Pasar P. Puteh sengaja dikecohkan sebagai isu politik
PENGKALAN CHEPA: Kekecohan
mengenai perpindahan para peniaga dari Pasar Pasir Puteh ke Pasar Siti
Hajar yang baharu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu sebagai isu
politik menjelang pilihan raya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri
Kelantan, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihak berkenaan cuba
memburukkan Kerajaan Negeri Kelantan dan menyebabkan salah faham pihak
luar terhadap perkara tersebut.
"Kerajaan buat dah market baru. Market baru ini lebih comel lagi, lebih luas lagi parking, lebih mudah, lebih bersih. Kerajaan bertolak ansur setahun, lebih kurang setahun dah minta supaya pindah, takse (tidak mahu) pindah.
"Bincang habis cara dah. Dia (peniaga) dakwa di mahkamah. Mahkamah tolak dah permohonan dia. Maka kerajaan buat keputusan, dah demo (mereka) takse itu juga, kita kena rombak (roboh) jugalah.
"Duk gege (kecoh), gege kerajaan
nak rombak hak kerajaan, dia pula pergi marah. Bukan rombak rumah dia.
Bukan rombak kedai dia," ujarnya yang juga Adun Panchor ketika
berceramah sempena program Pemuda Masuk Kampung di Pengkalan Datu, di
sini kelmarin.
Menurutnya, Pasar Pasir Puteh itu adalah
hak kerajaan dan disewakan kedainya kepada para peniaga, di mana
bangunan baharu Pasar Siti Hajar yang lebih strategik telah disiapkan
sebelum peniaga diminta berpindah.
Namun, peniaga yang enggan berpindah
menuduh kerajaan mahu merobohkan kedai mereka dan membuat kecoh walaupun
tolak ansur, rundingan, nasihat dan notis telah dilaksanakan lebih
kurang setahun.
Tambahnya yang juga Timbalan Menteri
Besar Kelantan, mereka yang salah maklumat dalam memahami perkara itu
juga telah menuduh Kerajaan PAS Kelantan kini tidak seperti semasa
pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Tok Guru waktu mula jadi Menteri Besar, orang pergi teroka tanah secara haram dia suruh igat (tangkap). Ambo (saya) ingat lagi mula menjadi Menteri Besar kes di Rantau Panjang.
"Orang kampung pergi teroka tanah kerajaan dengan secara haram, tak ada kebenaran kerajaan. Suruh tubik (keluar), takse tubik. Tok Guru arah pergi igat, tiga orang masa itu kena igat, bubuh dalam lokap.
"Tolong oyak (bagitahu), sebab langgar undang-undang. Langgar undang-undang. Dah nasihat takse tubik, tegur takse, tak dengar. Igat lah nak kata guane (macamana)?" ujar Naib Presiden PAS itu.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.