https://critoxium.com/shop/

Terkini

Roti berusia 14,500 tahun ditemui

Foto hiasan
WASHINGTON: Sisa roti bakar dihasilkan kira-kira 14,500 tahun lalu dalam batu pendiang yang ditemui di tapak arkeologi di timur laut Jordan, memberikan kejutan yang menyenangkan kepada penyelidik: manusia mula menghasilkan roti yang menjadi makan ruji penting ribuan tahun selepas mula mengembangkan pertanian.

Tidak kira bagaimana ia dipotong, penemuan yang dijelaskan hari ini menunjukkan pemburu di Mediterranean Timur mencapai mercu budaya dalam penghasilan roti jauh lebih awal daripada diketahui, lebih 4,000 tahun sebelum pertanian mula berkembang.

Roti yang mungkin tidak dicampurkan ragi dan menyerupai roti pita, diperbuat daripada bijirin liar seperti barli, gandum purba atau oat, selain ubi daripada rumput papirus yang dijadikan tepung.
Ia diperbuat dalam kebudayaan Natufian, yang mula bertukar kepada gaya hidup yang menetap di sesuatu tempat berbanding cara hidup nomad dan ditemui di tapak arkeologi Black Desert.

"Penemuan roti di tapak berusia sebegini sangat luar biasa," kata penyelidik pascadoktoral dalam bidang arkeobotani dari Universiti Copenhagen, Amaia Arranz-Otaegui, yang turut menjadi penulis utama penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.

Arranz-Otaegui berkata, sehingga kini asal-usul roti yang dikaitkan dengan masyarakat petani awal yang menanam bijirin dan kekacang. Bukti roti tertua sebelum ini diperoleh dari tapak arkeologi di Turki yang berusia 9,100 tahun.

"Sekarang kita perlu menilai sama ada wujud hubungan antara penghasilan roti dengan asal-usul pertanian.

"Ada kemungkinan roti menjadi pendorong kepada manusia untuk bertani dan berladang sekiranya ia menjadi makanan yang diinginkan atau paling banyak dicari," katanya.

Sementara itu, ahli arkeologi Universiti Copenhagen dan penulis bersama, Tobias Richter menjelaskan implikasi nutrisi akibat penambahan roti dalam diet.

"Roti memberikan sumber utama karbohidrat dan nutrien termasuk Vitamin B, zat besi dan magnesium serta serat," katanya.

Bukti yang banyak dari tapak itu menunjukkan budaya Natufian memiliki diet berasaskan daging dan tumbuhan. Lantai diang berbentuk bulat yang diperbuat daripada batu basalt yang leper dan ukuran diameter sepanjang satu meter itu, berada di tengah-tengah kawasan pondok.

Arranz-Otaegui berkata, penyelidik sudah memulakan proses untuk menghasilkan semula roti dan berjaya dalam membuat tepung daripada jenis ubi yang digunakan dalam resipi prasejarah. Bagaimanapun, ia mungkin memerlukan ujian rasa.

"Rasa ubi itu," kata Arranz-Otaegui, "agak kasar dan masin tetapi sedikit manis juga." - Reuters

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.