Hubungan PKR-PAN: Retak menanti belah?
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
MENGIKUT Fasal 3.3 dan Fasal 3.4 Perjanjian
Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 9 Januari 2016, hendaklah
wujud dalam PH itu "sebuah Badan Perantara (yang) dilantik oleh Majlis
Presiden" di mana badan yang dianggotai oleh seorang wakil dari setiap
parti ini berfungsi "untuk mendamaikan pihak yang mempunyai pertikaian
di dalam PH dengan mencari penyelesaian yang paling adil kepada pihak
dan parti terbabit setelah aduan mengikut Fasal 3.2 dirujuk kepadanya".
Mengikut Fasal 3.2 Perjanjian PH ini pula, "setiap anggota dari
setiap parti berhak membuat aduan terhadap anggota dari parti lain di
dalam PH sekiranya perbuatan anggota parti lain itu melanggar
peruntukan-peruntukan Fasal 2.2 dan Fasa 2.3 sehingga mengakibatkan
kerugian, memalukan atau mencemar nama baik anggota atau parti yang
membuat aduan itu."
Semalam, beberapa perbuatan yang mengakibatkan kerugian, memalukan
dan mencemar nama baik anggota PAN dan PKR sebagai pemimpin parti
politik serta nama baik PAN dan PKR sebagai parti politik telah
dilakukan oleh kedua-dua pemimpin PKR dan PAN.
Ia bermula dari tindakan Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi
PKR Selangor dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,
menggelarkan PAN sebagai pembohong dan tidak amanah yang diikuti oleh
tindakan Pengerusi PAN Selangor, Izham Ramli, menggelarkan Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali sebagai badut yang tidak layak menjadi Menteri Besar
Selangor dan Pengerusi PH Selangor.
Terbaru adalah tindakan Pegawai Khas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,
Muhammad Hilman Idham, yang menggelarkan PAN sebagai "parti 2 peratus"
dan tindakan Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Ahli EXCO Kerajaan
Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, yang menggelarkan PAN sebagai
"parti 1.4-1.5 peratus".
Perbuatan gelar-menggelar yang sudah bertukar menjadi hina-menghina
antara pemimpin PKR dan PAN ini memberikan imej yang sangat tidak baik
terhadap kesatuan politik dalam PH di mana PH seolah-olah langsung tidak
mempunyai sebarang mekanisme untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya.
Benar, Perjanjian PH memberi hak kepada setiap anggota dari setiap
parti untuk membuat aduan terhadap anggota dari parti lain melalui Badan
Perantara, tetapi malangnya sehingga kini Badan Perantara ini tidak
diketahui telah diwujudkan oleh Majlis Presiden PH menyebabkan aduan
begini tidak dapat dibuat di samping tiadanya tindakan proaktif dari
pimpinan tertinggi PH sendiri untuk menyelesaikan pertikaian.
Bila gelar-menggelar sudah bertukar nada menjadi hina-menghina,
alamatnya hubungan kedua-dua parti politik ini bagai retak menanti
belahlah.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.