https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kesedaran mengundi belia rendah

Oleh Dr Ismail Sualman

 KIRA-KIRA lima juta remaja dan belia masih belum lagi mendaftar sebagai pengundi yang sah. Bermakna mereka hilang kelayakan untuk mengundi pada PRU14 nanti.

Data yang cukup mencemaskan! Walaupun pelbagai strategi dilakukan supaya mereka yang belum mendaftar agar mendaftar sebagai pengundi namun remaja dan belia yang berusia 21 hingga 39 tahun masih belum berbuat demikian.

Adakah mereka sedar hak sebagai seorang pengundi? Atau mereka sengaja tidak mahu mengundi? Yang lebih menggusarkan walaupun pelbagai promosi dan kaunter terbuka serta langkah berstrategi dilakukan oleh pihak SPR dan badan-badan serta organisasi yang dilantik, namun sikap dingin untuk “tidak mahu mengundi” perlu dicari jawapannya.

Hasil kajian saya menunjukkan hampir 45.8 peratus remaja berpendapat bahawa “mengundi tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka”. Manakala 57.9 peratus pula menyatakan “mengundi tidak membawa apa-apa perubahan kepada negara”.

Data-data ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran mengenai hak mengundi dan keperluan pilihan raya bukanlah keutamaan bagi mereka.

Adakah sudah sampai masanya Malaysia mewajibkan semua rakyat sebagai pengundi seperti dilakukan di negara jiran Asean kita? Tindakan lebih berstrategik perlu dilakukan agar menyampaikan mesej dan kempen kesedaran kepentingan mengundi dilakukan secara menyeluruh dan bersistematik.

Mungkin sudah sampai masanya kita memastikan mereka yang menerima BR1M, pelajar yang menyambung ke peringkat ijazah atau mana-mana urusan yang lain menunjukkan bukti sebagai pengundi berdaftar sebagai syarat wajib.

Malahan SPR boleh melantik “duta” dalam kalangan mereka yang berpengaruh seperti atlet, jaguh sukan, artis atau mereka yang popular berkempen dalam kalangan remaja dengan pelbagai strategi perhubungan awam, periklanan atau menggunakan pemasaran sosial dan media sosial.

Pemerhatian di kaunter-kaunter daftar pengundi membuktikan kurang atau tiada mesej berupa pameran lengkap mengenai keperluan dan kepentingan menjadi seorang pengundi.

Walaupun pejabat pos sebenarnya merupakan ejen yang paling mudah untuk mendaftar sebagai pengundi, namun masih ramai tidak mengetahui hal ini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sehingga suku kedua tahun ini, sebanyak 14.6 juta rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pengundi baharu.

SPR juga mengambil inisiatif mengadakan Program Pendidikan Pengundi bagi mendekati golongan berkenaan yang majoritinya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan berjaya mendaftarkan seramai 2,445 pengundi baharu.

Malahan pelbagai langkah dan “kerahan” dilakukan oleh universiti awam, khususnya agar semua pelajar mendaftar sebagai pengundi. Rata-rata mereka telah pun mendaftar.  Bagaimana pula dengan kolej atau universiti swasta?

Namun perlu diingat bahawa jumlah remaja dan belia lebih ramai yang tidak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi berbanding dengan mereka yang berada di pusat pengajian tinggi.
Mereka ini mungkin sudah bekerja atau penganggur yang “kurang dijejaki” oleh mana-mana pihak berwajib untuk meminta mereka mendaftar sebagai pengundi.

Pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang kerana tempoh matang Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 24 Jun 2018. Justeru, langkah lebih agresif perlu dilakukan untuk mendekati golongan sasar dengan mendidik mereka mengenai kepentingan mendaftar sebagai pengundi.

Hari mengundi akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab, cakna dan mendaftar sebagai pengundi. Tarikh untuk mendaftar sebagai pengundi masih belum ditutup.

Sehubungan itu, jadilah sebagai pengundi yang sah demi menentukan masa depan negara yang lebih gemilang.

 * Datuk Prof Madya Dr Ismail Sualman, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.