Nafikan The Economist, laksana PRU14 adil dan telus
KENYATAAN terbaharu majalah
antarabangsa, The Economist yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
memanipulasikan proses pilihan raya atau membenarkan gerimandering
menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) perlu disangkal dengan
mengheret majalah itu ke mahkamah.
Jika tidak nama Malaysia terus buruk
di mata dunia setelah isu 1MDB dipanaskan dengan pelbagai siri
pendedahan, serbuan, tangkapan mahupun rampasan.
Artikel di dalam Majalah The Economist bertajuk “How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged”
itu berniat jahat dan mempunyai motif memburukkan nama Malaysia.
Bagaimana pengarang dan editor majalah itu mempunyai akses dengan isu
dalaman terutama perjalanan pilihan raya di negara ini.
Sama ada ada
rakyat di negara ini yang menjaja keluar dengan membawa pelbagai
maklumat dalaman negara, ataupun mungkin beberapa pihak dari majalah
terbabit membuat kajian melalui rakyat di negara ini berpandukan
petunjuk tertentu yang dijadikan rujukan.
Pendedahan ini tidak boleh dipandang
remeh kerana seluruh dunia kini tertumpu kepada Malaysia dan sebelah
mata mereka memandang sinis perjalanan pilihan raya negara. Justeru,
penting bagi SPR membuat penafian dengan pembuktian bahawa tuduhan
tersebut tidak berlaku.
Fakta dan tindakan SPR selama ini yang bebas,
adil dan tidak berat sebelah perlu ditunjukkan kepada dunia.
Malah, SPR
perlu lebih bertegas dengan mengheret majalah The Economist ke mahkamah
kerana tindakan jahat majalah tersebut.
Tindakan saman penting supaya
jangan ada lagi akhbar atau media asing sewenang-wenangnya memburukkan
nama negara.
Dari sudut yang lain, apabila ada
dakwaan dan tuduhan, SPR perlu membuktikan dakwaan mereka meleset dengan
menjadikan Pilihan Raya Umum ke-14 ini sebagai PRU paling adil dan
telus pernah diadakan. Sebagai contoh, dalam soal persempadanan pilihan
raya, SPR mesti bersikap adil dengan pembahagian yang betul dan bukan
untuk menguntungkan sebelah pihak.
Dakwaan itu timbul kerana setiap kali
persempadanan pilihan raya, BN kemudiannya menang besar dalam pilihan
raya tersebut. Dan didapati pula, agihan untuk kawasan antara
pembangkang dan BN tidak adil, yang menjadikan BN menang mudah di
kawasan-kawasan tertentu. Justeru, pendedahan Th Economist adalah
sebagai amaran supaya SPR benar-benar telus, tidak memihak atau
sebaliknya.
Selain itu, dunia semakin pesat dan
masyarakat semakin pintar. Penipuan dan pembohongan yang dilakukan akan
mudah dilihat walau sehalus mana pun perancangan dibuat.
Jika dahulu
pelbagai kejahatan direncanakan dan masyarakat mudah ditipu dengan
pelbagai silap mata ketika pilihan raya, kini cabaran besar buat mereka
yang merancang penipuan ini adalah, masyarakat dunia akan menjadi
pengadil yang menilai.
Jika penipuan yang selama ini direncanakan
terhadap rakyat yang tidak berdaya melawan kerana kongkongan kuasa
pemerintah, kini masyarakat dunia yang bebas memerhati setiap langkah
dan gerak geri pemerintah.
Maka SPR, atau mana-mana agensi kerajaan,
mesti bertindak adil dalam pilihan raya, supaya jangan ada pembongkaran
oleh mana-mana pihak terhadap kejahatan atau makar yang disembunyikan
dari pengetahuan umum.
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat -
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.