https://critoxium.com/shop/

Terkini

Susun penipuan rakyat

Oleh HISHAMUDDIN RAIS

Pada malam Ahad 25 Februari yang lalu, Alor Gajah, Melaka telah dipilih oleh Pakatan Harapan untuk melancarkan Jelajah HARAPAN. Ini adalah siri ceramah mega anjuran Pakatan Harapan bertujuan memberi pencerahan kepada penyokong dan bakal pengundi HARAPAN dalam PRU14.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Muhamad dalam mukadimah ucapannya telah mengumumkan kepada lebih dari 4,000 penyokong dan bakal pengundi bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan menang, kecuali ditipu.

Tepukan tangan gemuruh menyambut. Sorakan gempita terdengar dari bawah pentas. Ini berita gembira dari Mahathir yang fasih dan mahir dalam selok belok mencapai kemenangan
Jelas dan tepat sekali dalam RU14 kali ini Pakatan Harapan akan menang sekali lagi.

Pakatan Harapan menang sekali lagi? Kenapa gunakan sekali lagi? Bila kali pertama Pakatan Harapan menang?

Biar saya beri pencerahan di sini untuk kesekian kalinya. Fakta dan sejarah telah menunjukkan bahawa pada hari Ahad 5 Mei 2013, Pakatan Rakyat telah menang dalam PRU13. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi rakyat. Jumlah undi Pakatan sebanyak 52 peratus melebihi undi Najib yang hanya mendapat 48 peratus.

Ini membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menyokong Pakatan Rakyat. Majoriti 52 peratus rakyat telah menghumbankan United Malays National Organisation dan konco-konconya dalam Barisan Nasional ke dalam tong sampah sejarah.

Di mana-mana pun dalam dunia ini, kumpulan mana atau parti politik jenis apa pun, jika telah mendapat 52 peratus undi maka kumpulan ini akan dinobat sebagai kumpulan yang menang. Ini tidak berlaku di Malaysia. Kenapa?

Kerana wujudnya perancangan yang disusun licik - dibantu oleh projek gelap lembaga daulah. Tipu helah dan putar alam telah menafikan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru pada tahun 2013 dulu. Ini fakta bukan kelentong Hishamuddin Rais.

Justeru apabila Mahathir mengumumkan dalam PRU14 Pakatan Harapan menang lagi maka ini bukan propaganda tapi hakikat. Dalam PRU14 ini Pakatan Harapan hanya akan kalah kerana ditipu. Pada 24 Febuari 2018 kajian terbaru dari Merdeka Center yang dilaporkan oleh portal Malaysian Insight telah menunjukkan bahawa kuasa gerombolan United Malays National Organisation di Johor semakin goyah.

Kajian juga telah mendapati di Kedah pengaruh parti BERSATU cukup ampuh. Sokongan rakyat terhadap Mahathir telah menggerunkan menteri besar Kedah sehingga Ahmad Bashah sendiri terpaksa mengakui jasa besar Dr Mahathir di Kedah. Ini fakta.

Lalu timbul persoalan apa bentuk dan projek penipuan yang sedang dirancang oleh SPR dan agen-agen gelap dan aparacik Najib dalam PRU14 nanti.

Sebelum saya huraikan Projek Tipu PRU14 benarkan saya menggali ingatan tentang beberapa bentuk penipuan SPR dalam PRU13. Ini untuk menyegarkan ingatan kita bersama.

Tuntutan rakyat disabotaj

Contoh paling afdal dan paling senang untuk difahami ialah dakwaan dakwat kekal yang tidak kekal. Penggunaan dakwat kekal di jari setelah membuang undi adalah salah satu dari tuntutan BERSIH.

Tuntutan rakyat ini didakwa telah disabotaj. Satu penipuan licik dijalankan. Dalam PRU13 dakwat tidak kekal telah diguna pakai. Ini projek tipu yang didakwa diatur untuk memastikan Najib mendapat undi tipu yang berganda-ganda. Dakwat kekal yang tidak kekal memungkinkan penyokong Najib mengundi lebih dari sekali. Ini fakta sejarah penipuan dalam PRU13. Ini bukan fitnah atau berita palsu Hishamuddin Rais.

Ingat tipu, ingat Fatimah Ismail. Jangan silap minah. Ini bukan Salmah Ismail aka Saloma. Salmah Ismail isteri kepada arwah P Ramlee. Yang ini namanya Fatimah Ismail. Kadang-kadang jadi anak dara sunti, kadang-kadang mak jan, kadang-kang ibu tunggal. Siapa minah ini?

Baca: 900 pengundi bernama 'Fatimah Ismail' ditemui

Pada 15 Januari 2018 portal Malaysian Insight telah melaporkan berita Mahathir membocorkan kepada dunia bagaimana nama Fatimah Ismail telah wujud 900 kali dalam daftar pengundi. Nama ini telah wujud dalam daftar pengundi semenjak 2013 lagi.

Dalam PRU13 si Fatimah boleh mengundi 900 kali. Pada PRU14 nanti si minah ini mungkin akan mengundi 900 kali lagi. Ini baru satu nama yang ditemui. Berapa ramai lagi Fatimah, Bedah, Joyah dan Esah yang terselit, tersepit dalam daftar pengundi hanya Guru Nanak sahaja yang tahu.

Pembaca akan bertanya, kenapa tidak dibersihkan nama-nama ini dari daftar pengundi?

Satu soalan yang tepat. Tapi soalan logik ini jawapannya amat amat tidak masuk akal. Ini kerana di belakang nama Fatimah Ismail ialah lembaga daulah yang ditugaskan untuk menipu.

Kali ini - sebelum PRU14 - amat-amat susah lagi payah untuk mendapatkan senarai daftar pengundi. Sebelum PRU13 daftar ini boleh dibeli. SPR akan menjual nama pengundi dalam bentuk CD kepada sesiapa sahaja yang berhajat. Ini membolehkan Mahathir dan sesiapa sahaja meneliti nama-nama yang berganda.

Justeru kali ini dalam PRU14, daftar pengundi tidak lagi dikeluarkan. Hanya dapat dilihat di pejabat SPR. Segala kerenah birokrasi diwujudkan untuk memustahilkan nama pengundi dapat dilihat dan dikaji.
Untuk PRU14, nama pengundi hanya akan diketahui pada hari membuang undi. Akan muncul nama-nama baru yang berdaftar. Nama-nama baru ini tidak pernah terlihat oleh pekerja parti Pakatan Harapan. Ini cara licik. Jika ini bukan penipuan apa lagi namanya.

Dalam ucapan di Alor Gajah, Melaka, Mahathir telah juga menyebut bagaimana ada rumah yang diduduki oleh berpuluh-puluh orang, hampir sama seperti sebuah hotel. Ada Cina, Melayu dan India duduk dalam rumah yang sama.

Bila disiasat didapati rumah ini hanya ada dua penghuni. Jelas alamat rumah ini telah digunakan untuk mendaftar pengundi hantu yang diupah.

Hantu Bangla, Indonesia dan Myanmar

Siapa pengundi hantu ini? Jangan risau kita ada hantu Bangla, hantu Indonesia atau hantu Myanmar. Ini bukan lagi satu yang pelik. Ini adalah naratif pilihan raya di Malaysia.

Jika semua yang saya lakar ini bukan tipu namanya, maka Rosmah Mansor adalah Duta Slim World yang telah berjaya menggantikan Ziana Zain.

Pada ketika ini ada satu projek penipuan resmi yang dipanggil persempadanan semula. Projek tipu ini akan dibawa ke parlimen. Bunyinya molek tapi isinya untuk memastikan Najib-Rosmah terus berkuasa.

Di bawah ini saya paparkan satu contoh dakwaan cara dan teknik penipuan awal sebelum projek persempadanan semula dibawa ke parlimen.

Ia dilaporkan oleh surat khabar Internet PKR, Keadilan Daily.

Kes contoh penipuan ini didakwa sedang berjalan di Lembah Pantai. Ini kawasan YB Nurul Izzah, Puteri Keadilan pemegang obor reformasi. Justeru YB Nurul wajib dikalahkan. Bagaimana caranya untuk mengalahkan YB Nurul?

Di Lembah Pantai YB Nurul mendapat sokongan kukuh dari penduduk. Anak semua bangsa, bangsa semua agama menyokong YB Nurul. Untuk menggelincirkan Nurul agak susah. Lalu rancangan pun disusun.

Secara resmi 8,000 pengundi baru didaftarkan. Pengundi baru ini didatangi dari pelbagai tempat di Kuala Lumpur atau dari entah mana tempat dari muka bumi ini. Malaun-malaun ini bukan warga Lembah Pantai. Justeru jika dikaji maka akan ditemui nama Mutumaniam di alamat serumah dengan Hajah Sakinah Lebai Ali. Lim Ah Lok duduk dalam PPRT, beralamat sama dengan Haji Mokhtar Surin.

Tidak cukup dengan ini, untuk memastikan YB Nurul kalah 5,000 nama-nama pengundi Lembah Pantai didakwa dialihkan keluar, hingga ada yang dihantar ke Sekichan. Ini nama yang tak ada bau Melayu, yang dicap sebagai penyokong tegar YB Nurul.

Mengikut kenyataan resmi, nama-nama yang dipindahkan ini telah tercicir dahulu. Ini kesilapan kerja pejabat.

Sayugia diingatkan bahawa ramai para pengundi yang dialihkan ini tidak tahu apa apa. Tidak tahu yang nama mereka telah dikeluarkan dari Lembah Pantai. Jika ini bukan tipu, apa lagi namanya.

Bagaimana dengan projek penipuan rasmi yang diketahui umum sebagai persempadanan semula? Apa akan terjadi di Lembah Pantai?

Ini lagi licik. Ini lagi tersusun. Hanya menunggu parlimen untuk meluluskan penipuan ini. Sebanyak 6,500 mata-mata terang dan mata-mata gelap didakwa akan meloroh masuk untuk menjadi pengundi Lembah Pantai. Kebanyakan akan menjadi pengundi awal. Sah dan terbukti ini cara menipu pilihan raya untuk memastikan Najib dan Rosmah terus berkuasa.

Tetapi kerana YB Nurul mendapat sokongan yang amat kukuh di Lembah Pantai maka satu lagi taktik penipuan dikatakan ditambah. Ini bertujuan untuk memastikan YB Nurul dipukul mati. Apa caranya?

Kg Bohol, Kg Petaling Bahagia

Caranya ialah kawasan Kampung Bohol dan Kampung Petaling Bahagia akan dimasukkan ke Kawasan P122 Seputeh. Seputeh ialah kawasan YB Teresa Kok. Dalam PRU13 YB Teresa mendapat 51,522 majoriti kemenangan.

Jumlah kemenangan YB Teresa ini lebih tiga kali ganda dari jumlah semua pengundi Tengku Adnan di Putrajaya. Ini bukan labun kosong. Ini rancangan jahat.

Kemasukan Kg Bohol dan Kg Petaling Bahagia ini tidak membawa apa-apa makna kepada YB Teresa. Laut milik YB Teresa telah masin. Dua koyan lagi garam dicurahkan tidak akan mengubah apa-apa. Yang hilang penyokong ialah YB Nurul.

Dari surah yang saya paparkan ini amat jelas bahawa penipuan telah, sedang dan akan berjalan. Semua ini dirancang dan diatur secara rasmi.

Penipuan-penipuan ini membuktikan isi ucapan Mahathir di Alor Gajah adalah betul dan tepat. Semua jarum politik mengarahkan bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan menang, kalah hanya kerana ditipu.

Perancangan licik penipuan ini membuktikan Najib akan kalah. Dalam PRU14 seperti PRU13 majoriti rakyat akan menyokong Pakatan Harapan. Dalam PRU14 majoriti pengundi akan menolak Najib-Rosmah.

Yakinlah Najib dan Rosmah sedang membuat persediaan. Apakah persediaan itu? Tunggu minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.