Belajarlah untuk sabar, ikhlas dan reda
KEPADA rakan karibnya, ZIN MAHMUD, yang juga bekas Pengarang Kumpulan
Harakah dan pernah mengetuai akhbar Mingguan Malaysia, Ahmad Lutfi
Othman sempat menjelaskan banyak persoalan berkaitan dirinya, termasuk
pengalaman menempuh pelbagai penyakit yang telah membataskan aktiviti
penulisannya, tetapi dalam masa sama, ia boleh dianggap satu tempoh yang
amat bermakna. Ikuti juga pandangan Lutfi mengenai tahap-tahap dalam
perjalanan hidup, yang baginya semuanya indah dan menyeronokkan.
Bagaimana keadaan saudara Lutfi sekarang? Mengenai kesihatan saudara dan apa yang saudara sedang lakukan?
Alhamdulillah, syukur setingginya ke hadrat Allah SWT. Keadaan kesihatan saya makin bertambah baik. Cuma, masa agak terbatas disebabkan tiga kali seminggu jalani hemodialisis yang pusat rawatannya agak jauh dari rumah. Mungkin kerana masih baru, saya kerap tidak stabil, letih-lesu selepas rawatan. Penglihatan semakin pulih. Boleh membaca, tapi agak memenatkan mata bila lama menatap buku. Dah lama saya tidak membaca akhbar cetak. Lebih suka dan selesa mendengar daripada membaca atau menonton.
Sekarang, masa agak lumayan untuk aktiviti membaca. Banyak buku yang dibeli sejak 2 tahun ini, iaitu tempoh saya uzur, belum dibuka balutannya. Buku-buku lama yang baik juga perlu ditelaah berulang kali. Tapi saya kira kesempatan lebih wajar dimanfaatkan untuk bersama keluarga, berfikir, merenung dan membaca alam sekeliling. Menjadi puas mendengar kicauan dan siulan burung di sebatang pohon besar depan rumah saya. Saya beroleh masa lapang untuk menghayati alunan muzik, misalnya baru saya perasan, banyak lagu M Nasir sarat dengan pesan ketuhanan. Terima kasih kepada abang saya, Dinsman, yang baru-baru ini menghadiahkan novel-novel Pak Samad Said, misalnya Keledang, Cinta Fansuri dan Langit Petang. Karya Pak Samad untuk dinikmati secara santai dan sabar, tidak boleh terburu-buru. Situasi saya sekarang sesuai sangat, tak ada benda yang dikalutkan lagi (ketawa).
Boleh ceritakan latar belakang kesihatan saudara dan pengalaman dalam mengatasinya?
Penyakit ini ujian dan nikmat yang membawa pesan dan iktibar. Ya, bagi yang mengenali saya, sejak kecil saya dilihat selalu sakit. Begitu juga semasa di sekolah menengah dan universiti hinggakan sebahagian peperiksaan akhir di tahun lima UTM saya tak hadir sebab sakit. Mula dikesan diabetes pada tahun pertama perkahwinan, masa berumur 28 tahun. Kelemahan ketara saya, sukar disiplinkan diri untuk jaga makan, bersenam dan disiplin ambil ubat seperti nasihat doktor. Sejak sekolah saya kurang sekali bersukan.
Kencing manis umpama pintu segala penyakit apatah lagi jika ada faktor genetik. Tapi ramai yang pandang remeh, jarang merujuknya kepada doktor pakar, makan ubat saja, sedangkan ia penyakit kritikal yang berbahaya dan mesti dapat nasihat pakar. Kesan kepada saya, ia merebak ke jantung dan mata. Saya juga pernah alami stroke kecil sewaktu pembedahan pintasan jantung. Selepas itu, tekanan darah tidak stabil. Akhirnya, masalah kegagalan fungsi ginjal.Dalam satu tempoh yang agak panjang juga, ketika produktiviti saya boleh dikira berada di puncak, sekitar 2001, selama dua tahun, saya terlantar di katil. Hampir tak mampu berbuat apa-apa. Keluarga mencari rawatan di merata tempat. Hampir setiap minggu saya dirawat Dr Haron Din, kemudian dengan Almarhum Ustaz Ismail Mahmud, adik Asy-Syahid Ibrahim Libya. Kawan-kawan kata saya kena penyakit misteri, tak tahulah. Alhamdulillah, akhirnya tiba-tiba sembuh.
Dalam tempoh itu, saya keluar-masuk wad dan bilik bedah, naik-turun hospital, sempat jumpa ramai pesakit dengan segala ragamnya, apabila terpaksa menunggu lama, termasuk di “pusat rawatan Islam”. Dengar suara hati mereka. Seperti saya, ramai yang mengabaikan penjagaan kesihatan.
Prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati, jarang dipraktikkan. Lagi satu, kemudahan kesihatan untuk rakyat perlu diperbaiki dan ditingkatkan. Kementerian Kesihatan patut diterajui menteri kanan. Ramai orang takut ditimpa penyakit kerana tidak mampu untuk merawat. Kesedaraan awam tentang amalan cara hidup sihat perlu diperluaskan. Atasi kejahilan dan kemalasan mereka.
Saya terkejut apabila amalan sihir dan seumpamanya masih berleluasa, termasuk di kota-kota besar.
Hanya kerana perselisihan faham yang kecil, tidak terkecuali melibatkan saudara-mara terdekat, seseorang itu sanggup mencari bomoh untuk melepaskan kesumat. Insya-Allah, jika mengizinkan, saya berhasrat untuk menulis buku tentang kesihatan, berdasarkan pengalaman panjang saya sendiri. Sahabat saya, Sayuti Omar juga berkira-kira menulis hal sama, perjuangannya melawan kanser.
Semasa uzur, saya cukup dekat dengan kitab Perjalanan Rabbani, karya guru saya di UTM, Dr Musa Fathullah Harun dan Ziarah ke Alam Kematian oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti. Saya turut berulang kali membaca memoir Tuesday with Morrie, Mitch Albom dan tertarik dengan The Last Lecture oleh Randy Pausch. Kedua-duanya cerita tentang meniti saat-saat akhir kehidupan. Rakan saya, Azam Shairi memperkenalkan buku tulisan bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie, tentang kematian isterinya, bertajuk Habibie & Ainun.
Setelah begitu lama menghadapi keadaan kesihatan sebegini, apakah pelajaran yang saudara peroleh mengenai kehidupan dan nasihat untuk para pembaca?
Selain jaga makan-minum, harus belajar untuk tenangkan diri, jangan panik dengan tekanan dan masalah, hiduplah secara sederhana. Berpadalah dengan apa yang ada. Saya masih ingat, Prof Jomo
Sesuaikan diri dengan takdir yang ditentukan ke atas kita. Bersyukur dan reda atas ketentuan Ilahi.
Belajar untuk bersabar, ikhlas dan reda. Nanti kita akan beroleh ketenangan walaupun hiruk-pikuk di sekeliling kita. Kadang-kadang penyakit datang secara mengejut, seperti juga kematian. Ada yang cukup jaga diri, amalkan diet, rajin bersenam, tiba-tiba dapat tahu, misalnya ada kanser atau ditimpa kemalangan yang mengakibatkan lumpuh atau kecacatan kekal. Tidak semua dapat terima dengan reda, ramai yang terus murung dan tertekan. Keluarga dan kawan-kawan rapat harus sentiasa dekat membantu. Selalu dan keraplah ziarah. Kadang-kadang kita mengunjungi orang sakit sekali dua sahaja, kata orang, untuk cukup syarat sebagai kawan. Dampingilah selalu mereka, carilah masa untuk mereka, jangan tunggu masa lapang. KS pernah bertanya saya, jaga tak makan Lutfi? Saya jawab, jaga sikit-sikit, Prof. Pantas dia mencelah, tak jagalah tu, mana boleh jaga sikit-sikit. Jadi, saya pun nak ingatkan, jaga sungguh-sungguh makan-minum tu, pastikan betul-betul apa yang nak masuk dalam mulut kita (ketawa).
Saya temui ada pesakit yang cukup positif dan optimis dengan ujian getir ini. Dalam kesakitan, wajah dan bicara mereka tetap ceria. Saya kadang-kadang jadi malu, tidak berupaya teladani sikap mereka. Ya, belajarlah untuk sabar, ikhlas dan reda. Terima ketentuan nasib kita.
Selain itu, saya bersyukur kerana bertemu ramai doktor pakar yang bagus-bagus, sentiasa ambil berat dan prihatin, begitu memudahkan. Antara lain, Prof Dr Zamrin Dimon yang mengetuai pasukan pembedahan jantung saya bersama Prof Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman; Prof Zamrin nampak sentiasa tenang dan menyenangkan. Berkaitan buah pinggang, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor dan pakar mata, Dr Wong Hon Seng; mereka berdua merawat dan melayan kerenah saya dengan sabar dan tekun. Juga kepada sekumpulan jururawat, terutama di HUKM dan pusat dialisis MAIS di Taman Melawati, Hulu Kelang, yang banyak membantu.
Dalam kehidupan, apakah saudara sifatkan diri saudara? Sama ada sebagai wartawan, penulis, penerbit, pengusaha atau pejuang?
Saya berbuat apa yang yang mampu berdasarkan minat, bakat dan pegangan hidup sebagai Muslim. Kewartawanan banyak membantu penulisan saya agar pentingkan fakta, data, kebenaran. Saya terpaksa jadi penerbit sekali gus pengusaha kerana di peringkat awal tiada penerbit, malah pencetak, yang mahu menguruskan buku dan bahan terbitan saya. Menjadi syarat KDN, nama pencetak dan alamat penuhnya wajib disertakan dalam buku, majalah atau akhbar, dan ini menakutkan pencetak.
Secara peribadi, saya lebih seronok untuk menulis dan menulis, tak mahu ambil tahu hal-hal bisnes, yang selalu memeningkan kepada itu (ketawa). Saya ahli perniagaan yang gagal. Tak pandai uruskan syarikat. Pejuang? Terlalu kerdil untuk istilah itu, tapi saya mahu mempengaruhi agar tulisan dan buah fikiran saya tidak kekal di atas helaian kertas saja. Saya mahu idealisme itu dapat dilaksanakan.
Boleh ceritakan jalan kehidupan saudara dalam perjuangan dan penulisan daripada universiti hinggalah ke hari ini?
Minat saya dengan politik Islam bermula sejak kecil, dari sekolah rendah. Masalah gagap kuat mendorong saya untuk meluahkan melalui tulisan. Selain masalah gagap, perjalanan saya juga terhad kerana selalu muntah-muntah bila naik kenderaan. Orang kata mabuk darat. Kadang-kadang naik saja kereta, terus muntah.
Di kampus UTM, Jalan Gurney, saya dekat dan cocok dengan rakan-rakan yang sealiran. Kami menyokong perjuangan PAS. Mewakili jemaah, saya dipilih masuk pilihan raya kampus dan menang mudah. Universiti waktu itu agak malap kegiatannya. Saya buat kerja, kebanyakannya secara solo.
Semangat kerja berpasukan memang penting tetapi saya tidak suka berharap kepada orang. Saya tahu, ini bukan ciri pemimpin yang baik dan berkesan.
Saya sudah ceritakan (dalam wawancara dengan Lim Hong Siang) pengalaman menjadi penulis, penerbit, wartawan, editor.Sekarang, saya berehat panjang daripada menulis, hanya sekadar pemerhati. Azam saya mahu cepat bingkas untuk menulis semula. Mungkin sudah tak larat untuk menjadi penerbit lasak seperti dulu. KDN boleh rehat (ketawa). Begitu juga aktiviti yang memerlukan aksi fizikal. Saya sudah pencen bab itu.
Bila saudara berminat terhadap perjuangan politik dan penulisan?
Sejak sekolah rendah, bercambah di sekolah menengah. Minat dengan tokoh-tokoh besar pembangkang seperti Asri Muda, Kassim Ahmad, Tan Chee Koon, Anwar Ibrahim dan mendengar nama-nama pejuang seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam. Kagum dengan kesederhanaan watak pemimpin tempatan, seperti Dato’ Abu Bakar Omar, bekas Timbalan Presiden PAS, yang pernah datang ke kampung saya sewaktu kecil. Saya kerap hadiri ceramah pembangkang, khususnya PAS, sekitar Kubang Pasu, menemani abang ipar, Allahyarham Morad Ismail. Saya masih ingat, di pinggir bandar Jitra, saya terkejut dengan kelantangan ceramah Ustaz Bunyamin Yaakub membelasah Umno, tapi perlahan-lahan saya meminatinya. Tapi saya lebih terpesona dengan pendekatan dan istilah-istilah menarik dalam ceramah Dato’ Asri, menjelang kempen PRU 1978. Saya menangis bila Asri kalah di Padang Terap.
Naluri saya, mesti luahkan apa yang kita tidak suka, walaupun secara sembunyi, seperti buat surat layang. Sewaktu tingkatan tiga, guru besar paksa pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga pakai seluar pendek walaupun sebelum itu kami sudah pakai seluar panjang. Selain menganggap peraturan baru itu bercanggah dengan agama, kami malu untuk mendedahkan aurat. Saya tulis surat panjang kepada guru besar membantah keras, tentu sekali dengan ungkapan yang nampak kurang sopan, dengan dakwat merah. Saya tidak letak nama penulis. Guru besar cari siapa yang tulis tapi tak dapat.
Begitu juga sebaik tamat SPM, saya hantar protes kepada pengetua yang marahkan pelajar perempuan di depan ramai kerana tidak mahubersalam dengannya. Juga bersurat tanpa nama. Takut-takut berani, kata orang. Selagi tidak bertindak atau bersuara – dengan cara saya – maka saya diburu rasa resah, gelisah.
Setelah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam bidang, apakah pelajaran dan kesimpulan daripada pengalaman saudara?
Buat saja apa yang menjadi keyakinan dan minat kita. Buat secara sungguh-sungguh. Tingkatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang itu. Jangan lari bila berdepan masalah kerana pengalaman banyak mendewasakan kita. Saya hanya faham dengan kerenah pentadbiran universiti bila tidak berusaha mengelak apabila bertembung dengan pegawai atasannya. Saya hanya mengerti birokrasi kerajaan, khususnya KDN, bila terus bergerak ke depan tidak hiraukan segala peraturan yang mengikat dan menyekat. Saya dapat menilai erti persahabatan sejujurnya apabila berdepan ujian dan mehnah. Saya hargai ketulusan pengedar akhbar dan majalah saya, yang mencuba membayar seikhlasnya walaupun tiada bukti dia berhutang sebanyak itu dalam rekod saya. Dalam masa sama, ada pengedar atau kawan baik yang ambil kesempatan di atas keuzuran saya, malah menipu lagi. Lumrah dunia.
Dalam kes rasuah bekas menteri besar Selangor, saya dapat ilmu dan pengalaman yang cukup banyak, bagaimana amalan tumbuk rusuk itu mudah berlaku dan sukar dibuktikan. Kuasa menteri besar bagai tidak terkawal, apatah lagi PM. Sistem kuasa kita bukan saja payah untuk membanteras salah guna kuasa tapi telah menternak perasuah dengan galaknya. Justeru, saya sampai kepada kesimpulan, elit Umno-BN tidak akan sedar dan insaf, dan kita tidak perlu mengadakan kerjasama politik dengan mereka selagi mereka tidak dipisahkan dengan kuasa. Yakni dikalahkan dalam pilihan raya baik di peringkat negeri, dan mesti ditumpaskan di peringkat persekutuan. Sebab itu saya pandang sinis saja ura-ura Umno mahu bekerjasama dengan PAS. Itu hanya permainan politik.
Melihat ke belakang, apakah perkara yang paling saudara rasa bahagia dalam perjuangan? Maknanya pencapaian tertinggi yang saudara raih?
Pahit atau manis, semuanya membahagiakan. Saya rasa seronok dan puas jika dapat menyumbang sesuatu. Sekurang-kurangnya mendorong orang berfikir. Bila ada yang sudi membaca tulisan kita, itu pun sudah cukup. Apatah lagi jika ia berjaya merangsang atau mempengaruhi orang berbuat kebaikan atau menjauuhi, apatah lagi, menentang kemungkaran.
Saya sendiri tak pasti pencapaian tertinggi, terpulang kepada penilaian orang ramai, khususnya yang mengikuti aktiviti saya dari dekat. Tapi, bukankah penilaian Allah yang lebih penting, ‘kan?
Adakah terdapat perkara-perkara yang saudara kesalkan sepanjang pengalaman dalam perjuangan?
Semua ujian dan cabaran diharapkan menjadi amalan kebaikan buat saya selepas mati. Tiada apa yang perlu dikesalkan dengan perjalanan hidup ini. Kita gagal sesuatu, rupanya ada ganti yang lebih baik. Kita terkilan sesuatu, rupanya itu bukan terbaik untuk menjadi milik kita. Penyakit yang menimpa ... semoga menjadi kafarah dosa, yalah, saya bukan ahli ibadah, tidak selalu ke surau-masjid, banyak salah silap, kerap menyinggung atau menyakitkan hati orang. Moga-moga sedikit kesulitan ini dapat mengangkat martabat saya di sisi Allah. Saya malu menyebut hal ini, tetapi bukankah doa setiap kita, agar apa pun yang menimpa dalam hidup ini, jangan jadikan ia sia-sia sahaja?
Sejak bila saudara berminat terhadap perjuangan Islam? Siapakah yang mendorong saudara untuk terlibat dengan perjuangan Islam dan PAS?
Perjuangan Islam yang saya lalui tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan PAS. Saya membesar dalam lingkungan itu. Situasi diwaktu kecil cukup membantu. Hanya ada satu jalan di depan saya, tiada pilihan lain, iaitu PAS. Datuk saya, orang kampung biasa saja, Haji Baharom Taib, berjaya pasakkan kefahaman ini dalam minda saya. Alhamdulillah, saya bertemu dengan ramai orang yang baik-baik, yang mendorong untuk berbuat baik. Selain peneman yang memahami, tidak kurang guru yang membimbing, walaupun diakui, saya agak malas untuk mengikuti kuliah pengajian secara formal. Ya, kecil saja titik diri kita ini dalam alam besar perjuangan.
Sepanjang bertahun-tahun dalam perjuangan, apakah kesimpulan yang saudara dapat buat mengenai keadaan perjuangan Islam dan keadaan politik negara?
Tentunya masih banyak ruang untuk diperbaiki. Kita perlu bermuhasabah dan mengkoreksi diri, terutama selepas begitu lama melalui era kebangkitan semula Islam. Mungkin ada peneliti yang dapat memberi ulasan lebih menyeluruh terhadap topik besar ini. Saya bersyukur kerana ditakdirkan bersama mata rantai yang panjang ini, menyokong yang termampu. Para ulama, tokoh-tokoh pembaharu, tok-tok guru dan pemimpin masyarakat, individu yang sedar, masing-masing berperanan dan berkorban sejak lama. Di zaman penjajahan, mereka meniupkan semangat kemerdekaan dan yakin diri. Mereka kemudiannya berjaya menanam kesedaran untuk menghayati Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh.
Orang terdahulu dengan tanggungjawab mereka, sesuai dengan zaman. Soalnya, bagaimana keadaan kita, generasi masa kini? Apakah gerakan Islam kini berupaya tangani cabaran semasa yang semakin rumit dan sofistikated? Banyak persoalan baru timbul, memerlukan keupayaan lebih tinggi untuk menjawabnya, bukan saja di atas pentas debat tetapi dalam bentuk formula penyelesaian dan tawaran kepemimpinan yang meyakinkan. Fenomena langit terbuka, peningkatan tahap pendidikan, kemunculan lebih besar kelas menengah, proses pendemokrasian dan perbandaran, kompleksiti isu-isu serantau dan global, semuanya memerlukan aksi tangkas aktivis Islam untuk memberikan pencerahan yang segar.
Kita sebagai ejen pembaharu, atau reformis, harus dapat mengungkapkan dengan tuntas agenda berkaitan good governance seperti akauntabiliti, ketelusan, integriti, dan isu-isu misalnya, jurang pendapatan makin melebar di kalangan masyarakat, GST, TPPA, dan lain-lain lagi. Khususnya apabila diangkat menjadi wakil rakyat, anggota Exco kerajaan negeri, atau jawatan strategik dalam PBT dan GLC, mereka mesti tampil dengan teladan yang baik.
Orang sekarang makin lantang dan terbuka mempersoal sesuatu yang mereka rasa pelik, tidak masuk akal atau menindas. Tiada pantang-larang yang boleh menyekat mereka untuk bertanya dan menyoal walaupun dalam isu yang kita dulu anggap sensitif dan provokatif. Isu-isu seperti hak asasi dan kebebasan juga perlukan definisi yang jelas. Kita juga berada pada posisi, harus lebih berani membedah kelemahan diri; misalnya apakah pendakwah atau pejuang itu sendiri sudah dikepung wabak cinta dunia, senang mendekati penguasa zalim dan tidak lagi merasai derita dan sempitnya hidup rakyat bawahan?
Walaupun tidak memahami sepenuhnya dengan persoalan yang dibangkitkan beberapa tokoh pemikir berkaitan cabaran baru gerakan Islam di Malaysia, tetapi saya tertarik dengan tulisan-tulisan yang menggugah minda, seperti oleh Dr Asri Zainal Abidin, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Maszlee Malik dan Dr Siddiq Fadzil. Hatta, saya suka meneliti tulisan Dr Ahmad Farouk Musa, dari Islamic Renaissance Front (IRF) yang agak kontroversial itu.
Politik? Sekali imbas, cukup mendukacitakan. Kesatuan pembangkang mudah terburai dengan isu-isu yang dikitar semula. Harapan besar rakyat untuk melihat sistem dua parti terlaksana bagai kaca terhempas di batu. Rata-rata pendukung masih melihat dalam perspektif sempit, menurut kepentingan sendiri. Sukar untuk berjiwa besar, bertolak-ansur, atau bersikap lebih sopan tangani krisis. Tapi, bukankah politik itu dinamik dan sentiasa berubah?
Kita saksikan institusi penting dan strategik negara masih di takuk lama, sukar direformasikan. Hasilnya, tiada mekanisme semak-imbang. Rakyat umpama tidak berkuasa apa-apa, melihat saja siri salah guna kuasa, keangkuhan dan pemborosan elit pemerintah. Penyertaan politik difahami dalam pengertian sangat sempit. Orang politik diakui bergelumang dengan rasuah dan penyakit tamak kuasa, tapi merekalah menentukan segalanya untuk kita. Harapan saya lebih kepada orang muda untuk membuat perubahan dan mencipta sejarah baru. Politik baru sekarang hanya slogan. Saya impikan generasi muda untuk realisasikan idealisme politik baru ini.
Apakah pendapat saudara mengenai kewartawanan politik, penulisan politik dan penerbitan politik di negara ini sepanjang pengalaman saudara?
Dalam banyak keadaan, saya menganggap adalah malang menjadi wartawan di negara ini. Kita hanya jadi alat dan perkakas orang lain, khususnya pemimpin politik. Kalau alat untuk mudahkan kerja kebaikan, bagus. Selalunya kita diminta berbuat apa saja yang diperintah, jangan campur tangan hal orang atasan. Untuk menjadi wartawan, perlu ada media tapi ia dikawal mutlak oleh penguasa. Untuk memiliki lesen akhbar sendiri, bagi orang macam saya, jangan harap. Tidak ada kebebasan media di negara kita. Itu hasil kajian ilmiah para sarjana, bukan sangkaan buruk pembangkang.
Mungkin saja kita boleh beralih kepada laman-laman web dalam Internet. Tapi itu pun tertakluk dengan syarat ketat SKMM. Tengok apa jadi pada Malaysian Insider. Masih tidak perlukan permit dan izin pemerintah, tapi tidak juga bebas, aksesnya boleh disekat tanpa alasan. Juga sukar untuk berdikari. Saya pernah cuba dengan laman Detikdaily selepas majalah Detik diharamkan, tetapi sukar bertahan kerana masalah kewangan. Tak tahu macam mana nak berniaga melalui laman seperti itu, sedangkan kos selenggaraannya, terutama dana untuk karyawannya tinggi.
Beralih kepada penerbitan buku politik yang tidak memerlukan permit. Saya juga pernah menceburinya secara aktif. Tulis dan terbit sendiri. Saya nampak masalah besar masih kepada rangkaian pengedaran yang tidak diuruskan secara profesional. Bila jualannya laris, ada pula cetak rompak, saya pernah alaminya waktu Reformasi dulu. Juga buku Shit, Shahnon Ahmad. Pada keadaan normal, buku sukar sampai kepada peminatnya yang jumlahnya kecil. Saingan dunia tanpa sempadan, Internet, lagi menimbulkan cabaran besar. Itu belum bercakap tentang mutu atau kualiti lagi.
Siapakah tokoh yang paling kuat mempengaruhi pemikiran saudara? Di kalangan ulama? Ahli politik? Sasterawan? Penulis? Rakan seperjuangan? Begitu juga dengan buku-buku?
Sukar untuk dipastikan. Masing-masing menyumbang. Dan saya pula, dalam sesetengah keadaan, mudah untuk dipengaruhi. Semasa kecil, keluarga dan saudara-mara yang pekat dan likat menyokong PAS (ketawa), selain penceramah PAS yang pidatonya memukau. Revolusi Islam Iran, 1979, menyemarakkan semangat itu dengan ketokohan pemimpin karismatik, Ayatullah Khomeini. Dari segi pemikiran, saya kira pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin dan Jamaat Islami. Hampir semua buku-buku terjemahan ke dalam bahasa Melayu karya Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Fathi Yakan, Mustafa Masyur, Umar Tilmisani, Said Hawa, Maududi, Iqbal dan Dr Ali Syariati saya borong. Apa juga terjemahan buku berkaitan Revolusi Iran dan perkembangan gerakan Islam moden, terus saya beli tanpa belek kandungannya.
Di UTM, sekitar tahun 1982-84, saya mengikuti kuliah petang Rabu Ustaz Alias Osman, yang sedang menterjemah buku Apa Erti Saya Menganut Islam dan kuliah malam Sabtu, tafsir Al-Quran di masjid Datuk Keramat. Bimbingan Dr Ustaz Osman Sabran menserasikan minat politik saya dengan keperluan terlibat dalam jemaah Islam. Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, juga pensyarah
UTM, menyemarakkan lagi minat saya. Buku Syed Qutb, Petunjuk Sepanjang Jalan, cukup kuat mempengaruhi pemikiran politik saya, yang menolak sebarang kompromi. Saya pernah menganjurkan diskusi khas buku itu pada tahun 1985, tetapi pembentang, Ustaz Alias, memilih untuk membincangkan hanya satu bab di dalamnya, iaitu La Ilahi Illallah Panduan Hidup. Terima kasih juga kepada Abu Urwah dengan siri buku Risalah Usrah.
Saya juga berdamping rapat dengan buku-buku Hamka, misalnya buku Falsafah Hidup. Saya cuba menghadam karya agung Imam Ghazali, seperti Ihya Ulumiddin, tetapi kurang berjaya. Terjemahan Indonesia tidak memuaskan. Saya menekuni buku yang disenangi oleh arwah bapa, Mengenal Diri dan Wali Allah. Memang sukar memahami seorang diri buku-buku tasawuf.
Untuk satu tempoh, memoir Ahmad Boestamam, Tujuh Tahun Malam Memanjang dan Merintis Jalan ke Puncak menarik perhatian saya. Begitu juga dengan pengalaman Kassim Ahmad ditahan ISA, Universiti Kedua. Buku Dr Syed Husin Ali, Dua Wajah, juga menjadi pilihan. Saya asyik mengulangi buku itu kerana ia bagaikan dapat menenangkan saya ketika diuji.
Jiwa muda saya terangsang dengan buku-buku berkaitan gerakan pelajar, seperti Mahasiswa Menggugat, yang saya saya beli di Pustaka Antara, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Semasa belajar di UTM, kedai buku ini menjadi singgahan wajib setiap kali melintasi Chow Kit.
Saya juga terkesan dengan buku Bersama Rakyat, yang mengisahkan perjuangan hebat mahasiswa pada tahun gemilang 1974. Saya beli dengan Prof Jomo KS sewaktu menjemputnya ceramah di UTM. Ada dua novel menarik Baharuddin CD, yang membakar jiwa muda saya, iaitu Arca Berdiri Senja dan Sesudah Fajar Sebelum Senja. Buku-buku Dr Syed Hussein Alatas terutama mengenai masyarakat Melayu saya telaah kemudiannya. Puisi Kassim Ahmad, walaupun tidak banyak, tapi mampu menyentap hati saya. Sajak-sajak Rendra dan Usman Awang tentunya terasa segar. Dan saya cukup puas menikmati karya Zahari Hasib yang bijak merakamkan kehidupan seharian rakyat biasa.
Zahari kerap singgah pejabat Harakah bila turun KL dari Teluk Intan. Setiap kali ziarah, Almarhum pasti bawa beberapa plastik kecil gula-gula.
Saya tertarik dengan gaya tulisan Haji Subky Latif. Saya merindui kolumnya dalam Watan. Saya bercita-cita mahu menjadi sepertinya, terutama untuk menulis seperti buku-buku beliau, Siapa Selepas Tun Razak, Siapa Ganti Asri, dan Krisis Timbalan Perdana Menteri. Susunan bahasanya cukup mudah, begitu juga dengan logikanya. Kadang-kadang saya cuba meniru langgam bahasanya itu. Ini menyamai karya Azizi Haji Abdullah dalam cerpen-cerpennya. Saya menikmati keindahan dan misteri bahasa. Untuk penulisan esei, saya kira rencana Rustam A Sani tinggi kualitinya.
Saya juga meminati kolum Prof Dr Shamsul Amri Baharudin dan analisis Prof Jomo. Saya meminati kolum tetap budayawan terkenal Indonesia, Goenawan Mohamad dalam halaman terakhir majalah Tempo, Catatan Pinggir. Malah, ruangan tetap saya, Catatan Hujung, mengambil inspirasi daripada Catatan Pinggir itu. Saya tidak boleh meninggalkan nama besar ini, yang banyak mengilhamkan susunan kata dan ungkapan istilah yang cukup kuat-padu, iaitu Dr Siddiq Fadzil. Saya baca berulang kali buku koleksi rencana pengarang Risalah, terbitan ABIM pada awal 1980-an. Kadang-kadang saya beli buku bukan kerana pengarangnya tapi kerana Dr Siddiq menulis prakatanya saja.
Usaha Subky menerbitkan akhbar bebas seperti Suara Rakyat dan Suara Merdeka cukup menginspirasikan saya untuk menerbitkan tabloid tanpa permit. Begitu juga buku-buku politik popularnya mengilhamkan saya untuk menulis buku-buku sama, terbitan sendiri.
Namun, tokoh yang paling banyak menyuntik semangat buat saya terbabit aktif dalam perjuangan membebaskan media ialah Pak Said Zahari. Saya agak kerap berkunjung ke rumahnya, di Subang Jaya, sambil bercerita kisah legendanya – sanggup dipenjara 17 tahun kerana mempertahankan prinsip – juga mengutip nasihat bermanfaat.
Saya masih ingat, pada akhir 1980-an, saya bergegas ke suatu program di Pusat Belia Antarabangsa Cheras untuk mendengar ceramah Pak Said buat kali pertama. Malangnya, beliau tidak dapat hadir dan diwakili oleh editor Berita Harian Singapura yang membacakan teks ucapannya. Kandungan bertulisnya panas membara, bergejolak dan berapi tapi disejukkan oleh penyampainya. Saya tidak puas hati dengan editor tersebut tapi apa boleh buat. Saya turut mendapat inspirasi daripada tokoh-tokoh reformis awal abad ke-20 seperti Syed Syeikh Al-Hadi, yang mengusahakan penerbitan akhbar dan pusat pendidikan.
Pemikiran kepembangkangan saya mungkin lebih didorong oleh Asri dan Anwar. Harapan saya kepada Anwar begitu tinggi tetapi pecah berderai bila dia masuk Umno. Watak Anwar sebagai pemimpin mahasiwa, Presiden ABIM dan WAMY, serta pengorbanannya menguruskan Yayasan Anda lekat di jiwa saya. Sewaktu di universiti, Ustaz Abdul Hadi Awang menjadi idola. Ceramah dan kuliahnya sekitar Lembah Kelang pasti tak tinggal.
Ketokohan Ustaz Fadzil Noor lebih menonjol ketika menjadi Presiden PAS sehingga berjaya membawa banyak perubahan kerana berani melakukan eksperimen politik. Saya juga cukup kagum dengan kesabarannya; dia juga mudah didekati, senang akrab dan amat menghormati orang lain walaupun kita orang biasa. Saya cukup senang dengan gaya politik Ustaz Fadzil meskipun isi ceramahnya kadang-kadang agak kasar tetapi tetap berjenaka. Benar, ia anugerah besar buat PAS. Di hari kematiannya, saya cukup terpukul dan merasa satu kehilangan amat besar.
Wibawa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat lebih terserlah selepas menjadi MB. Di samping menjadi sumber inspirasi, juga menginsafkan; tok guru banyak mengingatkan tentang kesederhanaan dan kematian. Pesan kerohaniannya cukup membekas di hati. Dia insan luar biasa, yang dapat menterjemahkan tuntutan al-Quran dalam kehidupan di zaman moden ini.
Saya tertarik dengan istilah Prof Mohamad Abu Bakar yang menyifatkan Tok Guru sebagai antara tokoh yang “muncul seperti gunung yang berbanjaran dengan deretan kemuncaknya” dan “menjadikan beliau manusia gunung yang mendefinisikan persekitaran zamannya”.
Saya juga tidak melupai faktor Cikgu Abd Wahab Abd Rahman, dari Megat Dewa, Jerlun, membuatkan saya lebih terbuka menilai pendekatan politik dalam masyarakat Melayu. Saya pernah menjadi setiausahanya semasa beliau Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, 1987.-http://bukulutfi.blogspot.my/
Wawancara ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.