Kerajaan, semua MP wajib pertahan Islam
KERAJAAN dan semua ahli parlimen sama ada Islam atau bukan Islam berkewajipan untuk mempertahankan Islam.
Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan
sesuai dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang telah
memperuntukkan “Islam ialah agama bagi Persekutuan”.
Sebagai ahli badan legistatif, ahli-ahli parlimen sepatutnya lebih memahami tuntutan daripada peruntukan ini.
Tambah pula, Tanah Melayu telah
mempunyai peruntukan jelas mengenai kedudukan Islam sebagai agama negeri
sejak dari sebelum merdeka. Perkara VII Perlembagaan Negeri Johor 1895
dan Fasal 51 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 lebih awal meletakkan
Islam sebagai agama negeri.
Menunjukkan, agama Islam itu begitu
sebati sekali dalam adunan budaya dan amalan dalam negara ini sejak
dahulu lagi sehingga diperundangkan dalam Perlembagaan.
Justeru, adalah tidak wajar sekali jika
berlaku dalam pentadbiran dan tindakan para pemimpin di negara ini yang
bercanggah dengan kehendak dan ajaran agama Islam.
Kerajaan juga mesti memahami bahawa
adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk "menegakkan Islam dan
mentadbir dunia dengan Islam itu" seperti yang dijelaskan oleh para
ulama Islam dalam disiplin ilmu ketatanegaraan dan politik Islam.
Apabila Islam ditegakkan maka agama-agama lain akan terpelihara untuk
diamalkan secara aman dan damai kerana antara prinsip Islam ialah tiada
paksaan dalam beragama.
Salah satu kewajipan ini ialah memelihara agama Islam (hifz ad-din)
itu sendiri pada dua aspek; (i) memastikan Islam itu kekal dan
dilaksanakan serta diperkasakan, dan (ii) melindungi Islam daripada
perkara-perkara yang membawa kepada kerosakan atau kemusnahannya.
Malangnya mutakhir ini, suara-suara
sumbang yang memburukkan imej institusi dan undang-undang Syariah; mahu
agar umat Islam dibebaskan daripada ikatan undang-undang kawalan moral
yang berasaskan agama, menuntut supaya semua agama diletakkan sama rata (transcendental unity of religion)
dan menggesa supaya kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di
negara ini dihapuskan seolah-olah tidak diberikan perhatian dan tidak
dipandang berat oleh Kerajaan.
Tindakan ancaman terhadap Islam ini
adalah sangat merbahaya kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat
berbilang kaum dan agama di negara ini.
Oleh yang demikian, saya amat berharap
agar Kerajaan dan semua ahli parlimen lebih bertanggungjawab untuk
memelihara Islam di negara ini.
Perkara ini telah saya tegaskan di Dewan
Rakyat menerusi Ucapan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong yang saya sampaikan pada hari ini dan hari semalam.
”Sejahtera Bersama Islam”
Ahli Parlimen Kuala Nerus




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.