https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRU14: Memilih mudarat lebih kecil

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

1. Alhamdulillah, syukur setingginya kepada Allah SWT yang memberi sedikit  kekuatan dan membekal keupayaan untuk saya menyiapkan buku ini, Mengapa Mahathir?,mdalam tempoh yang singkat dan kritikal.

2. Saya memilih pendekatan menyusun tulisan-tulisan yang dianggap terbaik - dan bukannya menulis sendiri untuk keseluruhan buku - bagi memenuhi tema yang dipilih, berkaitan pilihan raya umum  ke-14, disebabkan dua perkara.

Pertama, sejak uzur berpanjangan pada 2014, terutama berkaitan kualiti penglihatan dan rutin dialisis, saya terhalang daripada aktiviti membaca, menelaah, dan berfikir secara intensif, apatah lagi membuat analisis.

Kedua, saya lebih suka sekiranya pembaca mempunyai banyak pilihan untuk menatap idea-idea dan sudut pandang yang pelbagai. Mungkin pengalaman lama saya sebagai editor akhbar dan majalah mendorong saya mempersembahkan buku ini seumpama format penerbitan dua medium itu.
Sekurang-kurangnya, daripada tidak berupaya langsung menulis, saya cuba berusaha dalam kadar kemampuan, untuk terus menyumbang, termasuk dalam bentuk sesi wawancara, dengan tenaga akademik, aktivis dan aktor politik sendiri.

3. Buku ini, dan juga buku-buku sebelumnya, seperti Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti, boleh digolongkan dalam kategori buku politik popular, bukannya karya separa ilmiah, apatah lagi buku akademik, tetapi ia tidak menghalang saya daripada menyelitkan terjemahan tulisan  saintis politik yang dianggap berautoriti dalam bidang masing-masing.

4. Saya lebih cenderung untuk membantu pembaca mendapat gambaran lebih menyeluruh, termasuk pro-dan-kontranya sesuatu isu yang dibahaskan. Dan bukannya disogokkan dengan satu jalur pemikiran sahaja.

5. Meskipun era langit terbuka dan dunia tanpa sempadan  telah memecahkan monopoli pihak tertentu, terutama kerajaan dan pemodal, terhadap saluran informasi, tetapi fenomena ini gagal dimanfaatkan sebaiknya dengan tertib dan bertamadun. Kita kerap dilambung emosi dan sentimen melulu apabila ada yang tidak dapat mengawal hujung jari.

Sewajarnya, berbekal kebebasan - walaupun masih dikongkong sekatan yang tidak perlu - kita mampu berdebat dan berbahas, secara rasional, dipandu akal fikir yang terbuka. Bangsa yang maju dan progresif tidak memerlukan peraturan ketat yang mengikat, untuk membudayakan diri dengan disiplin dan amalan mulia.

6. Sejak pilihan raya umum 1990, saya tidak pernah absen daripada turut menyumbang, khususnya atas kerjaya sebagai wartawan, penulis mahupun editor. Jika tidak bersama penerbitan akhbar Harakah, saya mengeluarkan majalah, makalah atau siri tabloid tanpa permit, terutama semasa kempen. Terisi  juga, masa berharga dan dapat bersama-sama rakyat yang begitu lama dan cekal menuntut perubahan.

7. PRU14 dikatakan ibu segala pilihan raya. Bermakna ia bagai medan tempur paling dahsyat dan paling menjanjikan, untuk melihat mimpi menjadi realiti. Ramai juga menjangka ia satu pilihan raya cukup menarik, penuh taktik dan juga penipuan. Sememangnya padang tidak pernah sama rata dan peraturan permainan tidak pernah adil. SPR pula bukan bertindak sebagai penyelia atau pengadil, tetapi beraksi bersama pemain di sebelah BN. SPRM yang sepatutnya mengawasi aksi salah laku korupsi dan penyogokan, hanya memilih bulu. Media kerajaan usah dibincangkan lagi; segala jentera, sumber dan kemudahan kerajaan menjadi perkakas untuk mempertahankan kuasa.

8. Buku ini merupakan usaha kecil saya untuk merongkai polemik yang timbul ekoran cadangan menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calonn PM jika Pakatan Harapan menang PRU14.  Ia tentu sekali bukan satu keputusan yang mudah, khususnya bagi pimpinan utama tiga parti, PKR, DAP dan Amanah. Semua mereka merupakan mangsa penindasan politik semasa pemerintahan Mahathir, sehingga ramai di antaranya yang pernah dibuang daerah dan ditahan tanpa bicara di Kamunting. Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak paling teruk menerima musibah dan padah. Namun, jiwa besar dan sikap memaafkan dktunjukkan. Malaysia wajib diselamatkan daripada regim kleptokrasi. Sudah lebih 60 tahun kita dikuasai gabungan parti yang sama. Penguasa ini cukup lama menikmati takhta kuasa, sehingga ramai rakyat seolah-olah percaya bahawa tiada parti lain yang mampu mentadbir dengan lebih baik.

9. Ada budaya was-was dan takut untuk membuat perubahan, yang mesti dibenamkan. Tembok psikologi itu harus diruntuhkan. Benteng pejal zaman berzaman itu wajib dipecahkan. Sampai berapa lama lagi warisan karut-marut ini akan menghalang negara mencapai kemajuan, kesejahteraan dan keadilan? Berapa lama lagi kita harus berilusi untuk menikmati tamadun yang lebih tinggi, menghukum pencuri dan perompak harta awam, mengheret perasuah ke muka pengadilan, melebarkan kekayaan negara buat setiap warga?

10. Pembangkang pernah bergabung di bawah Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990 untuk menumbangkan Umno-BN tapi gagal. Semangat Reformasi Anwar Ibrahim menyatukan oposisi pada 1999, namun tetap dikecewakan. Tahun 2013, Anwar bebas berkempen di lapangan dan berjaya melonjakkan undi popular ke tangga 52 peratus, sayang sekali dua negeri, Kedah dan Perak, terlepas ke tangan BN, sementara jumlah kerusi Parlimen masih jauh daripada mencukupi untuk menawan Putrajaya.

11. Tsunami politik yang bermula 2008 dikatakan tidak berjaya menembusi kampung tradisi dan penempatan tanah rancangan. Sentimen perkauman masih menjadi senjata beracun buat mengekalkan kuasa. Sebahagian oang Melayu termakan dengan perangkap yang menakutkan, iaitu masyarakat Cina akan menguasai politik selepas begitu lama mrncengkam dunia bisnes. Jika Najjb dapat dikalahkan, diuar-uatkan penggantinya adalah Lim Kit Siang, tokoh yang dibajai imej chauvinis dan komunis sejak 1969. Nampak semacam satu propaganda tidak berasas dan cerita karut, tetapi itulah talian hayat Umno selama ini. Rakyat akan dipukau sandiwara usang, dengan skrip yang  sama, pengarah yang berpengalaman, bertujuan mengaburi penonton abad ke-21 ini.

12. Momentum PRU13 tersekat apabila kesatuan pembangkang remuk. Pas bukan sahaja memilih jalan dan haluan  sendiri, tetapi juga mengalih sasaran meriamnya ke arah bekas sekutu rapat, DAP. Suara dan intonasi pemimpin Pas sukar dibedakan dengan kempen murahan BTN atau Jasa. Hentakan menyerang DAP lebih padu berbanding Umno kerana ia sarat dengan hujah agama. Pas pernah berpisah dengan DAP yang membentuk Barisan Alternatif, menjelang PRU2004, namun persefahaman tidak formal tetap terjalin. Kali ini berbeda sama sekali. Bagaikan berpatah arang berkerat rotan. DAP musuh paling jahat, sementara Umno pula dihadapi penuh hemah. Presiden Pas menasihatkan ahli-ahlinya di Terengganu, semasa merasmikan gerak kerja pilihan raya, agar "hentikan cakap-cakap negatif, seperti hancur Umno, nampus Umno, hentikan ketegangan". Ustaz Hadi Awang juga, dalam ucapan sama, seperti sudah bersedia mrngagih-agihkan  dan membiarkan negeri-negeri tertentu kepada BN.

13. Di kala penyokong pembangkang bermuram-durja, memandang pesimis hari depan PRU14, terdengar dua khabar yang agak menyenangkan. Kelahiran Parti Amanah Rakyat yang diterajui bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendapat sambutan hangat, terutama dari kelompok Islamis. Lebih mengujakan, dan tanpa diduga, Umno yang seolah-olah bakal menang mudah dikejutkan dengan gegaran berskala besar. Bekas presiden selama 22 tahun, Dr Mahathir Mohamad keluar parti, dan seterusnya menubuhkan parti baharu. Membawa ramai penyokong dan lebih penting, diterima sebagai ketua gabungan yang baru, Pakatan Harapan. Misinya dijelaskan daripada  awal, oposisi mesti bersatu dan harus ditampilkan kesatuan itu, yakni melalui satu logo, satu manifesto, dan satu parti yang didaftarkan. Mahathir yang tajam pengamatannya, tepat sasarannya, sentiasa progresif mencapai matlamat, dan tidak teragak-agak untuk mencapai rumusan setiap mesyuarat.

14. Namakan apa jua gabungan pembangkang selama ini. Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, Barisan Altenatif dan Pakatan Rakyat. Semuanya gagasan yang diikat longgar, tanpa struktur formal dengan masing-masing mengibarkan panji-panji tersendiri. (Bukan Ku Li atau Anwar atau Ustaz Fadzil tidak menyumbang ke arah memperkukuh barisan pembangkang, malah mereka berjasa besar merintis jalan memupuk sistem dua parti. Mahathir bernasib baik dapat menumpang teduh di atas landasan mantap itu).

Untuk berpakat mrnggunakan logo atau lambang yang satu tentu jauh sekali. Pas taksub dengan lambang bulan dan warna hijaunya, DAP pula tidak bersedia menggugurkan imej roketnya. Masing-masing bimbang dengan respons negatif penyokong tegar. Tidak terlintas langsung untuk semua parti bertanding atas satu logo - dengan memilih mana-mana lambang parti sekutu - dalam kertas undi, seperti  dilakukan PH yang bersepakat menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat. Satu keberanian untuk maju ke depan.

15. Merujuk laman rasmi PKR, lambang parti itu, dijelaskan sebagai:  "Mata yang terbuka adalah cahaya yang menyuluh perjuangan untuk menegakkan keadilan. Mata yang terbuka mencerminkan mata hati nurani yang mendorong parti untuk mencapai perubahan ke arah kebenaran dan keadilan."


16. Tentu tidak siapa dapat membayangkan, Mahathir akan bertanding atas tiket PKR, parti yang ditubuhkan pada, 1999 semata-mata ekoran pemecatan timbalannya, Anwar dan yang menggemakan "teriakan Undur Mahathir, Undur!" Dan seterusnya memakai lambang "mata lebam", yang masyarakat umum mengaitkannya dengan aksi prnganiayaan dan simbol kezaliman. Ya, sungguh ironi sekali, kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat "dunia berputar 360 darjah".

17. Tidak mudah juga untuk Mahathir mendaftarkan partinya, Bersatu. Lagi sukar menunggu kelahiran rasmi PH dengan logonya sendiri. Justeru, tidak hairanlah Bersatu diperintah bubar sementara atas daleh yang sengaja dicari. Mahathir ada pengalaman luas menguruskan konflik dalam Umno pada 1988 sehingga diharamkan mahkamah. Beliau kemudiannya menubuhkan parti baru. Tetapi suasananya cukup berbeda. Umno diisytihar tidak sah atas  kehendak Mahathir, ketika menjadi PM dan Menteri Dalam Negeri, tetapi realiti hari ini beliau dan partinya adalah seteru terbesar elit penguasa yang wajib ditumpaskan.

18. Saya tidak pernah menghadiri pidato dan rapat umum Mahathir, juga majlis ceramah PH, walaupun begitu berhasrat mengikutinya dari dekat. Naluri kewartawanan mendesak untuk turut menghayati situasi sebenar di lapangan akar umbi. Turun ke bawah, bergaul dengan masyarakat setempat, melihat sendiri denyut nadi rakyat, merasai sambutan orang ramai, keluh-kesah mereka, cukup banyak membantu saya menulis colour story, sekali gus membuat unjuran dan jangkaan.

19. Mungkin kita boleh mengikuti program melalui FB Live atau siaran langsung internet. Bagaimanapun, ia membataskan kita daripada turut menghayati  dan merasai gelombang senyap. Kita hanya mendengar audio dan sudut lensa yang terhad. Apa pun, sedikit sebanyak ia turut membantu memahami gemuruh suara rakyat menuntut perubahan.

20. Sememangnya pengaruh dan aura Mahathir masih membekas, khususnya di kalangan Melayu kampung dan kawasan Felda, dua komuniti yang mengekalkan kuasa Umno-BN.  Mahathir, seperti kata  Hishamuddin Rais, membuka pintu kota Putrajaya dari desa dan Felda.

21. Dengan segala kekurangan dan rekod buruk yang ditinggalkannya, siapa lagi tokoh yang lebih sesuai untuk memimpin PH dan menja di calon PM?  Cuba senaraikan seorang demi seorang. Pastinya, ketua setiap parti komponen. Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tentu saja sĆ¹dah terkeluar. Yang tinggal Muhyiddin Yassin, Dr Wan Azjzah Ismail dan Mohamad Sabu. Anwar juga tidak masuk senarai kerana masih di penjara dan perlu mendapat pengampunan  Agong sebelum layak aktif berpolitik. Kak Wan dan Mat Sabu tidak berpengalaman dan kurang pendedahan, meskipun begitu lama teruji dengan siri tekanan dan perlawanan. Tinggal Muhyiddin. Sebelumnys ada yang menamakan Azmin Ali dan Rafizi Ramli. Kedua-duanya mungkin punya potensi, tetapi  bukan pada detik dan ketika ini. Apakah PH tidak percaya dengan orang muda? Tidak. Kita lebih memerlukan faktor yang boleh meningkatkan sokongan dan meraih simpati; seseorang yang dapat memujuk penyokong Umno untuk beralih arah.

22. Apa kekurangan Muhyiddin pula? Bukankah dia bekas TPM, pelbagai  potfolio menteri pernah dipegangnya dan berpengalaman menerajui kerajaan negeri Johor? Kelantangannya menyuarakan skandal mega 1MDB juga menjadi saksi dia boleh dipercayai dan tegas orangnya. Walaupun tidak begitu menyerlah karisma kepimpinannya, tapi Muhyiddin  juga berkebolehan tinggi dalam pentadbiran. Sekali lagi, kita memerlukan sosok yang boleh mendekatkan dengan kemenangan: harus ada faktor wow!

23. Malah, senjata yang mampu memecahkan kota kebal Umno dan diterima majoriti rakyat untuk membina kembali negara, lebih diperlukan berbanding tokoh yang dijangka berupaya mentadbir dengan berkesan. Hanya dengan menumbangkan Umno terlebih dahulu baharulah segala idealisme reformasi dan pembaharuan dapat dijalankan.

24. Ada juga pihak yang merasakan Dr Mahathir dengan koleksi eksperimennya yang berwarna-warni memudahkan proses rawatan dilakukan ke  atas negara yang nazak ini, dengan segera. Kombinasi dengan rakan-rakan baru Mahathir yang kaya idealisme, membolehkan satu kerangka lebih segar dapat diwujudkan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Sahabat-sahabat Mahathir yang baru ini, bukan seperti teman-teman lamanya dalam Kabinet dahulu, yang terlebih angguk dan ouja-puji sehingga Mahathir selalu berseloroh, "terpaksa beli songkok lebih besar kerana kepala saya bertambah besar bila dipuji berlebihan".

25. Cadangan memendekkan penggal seorang perdana menteri tentu tidak mempengaruhi Mahathir kerana beliau dijangka berkuasa dalam tempoh yang relatif singkat. Harapan rakyat agar janji-janji awal 100 hari dapat dilaksanakan bagi meringankan bebanan hidup. Mereformasikan institusi jangan diremehkan kerana ia bakal mewujudkan iklim yang serasi dan kondusif untuk pertumbuhan serta agihan adil ekonomi. Jaminan memerangi rasuah hingga ke lubang cacing juga memerlukan kecekalan dan kekuatan peribadi seorang PM. Dalam sistem politik naungan dan budaya pembiayaan politik yang sarat dengan korupsi, peraturan baru yang keras juga memerlukan pemimpin  yang sanggup kehilangan populariti ekoran pelaksanaan tanpa pilih bulu.

26. Mahathir mempunyai kelebihan dan kekuatan itu. Cuma, seperti pernah dilafazkan Almarhum  Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, sayang sekali Mahathir tidak menggunakan kehebatannya demi Islam. Mahathir mampu berdepan raja-raja Melayu bagi membataskan imuniti baginda, jadi tentulah lebih mudah untuknya membawa pembaharuan lain, yang kurang risikonya, 'kan?

27. Sahabat saya, Saifuddin Nasution Ismal, ketika kami berbicara semasa pelancaran buku parti Islam Amanah, 27 Mac sempat berkongsi cerita tentang gaya politik Mahathir dan Anwar. Saifuddin rapat dengan kedua-dua tokoh ini, walaupun dalam kesempatan berbeda namun penceritaannya bermanfaat dan menarik sekali.

28. Buku ini juga memuatkan hasil sembang santai saya dengan Saari Sungib, bekas tahanan ISA sebanyak dua kali, juga pemimpin Reformasi. Sudut pandangnya mungkin berbeda dan cukup berwaspada dengan kemunculan semula Mahathir, tetapi ia tidak sama sekali menghalang proses perubahzn digerakkan. Begitu juga pemerhatian Adam Adl, anak muda yang nampak bersuara lantang dan agresif, namun rasional menilai sumbangan Mahathir. Beliau turut melihat peri pentjngnya diupayakan rakyat dan dikurangkan politik personaliti. Idea yang sama dikongsi budayawan Dinsman, seorang penyair yang pernah rapat dengan Mahathir pada awal 1980-an.

29. Rakan-rakan penulis, seperti Mohd Sayuti Omar, Lim Hong Siang dan Abu Firdaus lebih menyentuh  sikap dan pendirian baru Pas, yang bercita-cita menjadi kingmaker dalam PRU14. Ramai menyifatkannya,  bukan sahaja sebagai angan-angan, tetapi ia sebenarnya  membantu Umno-Najib untuk kekal berkuasa. Undi tradisi pembangkang yang dulunya solid kini dipecah-pecahkan. Pas juga dari awal membayangkan ia hampir mustahil dapat bekerjasama dengan PH dan lebih mudah berkomunikasi dengan pemimpin Umno dan komponen BN.

30. Prof Emiritius Clive Kessler yang terkenal sebagai penganalisis politik Melayu turut mengesan ada perubahan besar dalam hubungan Umno-Pas. Saya sengaja menyisipkan terjemahan artikelnya bagi menunjukkan  tingkahlaku politik Pas telah ditafsirkan  dengan rumusan yang hampir sama oleh ramai pemerhati. Pimpinan Pas tentu saja menolak persepsi itu dan menyifatkannya sebagai fitnah. Saya berulang kali menegaskan tafsiran atau bacaan orang terhadap aksi dan sikap Pas bukannya satu fitnah. Ia adalah pemahaman umum terhadap beraneka gelagat Pas, yang berhak untuk ditafsirkan,

31. Saya meletakkan topik tentang impian Pas itu bersama huraian mengenai faktor Mahathir kerana dua sebab. Pertama, saya mengetahui latar belakang yang agak mencukupi tentang dinamika Pas.

Dan saya lebih gemar menulis atau menyusun buku yang menyentuh isu atau persoalan yang saya mahir mengenainya. Kedua, gerak laku atau kecenderungan mengundi penyokong Pas mempunyai impak besar dalam keputusan PRU14. Boleh jadi jumlahnya tidak ramai, tetapi di kawasan marginal, pertandingan tiga penjuru mungkin ditentukan oleh jumlah pengundi yang kecil. Sebagai orang lama dalam Pas dan masih berhubung rapat dengan teman-teman di sana, saya maklum dengan dilema mereka. Berat sekali untuk meninggalkan jamaah tetapi keliru dengan sikap "berpusing-pusing" parti, ke kanan tidak, ke kiri pun tidak. Bengong dengan sikap "terawang-awang" parti, ke bawah tidak, ke atas pun tidak. Lebih sedih apabila senario itu hanya menguntungkan Najib dan kelompok yang memusnahkan negara. Kalau saya boleh menunjuk keluar, ikutlah nasihat supaya memilih mudarat lebih ringan, dengan mengundi PH!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.