Mansuh Akta803: Mesej songsang PH
MALAYSIA antara
pengguna media sosial yang terbesar di Asia yang mencatatkan seramai 24
juta pengguna internet dan lebih 51 peratus menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai wadah berkongsi berita dan maklumat menurut laporan Digital News
pada Januari 2018. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa rakyat
Malaysia mendapatkan berita melalui media sosial sebanyak 86 peratus,
bercetak sebanyak 45 peratus, televisyen sebanyak 54 peratus dan radio
(15 peratus). Ini menjadi bukti bahawa penggunaan media sosial dalam
kalangan masyarakat Malaysia hari ini adalah sangat dominan.
Pada April 2018, kerajaan terdahulu
daripada Barisan Nasional (BN) telah membentangkan serta meluluskan
suatu akta yang sangat baik, iaitu Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang
kita semua sedia maklum; (i) menyediakan hukuman denda kepada sesiapa
sahaja yang menularkan suatu bentuk berita tidak benar iaitu tidak
melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun, (ii) menetapkan
bahawa pemberhentian penularan harus dilakukan, serta (iii) kegagalan
melaksanakannya boleh didenda sebanyak RM100,000 dan RM3,000 bagi setiap
hari daripada hari disabitkan kesalahan.
Kita menyaksikan, akta ini menerima
reaksi yang pelbagai, baik daripada rakyat bawahan, mahupun pemimpin
parti-parti politik yang sentiasa dinilai tindak-tanduknya oleh rakyat.
PAS bersetuju, manakala Pakatan Harapan (PH) membantah tidak bersetuju
atas beberapa alasan yang begitu teknikal. Rakyat pula, ada yang
menyokong dan ada pula yang sebaliknya. Pendapat yang menyokong sangat
ramai kerana hal ini adalah selari dengan nilai-nilai Islam yang telah
diajarkan, serta menepati logik akal fikiran yang sihat; namun yang
tidak menyokongnya juga tidak kurang besar jumlahnya. Antara alasan yang
dikemukakan adalah; akta ini akan menyekat hak kebebasan bersuara, oleh
pengamal media terutamanya. Sebenarnya, pandangan ini adalah kurang
tepat kerana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digubal sebelum
ini, menerusi Seksyen 8A juga ada menggariskan kesalahan bagi penyiaran
sebarang berita palsu. Namun yang demikian, meskipun adanya di situ
sebuah peruntukan undang-undang, ia dilihat gagal untuk membendung
penyebaran berita tidak benar yang semakin menular susulan ledakan
teknologi maklumat, yang tumbuhnya seperti cendawan yang tumbuh selepas
hujan, bahkan saya percaya, tentu akan tumbuh lebih banyak lagi bila
mana akta ini dimansuhkan.
Menyentuh kes-kes yang melibatkan berita
tidak benar, khususnya yang melibatkan amalan berpolitik di negara
kita; kita dapati kes-kes yang bakal saya kemukan ini bukan sahaja
memadai bahkan cukup kuat bagi mendorong dan mendesak rakyat agar turut
bersama-sama menyokong akta ini.
Pertama adalah pada 2014 yang lalu, di
mana kita telah menyaksikan bagaimana bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim terpaksa berdepan suasana fitnah ke atasnya demi sebuah matlamat
jangka pendek sekumpulan pihak yang dinamakan sebagai Langkah Kajang.
Tidak kiralah langkah itu berjaya ataupun tidak berjaya; persoalannya
adakah ianya betul. Ketika kempen memaksa Khalid meletak jawatan, PKR
dan DAP telah mengeluarkan sebuah dokumen kenyataan sebanyak 91 muka
surat yang mengandungi tuduhan dan fitnah ke atas beliau berkenaan
segala macam salah laku dan rasuah yang mana ia sering diulang-ulang di
pentas-pentas ceramah mereka. Setelah menyaman PKR pada Ogos 2014, yang
mana ketika itu, Khalid turut mengarahkan pembantunya untuk menyerahkan
laporan PKR berkenaan kaitan pemimpin PKR dengan urus niaga yang
meragukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang
memohon badan tersebut untuk menyiasat dakwaan ke atasnya – sekali gus
menjadi orang yang julung kali meminta dirinya disiasat bagi kes rasuah,
di Malaysia. Setahun kemudian, selepas Khalid diturunkan daripada
jawatan MB Selangor, Khalid memenangi kes saman malunya terhadap PKR
apabila bekas Setiausaha Agung PKR waktu itu membacakan permohonan maaf
secara terbuka di dalam mahkamah. Permohonan maaf itu adalah tanpa
syarat dan PKR mengakui setiap tuduhan dan dakwaan terhadap Khalid
adalah tidak benar dan berniat memfitnah.
Kes kedua pula adalah kes yang berlaku
pada tahun lepas. Lanjutan usul RUU 355 yang sedang hangat dibicarakan,
Rafizi dalam debat Parlimen olok-olok anjuran PKR pada 10 April 2017
yang lalu mengeluarkan satu kenyataan bahawa pindaan Rang Undang-undang
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang
tidak menaikkan gaji Hakim Mahkamah Syariah akan meningkatkan risiko
pengambilan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan Hakim-hakim
Mahkamah tersebut. Beliau berkata, rekod Hakim yang ditangkap dan
ditahan kerana rasuah menunjukkan bahawa rekod Hakim Mahkamah Syariah
adalah lebih tinggi berbanding Hakim Mahkamah Sivil. Sedangkan sehingga
waktu itu, hanya satu sahaja kes rasuah melibatkan Hakim Syarie yang
telah didakwa dan disabitkan kesalahan, sekali gus dapatlah
dikonklusikan bahawa kenyataan Rafizi adalah merupakan suatu fitnah dan
penghinaan kepada Institusi Kehakiman Syariah serta Hakim-hakimnya. Kita
melihat, kenyataan ini tidak lain adalah untuk menimbulkan kekeliruan
serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap Institusi Kehakiman
Syariah dengan cara merendahkan martabat dan kedudukan Hakim-hakim
Syariah yang selama ini dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat
terutamanya dalam kalangan orang Islam.
Kes yang terakhir pula, adalah kes saman
fitnah RM90 juta terhadap Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang. Kewujudan kes ini juga turut menguatkan lagi hujah saya terhadap
kepentingan akta ini. Setelah PAS difitnah bekerjasama dengan menerima
sejumlah besar wang daripada Umno melalui beliau, kita akhirnya
menyaksikan keputusan mahkamah yang memihak kepada PAS apabila editor Sarawak Reports,
Clare Rewcastle Brown diperintahkan supaya membayar sebanyak RM156,197
(£28,900) atas tuduhan tidak berasas tersebut. Tuduhan ini dilihat tidak
lain, bermatlamatkan supaya masyarakat menganggap bahawa PAS
sememangnya mahu bergabung dengan Umno ketika Pilihan Raya Umum yang
lalu. Walaupun sudah terbukti tidak berasas, namun fitnah ini masih lagi
dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat di Malaysia.
Tiga kes yang saya bawakan ini
memperlihatkan bahawa ketiga-tiganya adalah berpandu kepada sikap
matlamat menghalalkan cara, atau cara pandang sebagaimana yang pernah
disebut oleh Nicollo Machiavelli, “the ends justify the means”.
Akhirnya, ia membunuh nilai-nilai paling asas dalam sebuah masyarakat
demi mencapai matlamat jangka pendek dan juga sekadar memenuhi
kepentingan peribadi satu pihak sahaja lalu menindas yang lain
daripadanya.
Apabila kita berbicara dari sudut pandang Islam, kita sedia maklum, bahawa fitnah adalah dosa yang begitu besar hukuman dan azabnya di sisi Allah. Ini termaktub dalam dalil-dalil yang ada. Al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu adalah suatu petunjuk di sepanjang zaman. Ia memandu setiap insan yang beriman, berakhlak dan bertaqwa. Ia menyedarkan betapa kewajipan kita di hadapan Allah adalah besar dan berat. Ia juga menuntut kita agar menggunakan segala nikmat pancaindera kurniaan Allah dengan betul dan tepat, kerana semuanya nanti akan dihisab di Hari Kiamat.
Apabila kita berbicara dari sudut pandang Islam, kita sedia maklum, bahawa fitnah adalah dosa yang begitu besar hukuman dan azabnya di sisi Allah. Ini termaktub dalam dalil-dalil yang ada. Al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu adalah suatu petunjuk di sepanjang zaman. Ia memandu setiap insan yang beriman, berakhlak dan bertaqwa. Ia menyedarkan betapa kewajipan kita di hadapan Allah adalah besar dan berat. Ia juga menuntut kita agar menggunakan segala nikmat pancaindera kurniaan Allah dengan betul dan tepat, kerana semuanya nanti akan dihisab di Hari Kiamat.
Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Isra’ ayat 36:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا
"(Terjemahannya) Dan
janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta rasa hati
(akal fikiran), semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya mengenai
apa yang dilakukannya.”
Di antara petunjuk al-Quran juga adalah bertabayyun.
Ia memberi amaran kepada kita supaya tidak mengambil suatu maklumat
yang sampai kepada kita dengan mudah, tanpa mengira benar dan salah.
Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 6:
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ
أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ
نَٰدِمِينَ
"(Terjemahannya) Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka bertabayyunlah (selidikilah untuk menentukan
kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara
yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Kepada mereka yang sikapnya suka
menyebar berita bohong dan fitnah pula, ingatlah bahawa amaran Allah
lebih keras dan janji-Nya adalah benar. Firman Allah dalam Surah al-Nur
ayat 19:
إِنَّ
ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ
وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
"(Terjemahannya) Sesungguhnya
orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam
kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah
mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang
demikian).”
Firman Allah lagi dalam Surah al-Buruj ayat 10:
إِنَّ
ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ
يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ
"(Terjemahannya) Sesungguhnya
orang-orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap orang-orang
lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian
mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam
(kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api
neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).”
Secara logik akalnya pula, akta ini
dilihat sangat baik dalam aspek menjaga keselamatan bukan sahaja di
peringkat individu, bahkan politik bernegara. Tidak kira sama ada yang
mentadbir adalah Kerajaan BN, PH, atau siapa pun jua. Mana-mana kerajaan
akan menanggung akibatnya jika sebaran berita palsu ini masih lagi
dianggap mainan dan isu remeh-temeh. Yang lebih menakutkan, jika kita
pula yang mengambilnya sebagai strategi dan amalan, semata-mata untuk
mencapai menang yang sekejap.
Sirah menunjukkan, Rasulullah S.A.W
sendiri bertindak menghancurkan Masjid al-Dhirar yang dibina oleh
golongan Munafik untuk menyebarkan berita palsu dan memecah-belah
kesatuan umat Islam. Justeru, seharusnya, di saat inilah kerajaan perlu
meneladani dan mempamerkan kepada rakyat ‘political will’ yang tinggi bagi membendung amalan buruk ini, yang sayang sekali, apa yang berlaku hari ini adalah yang sebaliknya.
Maka, di bawah tajuk ini juga, saya
berasa terpanggil untuk mengemukakan beberapa cadangan lain yang perlu
diambil perhatian oleh pihak kerajaan bagi membendung sedikit sebanyak;
mara bahaya, fitnah dan keburukan gejala media sosial yang tidak
terkawal hari ini, demi kebaikan semua rakyat; baik Melayu, India
mahupun Cina. Baik yang beragama Islam, mahupun yang bukan.
Memastikan wujudnya sebuah undang-undang
yang berkesan bagi menyekat penularan berita tidak benar, dalam masa
yang sama ia mestilah tidak disalahgunakan atau bersikap bias kepada mana-mana pihak yang berkepentingan.
Sentiasa menyemak semula dan melakukan
pindaan penguatkuasaan supaya akta ini lebih efektif, sekali gus
mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dalam setiap maklumat yang
disebarkan; bukannya bergerak semula ke belakang.
Menghidupkan kesedaran rakyat bahawa
fitnah perlu dibendung. Antara modus operandinya adalah pemerkasaan
sistem pendidikan dengan memasukkannya ke dalam mana-mana topik
pelajaran dalam silibus pendidikan anak-anak hari ini, seperti Subjek
Moral, Subjek Pendidikan Islam ataupun Subjek IT; yang mana dirasakan
sesuai. Subjek ini berperanan memberi fokus terhadap isu-isu berkaitan,
termasuklah bahaya fitnah dan panduan menggunakan media dengan betul dan
wajar. Ini memerlukan peranan dan penggemblengan tenaga daripada pihak
Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Komunikasi.
Sekali lagi, saya dengan ini menegaskan
bahawa Akta Antiberita Tidak Benar ini adalah tidak wajar dimansuhkan
dan seharusnya disokong walau siapapun jua yang mengusulkannya.
Sebaliknya, ia boleh dipinda dari masa ke semasa bagi menambah baik akta
sedia ada jika terdapat kekurangan dan sedikit kecacatan. Ingatlah,
kita diberi amanah dan rakyat yang besar jumlahnya sedang menilai
bagaimana kita boleh sampai kepada suatu keputusan yang sangat dangkal;
bercanggahan dengan Hukum Islam serta logik akal seorang manusia yang
sihat akal fikirannya.
Hanya pencuri yang takut dengan hukuman
mencuri, dan hanya yang menyebarkan berita tidak benar sahaja yang takut
dengan hukuman yang kita bincangkan hari ini. Jika tidak mahu dianggap
oleh rakyat sebagai penyebar berita tidak benar, maka buktikanlah dan
perkasakanlah undang-undang ini sehabis baik, tanpa perlu berlapikkan
alasan-alasan teknikal yang maksudnya tidak lain cuma untuk menafikan
undang-undang yang lebih tegas ini.
Ya, kita bebas bersuara. Tapi, bukanlah
bebas tanpa ada sempadan, pagar dan batas. Kebebasan tanpa batas,
sebenarnya ia sendiri adalah suatu bentuk penghambaan, iaitu penghambaan
kepada nafsu dan kehendak diri sendiri yang selalu pada akhirnya
mendorong manusia ke lembah kehinaan. Kebebasan yang betul, adalah
kebebasan yang berpandukan kepada prinsip betul salah, sebagaimana yang
telah digariskan oleh Allah, walaupun ianya, dalam beberapa keadaan
sangat berlawanan dengan kehendakl peribadi kita.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 21:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"(Terjemahannya) Wahai
sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu, Tuhan yang telah
menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya
kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”
Terakhir daripada saya, saya menyeru,
marilah kita menggembleng tenaga, mencari jalan untuk terus tunduk patuh
kepada perintah Tuhan, bukannya mencari jalan untuk semakin jauh
daripada perintah Tuhan.
Firman Allah dalam Surah at-Talaq ayat 2:
وَمَنْ
يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا
يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ
اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
"(Terjemahannya) Dan sesiapa
yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan
keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”
Teks perbahasan: RUU
Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) pada 16 Ogos 2018, Dewan
Rakyat. Perbahasan oleh Ahli Parlimen Sik tidak dapat disampaikan kerana
ketiadaan ruang waktu dan luang peraturan Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Sik / Timbalan YDP PAS Kawasan Sik





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.