Biar diganyang, tetap berjuang menangkan Islam!
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
GOMBAK: Umat mesti
meyakini kebangkitan semula Islam, tetapi bukan dengan menunggu
kemenangan percuma, sebaliknya berjuang bersama jamaah menggunakan
segala kebijaksanaan dan kelebihan pada diri.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang menyeru agar tidak bersikap putus asa dan lemah semangat
seolah-olah tiada harapan lagi untuk orang Islam, sedangkan agama ini
dijaga dan dipelihara Allah S.W.T.
Pun begitu peringatnya, setiap pejuang
wajib menjadi hamba Allah dan bukannya memperhambakan Allah dengan duduk
sahaja meratib di rumah, menunggu Allah menangkan Islam atau menanti
kedatangan Imam Mahdi.
“Ini satu langkah yang salah. Kita
hamba-hamba pada Allah Taala. Tunaikan perhambaan kita untuk menegakkan
Islam,” nasihat beliau ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Perdana di Kolej
Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini hari ini.
Tegas beliau, Islam tidak boleh dijual
beli atau disembunyikan di mana umat tetap bertanggungjawab
menegakkannya menyambung perjuangan para Nabi dan Rasul secara berjamaah
walaupun tidak dipersetujui kaum Musyrikin.
Katanya, walaupun sifat manusia hari ini
iaitu benar, amanah, tabligh dan fathonah serta ketinggian akhlak tidak
sama dengan para Nabi dan Rasul atau Khulafa’ ar-Rasyidin dan para Imam
Mazhab yang hebat, tetapi Islam dipelihara secara jamaah.
“Kelebihan yang ada pada diri
masing-masing, dicampurkan menjadi satu kekuatan mengganti kekuatan Nabi
dan Rasul, kekuatan Imam yang hebat di zaman dahulu. Ini cara
memelihara Islam. Selagi kita tak mati, tunaikan kewajipan ini,” ujarnya
membangunkan motivasi.
Tuan Guru mengupas mengenai ibadah Haji
di Makkah al-Mukarramah sebagai bukti kehebatan Islam di mana ia
dilaksanakan Muslim dari seluruh dunia, termasuk dari negara yang
Kerajaan Islam pernah dijatuhkan seperti Sepanyol, Soviet dan China.
Beliau menyoroti agenda menghapuskan
Islam di Asia Tengah di mana umat Islam dibelasah habis-habisan, masjid
ditukar menjadi panggung wayang dan kandang babi, manakala orang muda
tidak dibenarkan solat di masjid kerana ditakluk Komunis.
“Tiba-tiba Komunis yang hancur lebur,
Islam bangkit semula. Walaupun kuasa besar dunia, Allah Taala boleh
jatuhkan bila-bila masa sahaja. Parsi, Rom, Kerajaan Nazi Jerman, Jepun,
British pernah jadi kuasa besar dunia. Soviet Union hancur lebur.
Termasuk Amerika, sedang merudum. Takkanlah kerajaan tempat kita yang
kecil lagi ini tak jatuh?
“Kerajaan kepunyaan Allah Taala. Ini
yang diucapkan oleh jamaah Haji. Satu Muktamar demonstrasi yang dihadiri
oleh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Mewakili umat Islam sama
ada negeri orang Islam, atau di negeri yang bukan Islam. Kita
menyaksikan Islam tak boleh dihapus. Ini kehebatan-Nya.
“Hari ini kita menyaksikan umat Islam
yang berjumlah sudah sampai 1.5 bilion ataupun lebih lagi. Berbagai
bangsa dari seluruh pelusuk dunia. Mereka menghantar wakil di Makkah
al-Mukarramah. Kita menyaksikan bagaimana cahaya agama Islam tak boleh
dipadamkan sekali-kali.
“Walaupun negara umat Islam dihancur
leburkan, dijatuhkan khilafah, kejatuhan Uthmaniyah 1924. Tak ada yang
ganti. Orang Islam hidup berselerak di zaman penjajahan, negeri umat
Islam dipecah dan diperintah, orang Islam dilaga-lagakan. Tetapi
kepesatan dalam dakwah Islam terus berlaku, ini kehebatan Islam!”
ujarnya penuh semangat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.