Analisis Pasca Pru14 : Hala Tuju Politik Malaysia
Oleh: Abdul Muein Abadi
1. Tumbangnya Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) disebabkan empat faktor utama: dasar ekonomi yang mencengkam secara langsung lebih 4 juta pengundi pertama kali (di samping segmen pengundi yang sedia ada), ‘Tsunami Hijau’ yang menggembeleng undi anak muda di Pantai Timur dan negeri-negeri Utara, ‘Tsunami Cina’ yang bersemangat untuk menguasai kerajaan pusat di bawah kerangka kuasa tawar-menawar DAP, dan seterusnya ‘Tsunami Mahathir’ yang menuai pengaruh ramai elit bekas UMNO-BN (termasuk di Sabah) untuk menumbangkan BN.
2. Apa sebenarnya situasi politik Malaysia sekarang? Siapa yang akan mentadbir Malaysia? Bagaimana pula hala tuju politik kita pasca PRU-14? Fakta Bernama menunjukkan kedudukan kerusi Parlimen berdasarkan parti secara rasmi didahului BN dengan 79 kerusi, PKR kedua dengan 49 kerusi, DAP ketiga dengan 42 kerusi, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) keempat dengan 18 kerusi, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelima dengan 12 kerusi, Parti Amanah Negara keenam dengan 10 kerusi, Parti Warisan Sabah (Warisan) ketujuh dengan 8 kerusi, parti STAR 1 kerusi, dan Bebas 3 kerusi.
3. Walau bagaimanapun, PPBM, Amanah, dan DAP di Semenanjung bertanding menggunakan logo PKR menjadikan PKR memiliki 104 kerusi. Maka PKR (104), BN (79), PAS (18), DAP (9), Warisan (8), Bebas (3), dan STAR (1).
4. Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa pemimpin parti yang memperoleh sokongan terbesar Dewan Rakyat akan diterima mengadap Yang Dipertuan Agong untuk perbincangan pelantikan Perdana Menteri. Dalam kes ini, Datin Seri Dr. Wan Azizah merupakan Presiden Parti PKR yang memenangi kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, meskipun kurang daripada 112 ‘simple majority’ namun sokongan DAP Sabah dan Sarawak serta Warisan secara jelas memenuhi syarat berkenaan.
5. Meskipun demikian, Datin Seri Dr. Wan Azizah boleh mencadangkan nama individu lain yang disokong oleh 112 atau lebih anggota Dewan Rakyat untuk dipersembahkan kepada Duli YDPA. Dalam kes ini, nama Tun Dr. Mahathir dijangka akan diangkat dan dipersetujui kesemua gabungan PKR-DAP-Warisan yang ada.
6. Namun awas, politik ialah seni serba mungkin. Adegan lompat-melompat parti tidak asing sama sekali dalam politik Malaysia. Banyak yang diperkatakan mengenai rundingan dan tawar-menawar di sebalik tabir. BN dengan 79 kerusi masih mampu melakukan sesuatu dengan berusaha mendapatkan sokongan sebahagian anggota parlimen Pakatan, Warisan, bahkan juga PAS.
7. Seandainya BN benar-benar melakukan sesuatu di sebalik tabir, maka tidak mustahil mereka akan memperoleh minimum 112 kerusi yang diperlukan iaitu BN (79), Warisan (8), sekurang-kurangnya 7 ahli anggota Pakatan dan perlu berunding dengan PAS (18).
8. Tidak mustahil sama sekali sekiranya Pakatan Harapan gagal meneguhkan kesetiaan kesemua anggota ahli parlimennya, maka sesi lompat-melompat berkemungkinan bermula. Tentu sekali DAP yang telah berkorban logo Roket mereka ingin memperoleh kedudukan eksekutif yang kanan dalam pentadbiran. Apatah lagi dengan 42 kerusi yang mereka miliki kini. Demikian juga para elit bekas UMNO-BN yang menyertai PPBM, pastinya mereka ingin diberi posisi yang bukan calang-calang.
PKR pula yang anggota sebenarnya memiliki 49 kerusi parlimen sememangnya terkenal dengan rekod lompat-melompat parti. Parti Amanah Negara meskipun hanya memiliki 10 kerusi tentulah berhasrat untuk memainkan peranan strategik dalam kerajaan Pakatan Harapan, apatah lagi selepas mereka gagal di Terengganu dan Kelantan.
9. Dalam konteks ini, PAS boleh menjadi ‘Kingmaker’ di peringkat pusat. Pakatan Harapan tidak seharusnya mengetepikan sama sekali rundingan dengan PAS yang memiliki 18 kerusi dalam membentuk kerajaan persekutuan. Malah, langkah pencegahan (preemptive) perlu dilakukan Pakatan bagi mengelakkan BN berjaya memperoleh kelebihan pendahulu (first-mover advantage) dalam rundingan dengan PAS dan ahli-ahli parlimen Pakatan lain bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
10. Tsunami Hijau jelas memberi isyarat betapa Pakatan tidak seharusnya meminggirkan PAS sama sekali. Peratus undi golongan muda di Pantai Timur dan negeri-negeri Utara adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu sekitar 45 peratus. Maka kemenangan PAS di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pahang, sebahagian Perak, Perlis, dan Pulau Pinang sebenarnya memberikan satu isyarat yang jelas: PAS mendapat undi besar daripada golongan muda di Pantai Timur dan juga di negeri-negeri Utara yang merupakan kelompok pengundi muda yang paling ramai di Malaysia.
11. PAS juga tentulah menyedari betapa gabungan angin ‘Tsunami Mahathir’ (dan Shafie Apdal) dan ‘Tsunami Cina’ telah membenam BN sepenuhnya di negeri-negeri Pantai Barat serta Sabah dan Sarawak. Sebarang cubaan PAS membentuk kerajaan dengan BN bakal mendatangkan akibat yang buruk untuk jangka masa panjang. Maka tidak perlu PAS mensia-siakan undi besar golongan muda Pantai Timur dan negeri-negeri Utara yang mereka perolehi dengan memberi talian hayat kepada BN.
12. Situasi yang sama jelas berlaku di peringkat negeri. Fakta penguasaan kerajaan negeri adalah seperti berikut: Pakatan menguasai lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan. BN menguasai 3 negeri: Perlis, Pahang, dan Sarawak. PAS pula menguasai 2 negeri: Kelantan dan Terengganu.
13. PAS jelas bukan sahaja boleh menjadi ‘Kingmaker’ di peringkat Persekutuan, bahkan juga di peringkat negeri Perak dan Kedah. Dalam keadaan Pakatan menguasai 29 kerusi di Perak berbanding 27 BN, PAS boleh menguatkan kerajaan dengan menyertai Pakatan. Demikian juga di Kedah di mana gabungan PAS-Pakatan bakal membentuk kerajaan yang kuat di mana PAS kini menguasai 15 kerusi berbanding 18 kerusi Pakatan. BN pula hanya memiliki 3 kerusi di Kedah.
14. Dari sudut komponen bilangan ahli parlimen Islam dan juga usaha penegakan agenda Islam, PAS perlu mempertimbangkan peluang menyertai ‘post-electoral coalition’ dengan Pakatan kerana imbangan kerajaan Pakatan yang bakal terbentuk kini kurang memihak jumlah ahli parlimen Muslim.
15. Malah, Pakatan juga turut menjanjikan pemberian royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas: tentulah keadaan ini menguntungkan rakyat di bawah pentadbiran PAS di Terengganu dan Kelantan.
16. Dari sisi yang lain, berbeza dengan Amanah yang kekurangan kerusi dan keupayaan untuk merantai serta mengekang dominasi DAP, PAS sebaliknya lebih kuat dan terbukti memiliki iltizam politik yang tinggi. Maka kedua-dua pihak PAS dan Pakatan terutama sekali PKR perlu mempertimbangkan perspektif ini secara mendalam.
17. Keutamaan parti-parti politik di Malaysia kini khususnya Pakatan dan PAS adalah dengan membentuk kerajaan yang kuat. Hanya kerajaan yang kuat sahaja mampu memacu hala tuju Malaysia menjadi negara peradaban Melayu Islam yang berperanan di peringkat antarabangsa. Kuat bukan semata-mata dalam erti kata memiliki jumlah kerusi yang banyak, tetapi juga kuat dalam erti kata memiliki kerajaan yang dibarisi anggota parlimen yang tegas memelihara kerangka asas negara bangsa Malaysia dan kalis adegan ‘lompat-melompat’. PAS jelas memenuhi kesemua ciri tersebut.
18. Tentulah PAS dan Pakatan boleh terus bergerak secara berlawanan di mana PAS kekal menjadi pembangkang yang kuat, dan Pakatan kekal menjadi kerajaan didominasi bukan Muslim dan terdedah pula kepada rundingan di sebalik tabir BN yang masih menguasai sebesar 79 kerusi parlimen. Namun kedua-dua senario ini tidak menjadikan Malaysia sebuah negara berperadaban Melayu Islam yang stabil – sama sepertimana senario kerajaan Pakatan Rakyat Perak didominasi DAP yang bertahan 11 bulan sahaja pada 2008.
19. PAS juga boleh kekal menjadi blok ketiga dan membangunkan serta melebarkan kekuatannya dari Pantai Timur dan Utara ke negeri-negeri Pantai Barat menjelang PRU-15 kelak. Perlu diingat, PAS kini bukan hanya berkuasa di Kelantan dan Terengganu serta berpengaruh besar di Kedah dan Pahang, bahkan memiliki kerusi di Johor, Pulau Pinang, Perlis, dan Selangor. Namun dari segi peluang untuk mengawal dominasi DAP dalam kerajaan Pakatan Pusat, konsep Taawun dengan ahli parlimen Muslim yang lain – termasuklah kerajaan campuran Pakatan-PAS – perlu dipertimbangkan dengan serius.
Allah Peliharakan Malaysia.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.