https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perang alam maya

Oleh Lim Hong Siang

Apakah Pakatan Harapan mampu mendominasi gelanggang di alam maya menjelang pilihan raya umum ke-14?

Sekali imbas, gelanggang alam maya adalah kubu pembangkang. Bermula pada tahun 1998, alam maya menjadi saluran untuk memecah berita. Laman Internet seperti Anwar Online, Laman Reformasi, Mahazalim, Mahafiraun dan sebagainya, tumbuh bagai cendawan selepas hujan untuk memecah sekatan maklumat dan monopoli media arus perdana ketika itu. Akhirnya Malaysiakini ditubuhkan, sembilan hari sebelum PRU10, sebagai laman media Internet pertama Malaysia yang memiliki bilik editorial dan pasukan wartawan sendiri.

Pengaruh alam maya terserlah dalam PRU12 pada tahun 2008, sehingga kerajaan Umno-BN hampir tenggelam dibadai “tsunami politik 8 Mac”. Berita yang cuba dipadam media arus perdana telah dimuat naik ke alam maya, diulas dan disebar oleh penulis blog. Ramai yang mengikuti tulisan Raja Petra Kamaruddin, juga ceramahnya; malah, penulis blog seperti Jeff Ooi memasuki gelanggang untuk bertanding dan terpilih sebagai wakil rakyat.

Strategi Umno-BN ketika itu adalah menafikan segala-gala pendedahan dan tuduhan dalam alam maya. Kesemuanya fitnah dan pembohongan – inilah jawapan piawaian daripada kerajaan. Akhirnya perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa mengakui bahawa sikap pemimpin BN untuk meremehkan perang di alam maya antara punca kekalahannya.

Alam maya selepas 8 Mac memasuki zaman laman sosial media. Umno-BN mula menumpukan sumber dan tenaga untuk berjinak-jinak dengan Facebook, Twitter dan portal berita sendiri. Namun suasana di alam maya juga dipengaruhi pergolakan dalam dunia realiti, yang jelas memihak kepada Pakatan Rakyat ketika itu. Himpunan massa dikerah menggunakan Facebook, misalnya himpunan BERSIH. Macam-macam page dibuka dan bersaing dengan kutipan “like”. Pada awal tahun 2012, Perdana Menteri Najib Razak menubuhkan page-nya dalam bahasa mandarin, Ah Jib Gor tetapi kutipan like-nya dipintas oleh page Anwar Ibrahim (bahasa mandarin) dalam tempoh 24 jam selepas page Ah Wah Gor dibuka.

Pemimpin BN rampas gelanggang

Namun zaman kegemilangan pembangkang di alam maya bakal dibubuh noktah. Beberapa perubahan yang ketara telah berlaku selepas PRU13, sedar atau tidak. Pembangkang akan kecundang di gelanggang yang pernah didominasinya, jikalau masih menggunakan strategi lapuk untuk berperang di alam maya.

Biar kita bermula dengan statistik mudah di Facebook. Laman rasmi Najib Razak, kini mengutip kira-kira 3.4 juta like, sementara calon perdana menteri HARAPAN, Mahathir Mohamad mempunyai kira-kira 2.6 juta like. Anwar Ibrahim, sebaliknya hanya meraih 1.6 juta like, diikuti pemimpin HARAPAN lain Muhyiddin Yassin (kira-kira 827,000), Lim Guan Eng (446,000), Lim Kit Siang (341,000) dan Mohamad Sabu (42,000). Presiden PAS Haji Hadi Awang bagaimanapun berjaya mengutip 343,000 like.

Laman rasmi bahasa mandarin Ah Jib Gor yang pernah dipintas laman Ah Wah Gor pada tahun 2012, kini meraih kira-kira 208,000 like, jauh meninggalkan Ah Wah Gor yang kini hanya memungut 84,000 like.

Angka ini tidak semestinya mencerminkan populariti pemimpin yang tersenarai, mengandaikan terdapat “netizen maya” yang direka untuk membesarkan angka, tetapi memadai untuk memenangkan BN dalam pusingan “pertandingan angka”, tanpa kita pasti sejauh manakah ia menggambarkan realiti sebenarnya.

Namun demikian, dengan angka ini BN boleh memperluaskan liputannya. Kuncinya, sejauh mana peruntukan dana sedia dicurahkan untuk tujuan “pengiklanan” ini. Ketika zaman PRU13, apa-apa yang dikongsikan di laman Facebook, akan terus muncul di skrin kawan atau peminat yang menekan like. Kini dana perlu ditabur untuk memastikan maklumat yang dikongsi terdedah dan tersebar jauh. Jangan tertanya-tanya mengapa aktiviti sekarang tidak mendapat sambutan sungguhpun telah dikongsi di laman sosial. Hakikatnya, ia tidak ke mana seandainya tiada bayaran dibuat.

Operasi 'big data'

Perlu diingatkan, bahawa dengan operasi big data sekarang, syarikat laman sosial kini dapat mengenalpasti audiens yang disasarkan, dan jangkauannya lebih tepat. Operasi sedemikian mengubah corak perlawanan di alam maya, dan pembangkang nampaknya masih didodoi dengan kegemilangan silamnya.

Semua parti politik berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan penyokong tegar, dan memikat pengundi atas pagar. Dalam bab ini, bukan sahaja BN memiliki sumber yang lebih, tetapi juga pendekatan yang lebih halus. Untuk warga Internet yang berminat dengan politik, sudah tentu laman Facebooknya akan disuap dengan bahan propaganda daripada mereka yang pro-BN, walaupun mungkin tidak pernah menekan like pada page tertentu. Ini cara halus BN menyebarkan propagandanya. Mesejnya diolah bukan untuk meyakinkan penyokong tegar, tetapi untuk mengelirukan pengundi atas pagar. “Semua parti dan politikus dua kali lima sahaja” – mesej sedemikian sudah memadai untuk menyekat kemaraan HARAPAN.

Persoalannya, apakah mesej HARAPAN untuk pengundi atas pagar? Apakah ia diolah secara baik, ataupun ia diolah untuk menyedapkan hati penyokong tegarnya? Apakah mesej itu hanya berlegar-legar di kalangan kelompoknya? Dan apakah pemimpin HARAPAN memastikan mesej ini sampai ke golongan atas pagar sebagaimana yang disasarkan, atau hanya dikongsi di laman sosial dan kemudian lepas tangan begitu sahaja?

Suasana politik yang berbeza

Itu pun belum mengambil kira pergolakan politik dalam dunia realiti. HARAPAN perlu sedar, bahawa mereka kini kehilangan PAS sebagai parti komponen. Ketiadaan PAS bukan sahaja bermaksud kehilangan tenaga kerja di peringkat akar umbi untuk aktiviti kempen, tetapi juga “pasukan tentera” di alam maya untuk mempertahankan pembangkang daripada serangan Umno-BN.

Dengan hubungan HARAPAN-PAS pada hari ini, HARAPAN bukan sahaja perlu berperang dengan tentera BN, tetapi juga penyokong tegar PAS, yang kelihatan lebih cenderung untuk menyerang HARAPAN daripada Umno-BN.

Lebih-lebih lagi, HARAPAN kini berdepan dengan sekumpulan penyokong tradisi yang tidak berpuas hati dengan keterlibatan dan penampilan sosok Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh utama dalam gandingan politik ini. Kempen #UndiRosak adalah contoh terbaik untuk membayangkan senario yang dihadapi HARAPAN. Ramai di kalangan penggerak #UndiRosak adalah penyokong pembangkang seketika dahulu, tetapi senjata ini kini menghala ke arah HARAPAN.

Ringkasnya, andaian bahawa alam maya gelanggang tuah untuk HARAPAN perlu diteliti, dan dikaji semula. Hakikatnya, retorik dan wacana pemimpin HARAPAN semakin tercabar, khususnya setelah menobatkan Mahathir sebagai calon PM ketujuh. Ia tidak lagi memiliki asas moral untuk membincangkan soal politik berprinsip, justeru itu ia perlu hujah yang baru untuk mengolah restu dan keyakinan pengundi terhadap dirinya.

Malangnya, kualiti yang ditunjukkan sesetengah pemimpin HARAPAN, cukup mengecewakan. ADUN Teratai, Tiew Way Keng misalnya, memuat naik satu video dengan bacaan “orang rosak yang memangkah undi rosak” berturut-turut untuk lapan kali dalam 10 saat, dan perangai kebudak-budakan ini telah dihujani kritikan daripada netizen sebelum diturunkan. Kejadian ini memberi gambaran bahawa pemimpin HARAPAN tidak mempunyai hujah yang bernas untuk menyanggah kempen #UndiRosak, dan ia telah mengukuhkan tekad sesetengah untuk membuang undi rosak di sebaliknya.

Zaman sudah berubah. Jangan HARAPAN mengambil mudah dan mengulangi apa yang menimpa Umno-BN 10 tahun lalu. (Tamat)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.