Ahli Umno diseru hijrah sertai PAS
Oleh USTAZ MOKHTAR SENIK
SAYA menyeru
sahabat-sahabat saya ahli Umno dan pengundi Umno. Tidak ada sebab lagi
untuk anda berada dalam Umno. Kerana Umno bukanlah parti keramat seperti
yang dilaungkan dalam setiap kali Himpunan Agung Umno sebelum ini.
Kata-kata itu bukan lagi jampi yang dapat mengembalikan kekuatan Umno.
Kalau sebelum ini Umno memang dilihat
sebagai benteng ketuanan Melayu di negara ini. Orang-orang Melayu
sebelum ini sangat percaya tanpa Umno, maruah Melayu akan layu. Tanpa
Umno tidak ada pembangunan dan kemajuan. Tanpa Umno rakyat akan hidup
merempat dan akan jadi keparat di tanah air sendiri.
Keyakinan sebegitu
bukan sahaja menerjah masuk dalam saraf orang-orang Melayu bahkan telah
menjadi semacam darah merah yang mengalir ke seluruh tubuh. Maka tidak
hairan, Umno BN berjaya bertahan selama 6 dekad lebih. Sehingga tidak
terbayang walau sebesar zarah dalam hati penganut tegar Umno, bahawa
satu hari nanti Umno akan kalah apatah lagi bergelar arwah.
Memang benar, seawal penubuhan Umno
itulah nawaitu para pejuangnya. Mereka ikhlas membela maruah bangsa.
Namun nawaitu itu semakin pudar dan terpesong, seiring dengan pertukaran
Perdana Menteri (PM) demi PM. Sehingga kini wajah Umno itu sudah sangat
berubah. selepas PRU14, Umno bagaikan bilah aiskrim. Aisnya sudah cair.
Manisnya sudah hilang. Yang tinggal hanya bilahnya sahaja. Ini dapat
dilihat bagaimana berlompatannya sebahagian pimpinan Umno dan wakil
rakyat Umno kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebenarnya tiada apa lagi dalam Umno.
Umno sudah hilang kuasa dan wang. Sebelum itu Umno telah kehilangan arah
tuju asal perjuangannya. Ahli-ahli Umno yang masih ikhlas dalam
perjuangan demi memartabatkan bangsa dan agama, patut membuat keputusan
segera untuk bersama PAS. Jika yang anda cari dan perjuangkan itu ialah
Islam, maka Parti Islam inilah medan anda. Jika yang anda cari itu
ketuanan Bangsa Melayu maka PAS-lah partinya. Kerana tidak ada Parti
Melayu yang paling dominan selepas kekalahan Umno selain PAS. Lagipun
apalah yang boleh anda harapkan kepada PH yang didominasi oleh DAP itu
untuk survival Islam dan Melayu.
Tahukah anda bahawa antara perkara yang
paling ditakuti oleh PH saat ini ialah penghijrahan sokongan ahli Umno
kepada PAS. Kerana mereka tahu, jika hal itu berlaku, cantuman undi PAS
dan undi Umno mampu menjadi mimpi ngeri kepada mereka. Oleh itu tidak
ada sebab mengapa Umno masih perlu bersendiri selepas segala-galanya
telah hilang dari Umno. Umno dan PAS perlu mengajar DAP dan beberapa
orang pimpinan PH bagaimana mahu menghormati Islam sebagai agama
Persekutuan dan Melayu sebagai tuan kepada bumi Malaysia ini.
PAS bersedia menjadi Ansar yang berjuang bersama Muhajirin Umno demi Islam.
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.