Rafizi dan bekas kerani bank dihukum 30 bulan penjara
Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi dan seorang lagi tertuduh, Johari Mohamad yang merupakan bekas kerani bank bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan penyata akaun NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Salleh.
“Kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan peguam, Ahmad Nizam Hamid dan Latheefa Koya menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu keputusan rayuan.
Rafizi didakwa mendedahkan penyata akaun bank itu kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Naib presiden PKR itu didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa penjara sehingga 3 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Johari pula didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama atas kesalahan bersubahat.
Sementara itu, Rafizi ketika ditemui wartawan di luar mahkamah menyifatkan beliau “bersyukur” dijatuhkan hukuman penjara berbanding denda.
“Jika mahkamah menjatuhkan denda berat, saya mungkin tidak mampu bayar dan perlu ditahan terus.”
Jika dimasukkan ke penjara, katanya, beliau mungkin tidak dapat berkempen untuk Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Rafizi yakin rayuannya akan dibenarkan atas dasar teknikal.






Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.