Tun M perlu diberikan kerusi selamat
SHAH ALAM - Keyakinan tinggi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerusi parlimen Gombak kekal disandang Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 nanti menyebabkan beliau sudi mengundur diri dan memberi kerusi kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri jika Harapan menang PRU14.
Disebabkan itu katanya, Tun Mahathir perlu diberi kawasan selamat.
“Atas andaian Gombak kawasan selamat untuk Harapan dan Mahathir pula masih tiada kawasan sesuai bertanding, jadi Azmin mungkin berpendapat kenapa bukan sahaja Gombak diberi kepada bekas perdana menteri itu kerana mungkin positif untuk menang,” katanya.
Nik Ahmad Kamal berkata, beliau ada terbaca komen mengenai Azmin berkemungkinan berasa goyah di parlimen Gombak hingga bagi laluan kepada Tun M.
Bagaimanapun katanya, samaada dakwaan itu benar atau tidak hanya boleh diketahui ketika PRU14 nanti.
“Saya ada baca komen seumpama itu. Mungkin ya atau tidak. Hanya masa PRU nanti kita tahu. Namun Azmin sendiri tahu kedudukan beliau dalam kalangan pengundi. Kita tahu majoriti pengundi di Gombak adalah Melayu, bekas ahli parlimen terdahulu pun dapati tak mudah untuk pertahan kerusi itu hingga dua penggal.
“Saya rasa Azmin pun faham dan peka hal ini. Gombak dianggap ‘sub-urban’ di mana majoriti pengundi golongan yang peka perkembangan politik semasa,”katanya.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, tawaran berkenaan mungkin kerana Harapan merasakan kerusi berkenaan dianggap sudah kuat atas kapasiti Harapan.
“Selalunya kerusi yang sudah Harapan rasakan kuat diserahkan kepada yang lain (calon lain) kerana merasakan pola pengundian adalah pada parti.
“Selalunya pengundi buat pilihan sama ada sebab parti, calon atau isu. Jadi bagi kerusi Gombak, mungkin Azmin sedia tukar sebab rasa sudah dibina kesetiaan pada parti,” katanya.
Mengulas kemungkinan tindakan Azmin itu kerana tidak yakin untuk mempertahankan kerusi parlimen Gombak, Sivamurugan beranggapan ia adalah unik khususnya bagi pengundi di Selangor.
“Saya rasa kerusi Parlimen Gombak unik kerana pengundi pasti tak mahu kehilangan pemimpin tertinggi negeri,” katanya.-S/Harian





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.