Muslimat perlu berani bawa Islam kepada masyarakat
Oleh LAILA ISMAIL
BATU SAPI: Muslimat
PAS mesti berani membawa dan melaksanakan syariat Islam ke dalam
masyarakat, lebih-lebih lagi bagi wanita yang bergerak kerja di bawah
panji perjuangan Islam.
Seruan itu dinyatakan Timbalan
Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika merasmikan Mesyuarat
Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Sapi di Pusat Khidmat
Masyarakat PAS Batu Sapi, di sini kelmarin.
Jelasnya, dalam membina perjuangan
Islam, Muslimat PAS perlu memperkuatkan dalaman kerana tanpa kekuatan
ini tidak akan mampu melawan tribulasi dan ujian di luar.
"Maka untuk menguatkan dalaman atau
tarbiyah ini, kita kena rajin berzikir dan menghayati majlis ilmu serta
menjaga tahajut malam.
"Setiap dari kita ada ujiannya
sendiri, kita jangan merasa takut dengan ujian kerana ianya akan menjadi
kekuatan kepada diri kita.
"Ibaratnya seperti pokok yang akarnya
mencengkam kuat ke dasar bumi, semakin ia tumbuh tinggi maka makin
banyak ujian yang akan dihadapi.
"Tetapi kerana akarnya yang mencengkam
kuat maka ia dapat menghadapinya," ungkap Sahar yang juga Yang Dipertua
PAS Kawasan Sandakan.
Menurut beliau, perkara tersebut penting agar dapat menyingkirkan sikap-sikap mazmumah dalam diri.
Tambahnya, ujian sebagai muslimah
telah bermula sejak zaman sahabiah lagi sebagai contoh dalam kisah
Saidatina Sumayyah dan keluarganya yang disiksa sehingga syahid.
"Ujian yang kita hadapi sekarang
haruslah dilalui dengan sabar dan yakinlah bahawa semua ini akan
mendapat ganjaran daripada Allah," pesannya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.