Mandi pagi hilang kolesterol?
Oleh DR SUHAZELI ABDULLAH
PALING kurang tiga
rakan sakat (tag) nama saya dalam facebook bertanyakan kebenaran video
berkaitan mandi pagi boleh hilang kolesterol.
Terdapat juga sebaran tular artikel yang
kononnya menyebut sesiapa yang bangun di awal pagi dan solat sunnat
tahajjud boleh terhindar dari penyakit. Katanya, saat sujud di pagi hari
darah akan mengalir ke dalam salur darah halus otak. Waktu kebiasaan
salur darah tersebut tidak dimasuki darah! Ada juga tulisan tular yang
menyebut di waktu dini sedemikian, udara sekeliling terdapat banyak O3
atau ozone. Di mana, ozone ini mempunyai banyak manfaat kesihatan.
Hasil penelitian saya, tiada hadis yang
jelas mengenai anjuran mandi sebelum subuh. Apa yang disebut oleh
Rasulullah SAW adalah fadilat solat sunat sebelum subuh dan keberkatan
bangun makan sahur. Sebagaimana hadis- hadis berikut:
Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu anhuma berkata,
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ عَلَى شَيْئٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ تَعَاهُداً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ
“Nabi tidak pernah menjaga shalat sunnat melebihi perhatian beliau terhadap dua rakaat sebelum Subuh.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مَنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيْهَا
“Dua rakaat (sebelum) Subuh lebih baik daripada dunia seisinya.”
Atau aktiviti sebelum subuh adalah makan sahur. Dari Ibnu Umar dan A’isyah radhiallahu ‘anhum,
أَنَّ
بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ
مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ
Bahawa Bilal biasanya
berazan di malam hari. Lalu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam
bersabda, “Makan dan minumlah kalian, sampai Ibnu Ummi Maktum berazan,
kerana tidaklah dia mengumandangkan azan kecuali setelah terbit fajar.”
Ilmu perubatan tidak akan menafikan
manfaat kesihatan jika berlaku kepada individu tertentu dalam melakukan
apa sahaja amalan sunnah. Cuma, ilmu perubatan mesti bersandarkan bukti
yang tepat sesuatu perbuatan itu boleh menghindarkan penyakit mahupun
menyembuhkannya.
Selagi tiada disebut secara khusus oleh
baginda Rasulullah SAW bahawa mandi sebelum fajar itu boleh mengubati
penyakit atau secara spesifiknya menghapuskan kolesterol darah,
mengubati kulit, merawat nyanyuk dan seumpamanya, maka pandangan para
agamawan hanya bersifat andaian semata-mata. Ianya tidak boleh dijadikan
hujah malah kurang manis dijadikan bahan kuliah.
Tambahan pula beliau
membuat pengesyoran agar berhenti makan ubatan yang sudah terbukti
(secara sainsnya mampu merawat) demi mengukuhkan pandangan beliau itu.
Nasihat yang sedemikian menyanggahi disiplin ilmu yang sepatutnya.
Kolesterol terbentuk dalam badan kita
sama ada melalui kaedah luaran atau dalaman. Memakan makanan yang tinggi
kandungan lemak boleh mempungaruhi paras kolesterol. Begitu juga badan
sistem badan kita sendiri memproses kolesterol dan komponennya untuk
kegunaan tenaga secara dalaman. Satu proses yang agak unik untuk
dibincangkan.
Sehingga kini, tiada satu pun kajian
yang membenarkan kenyataan mandi sebelum subuh itu boleh merawat
kolesterol, mencantikkan kulit, melancarkan peredaran darah, tingkatkan
kesuburan, meningkatkan sistem imun dan sebagainya.
Sujud yang lama di waktu subuh juga
tidak dibuktikan boleh menghindarkan penyakit nyanyuk. Bahkan salur
darah halus dalam otak semuanya disaliri oleh darah sepanjang ketika
sama ada waktu berdiri, baring atau sujud. Mekanisma badan kita
dijadikan unik untuk itu. Jika terdapat salur darah yang tidak mengalir
darah ke sesatu kawasan otak, bermakna kita sudah ditimpa penyakit strok
(angin ahmar).




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.