Martabatkan BM dalam agensi kerajaan
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
GENAP 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), antara aspek yang seakan terabai dan mengalami pemencilan ialah usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Kita memiliki segerombolan para Menteri dan Timbalan Menteri yang sangat lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan, malah sering meremehkan bahasa ini dengan menganggap Bahasa Kebangsaan tidak penting. Mereka memuat turun kenyataan media dalam Bahasa Ibunda tanpa mempedulikan bantahan tokoh-tokoh budaya dan pencinta keamanan negara.
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)
GENAP 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), antara aspek yang seakan terabai dan mengalami pemencilan ialah usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Kita memiliki segerombolan para Menteri dan Timbalan Menteri yang sangat lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan, malah sering meremehkan bahasa ini dengan menganggap Bahasa Kebangsaan tidak penting. Mereka memuat turun kenyataan media dalam Bahasa Ibunda tanpa mempedulikan bantahan tokoh-tokoh budaya dan pencinta keamanan negara.
Usaha merobek Bahasa Kebangsaan akan
memberikan dampak yang sangat negatif kepada masa depan negara, termasuk
usaha mengiktiraf UEC. Persijilan melalui Pendidikan Swasta Cina yang
tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan malah menebalkan politik komunal di
negara ini.
Memperkasa Bahasa Malaysia adalah suatu
perjuangan yang mesti dipertahankan agar Bahasa Kebangsaan sentiasa
dimartabatkan kedudukannya di negara ini. Pelantikan beberapa tokoh yang
mengetuai beberapa agensi penting negara dari kalangan bukan berbangsa
Melayu serta tidak mahir menguasai Bahasa Malaysia akhir-akhir ini
menjadi isu yang perlu dijadikan iktibar betapa Bahasa Kebangsaan ini
semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.
Kerajaan sepatutnya sedar mengenai
perkara ini dan serius bagi memastikan semua agensi kerajaan dan swasta,
pemimpin politik, institusi pendidikan dan syarikat serta badan
berkanun di negara ini menggunakan Bahasa Malaysia. Jika dibiarkan,
rakyat semakin melupakan Bahasa Malaysia dan menjadikan Bahasa Ibunda
mereka sebagai medium komunikasi. Kesannya, semangat patriotik dan
perpaduan dalam negara semakin longgar dan lemah.
Tindakan terbaharu Polis Di Raja
Malaysia (PDRM) menggunakan Bahasa Inggeris untuk operasi dan taklimat
harian semakin menunjukkan usaha meminggirkan Bahasa Malaysia. Menurut
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun seperti mana yang
dilaporkan oleh portal berita Malaymail, arahan belajar Bahasa
Inggeris dalam komunikasi datangnya dari Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad. Justeru, PDRM akan menggunakan medium Bahasa Inggeris
sebagai medium komunikasi termasuk dalam penulisan mereka di masa-masa
akan datang. Perdana Menteri juga mengelak untuk menjawab isu ini di
Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato Tuan Ibrahim Tuan
Man minggu ini.
Langkah PDRM adalah sesuatu yang tidak
wajar. Sebagai pasukan utama menjaga keselamatan dalam negara, PDRM
perlu menjadi contoh kepada masyarakat dengan menjadikan entiti mereka
dihormati, berintegriti dan dirujuk oleh semua bangsa. Mereka perlu
mengekalkan penguasaan Bahasa Malaysia dan mana-mana pihak di dalam
negara ini yang mahu berurusan dengan mereka, perlu menguasai Bahasa
Malaysia. Malah, tahap penguasaan Bahasa Malaysia dari kalangan anggota
PDRM perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa
dan zaman. Ia adalah pendidikan berterusan supaya semua pihak
menghormati Bahasa Kebangsaan ini.
Mempelajari Bahasa Inggeris tidak
menjadi suatu kesalahan, kerana menguasai banyak bahasa selain Bahasa
Malaysia (BM) adalah satu kelebihan. Tetapi meletakkan Bahasa Inggeris
melebihi Bahasa Malaysia di dalam negara ini adalah satu kesalahan yang
serius dan tidak patriotik. Ini adalah asas kepada usaha memecahkan
kedaulatan negara agar rakyat yang berbilang kaum tidak lagi bergantung
kepada BM dalam kehidupan harian mereka di negara ini, malah menganggap
BM bukan lagi bahasa terpenting dalam negara.
Bahasa Kebangsaan mempunyai keunikan dan
kekuatannya tersendiri. Ia patut dikagumi dan dibanggakan oleh semua
kaum di negara ini. Masyarakat antarabangsa amat menghormati dan
berusaha mempelajari BM kerana nilai seninya yang halus dan tinggi.
Rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai jalur latarbelakang kaum, bahasa
dan budaya dapat bersatu kerana menggunakan Bahasa Kebangsaan. Mengapa
pula Kerajaan PH tidak berusaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan
kaum yang utuh selama ini? Apakah Kerajaan PH meragui keupayaan bahasa
ini setelah hampir tujuh dasawarsa digunakan, atau kerana majoriti
penuturnya terdiri daripada kaum yang terperuk ekonominya?
Bahasa adalah jiwa bangsa, kekalkan
kedaulatan Bahasa Kebangsaan, malah sewajarnya Bahasa Kebangsaan menjadi
cerminan arca perpaduan kepada tanah air yang berdaulat ini. Kalian
bukan sahaja gagal melunaskan janji-janji yang terkandung dalam
manifesto pilihan raya, namun juga gagal memberdayakan Bahasa Kebangsaan
dalam kegunaan rasmi negara.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.