyantuni masyarakat, universiti Islam dan Kolej Universiti Islam di seluruh negara.

Perubahan dalam sistem akan menjadi lebih baik sekiranya Pas turut sama membinanya. Asas ke arah perubahan sudah mula terbina. Proses pengukuhan dan pemantapan amat dituntut. Ba­yangkan, kalau kerajaan yang memerintah mendapat majoriti dua pertiga, RUU 533 mempunyai jalan mudah untuk lulus di Parlimen.

Pendekatan matang dan sejahtera Pas harus dapat diterjemahkan dengan jiwa besar supaya kesatuan umat diteroka. Pas kena mencari regu yang sesuai dalam PRU-14 nanti supaya Malaysia boleh menjadi model umat Islam.