Adakah janji dalam masa 100 hari hendak menghapuskan semua tol dalam negara yang dikatakan menelan belanja seba­nyak RM380 bilion telah berjaya menggamit tarikan pengundi?
Atau menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang pemansuhannya dipercayai menyebabkan kerugian sebanyak RM45 bilion kepada pendapatan negara menjadi buah tangan paling bernilai menikam kalbu pengundi?

Itu belum lagi pelupusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain menikmati biasiswa serta pendidikan percuma yang dijanjikan PKR dalam manifesto mereka.

Mahu tidak mahu, diakui janji-janji inilah yang memberi harapan baharu kepada pengundi yang meliputi banyak segmen dari golongan muda, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40). Dikatakan, menurut penganalisis, amat attractive.

Janji-janji ini begitu sinonim dengan kehendak penduduk bandar dan kawasan luar bandar apabila memperkatakan isu kos sara hidup.

Pada masa sama, isu integriti dan rasuah masih mendapat kedudukan yang tinggi dalam kalangan pengundi bandar. Ini apabila gabungan pembangkang PKR berulang kali menyerang syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB dengan mengaitkan isu ‘akaun peribadi’, ia dilihat suatu aspek yang mengundang perhatian pengundi terutama atas pagar. 

Isu integriti ‘diminati’ golo­ngan penjawat awam, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan profesional.

Dalam mengatur strategi menghadapi ibu segala pilihan raya ini, jentera BN dilihat begitu over confident dengan akhbar ini difahamkan, di depan pemimpin mengakui ‘kami sudah buat kerja itu ini’. 

‘Keyakinan’ itu diperkuatkan lagi dengan tidak ada satu pun ramalan diulas para penganalisis politik bahawa BN akan kalah. Kalau dibaca The Times of London, apa lagi media arus perdana, semuanya meramalkan BN akan menang selesa.

Oxford Economics, sebuah firma penyelidikan turut mengulas janji-janji pilihan raya menerusi Manifesto BN termasuk kenaikan gaji kakitangan awam dan upah minimum lebih tinggi dijang­ka meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak kira-kira 0.25 mata peratusan tahun ini. 

Bagi Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau tidak ambil mudah cabaran yang akan ditempuh dalam PRU-14 tetapi yang menjaga kawasan masing-masing, mereka barangkali sudah menjadi over confident - dengan sebahagiannya tidak memberi fokus serius untuk mencapai sasaran dikehendaki.

Semasa kunjungan akhbar ini ke Johor selama empat hari dari 1 Mei lalu, suasana di negeri itu begitu ‘tenang’ dengan kunjungan sekejap-kejap penasihat DAP, Lim Kit Siang ke Gelang Patah. Apabila diajukan pertanyaan kepada seorang rakan, katanya: “Tidak nampak kelibat Kit Siang di Sutera Mall dan Bukit Indah seperti mana ‘lautan manusia’ di sana pada PRU-13... tak pasti kenapa.”

Dan kebiasaannya yang ‘te­nang’ itulah yang akan ‘bergelora’, seloroh penulis kepadanya.

Selain itu, sesuatu yang tidak boleh di­sangkal lagi punca ke­kalahan BN akibat ‘penangan’ 1.7 juta pengundi yang pertama kali menunaikan tanggungjawab itu. Kebanyakan mereka merupakan pengguna media sosial yang tegar selain kira-kira 40 peratus pengundi berumur 40 tahun ke bawah yang menjadi penentu.

Majoriti mereka ini adalah golongan B40 yang mungkin baru menerokai kehidupan dengan berdepan cabaran hidup bandar - terpaksa menjelaskan segala bil termasuklah sewa rumah.

Malah, kalau hendak dikatakan kategori manakah yang mencetuskan ‘tsunami’, barangkali mereka inilah yang mendominasi saluran 4, 5 dan 6 di pusat-pusat mengundi yang dipanggil ‘tsunami golongan muda Melayu’.

Juga, jangan kita lupa ada beberapa faktor dalam PRU-14 ini yang tidak ada semasa PRU-13 lalu.

Dalam PRU-14 ini, UMNO berpecah, dengan pesaingnya tidak lain tidak bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masak dengan sepak terajang politik selama 22 tahun. Beliau telah melalui dan melepasi episod-episod getir dalam politik tanah air termasuklah berjaya menghidupkan semula UMNO setelah parti itu diharamkan pada 1988 dan reformasi jalanan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1999).

Pada masa sama, pemecatan pemimpin kanan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut ‘merencatkan’ keadaan.

Demikian juga semasa PRU-13 tidak terjadi perpecahan organi­sasi institusi Melayu tetapi kali ini - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terbelah dua - satu menyokong kerajaan dan sebahagian lagi pembangkang.

Kalau di Selangor, Perkasa di negeri ini lebih di sebelah Dr. Mahathir dengan seorang pe­mimpinnya begitu aktif berkempen, bahkan sering muncul di laman Facebook berdampingan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Ternyata, ketika tsunami Cina kekal tak lekang di jiwa kaum itu, PRU-14 hakikatnya memunculkan tsunami orang muda Melayu. 

Dan rakyat sudah bersuara.