Trump bimbang hilang kuasa
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran
kepada pemimpin agama Kristian bahawa sekiranya parti Republikan hilang
kuasanya pada pilihan raya penggal pertengahan, Demokrat akan
menjalankan pembaharuan dengan ‘cepat dan ganas’.
Ketika pertemuan dengan para pemimpin
berkenaan di Rumah Putih kelmarin, Trump berkata, segala agenda
konservatif beliau akan berdepan risiko sekiranya partinya kalah pada
November ini.
Pilihan raya penggal pertengahan secara umumnya dilihat sebagai ujian kepada populariti Presiden AS.
Kenyataan
Trump yang kini berdepan dengan publisiti negatif selepas bekas peguam
dan juga ketua kempen pilihan rayanya didakwa pada awal bulan ini,
diperoleh menerusi rakaman suara yang dilaporkan oleh The New York
Times.
“Demokrat akan membatalkan semua yang kita telah lakukan dan mereka akan melakukannya dengan cepat dan ganas.
“Mereka
akan menamatkan semuanya dengan serta-merta. Sekiranya anda melihat
kepada kumpulan militan berhaluan kiri anti-fasis dan beberapa kumpulan
lain, mereka ini adalah pengganas,” ujar Trump lagi dalam rakaman
terbabit.
Tambah agensi berita terbabit,
jurucakap Rumah Putih, Hogan Gidley bagaimanapun enggan memberi sebarang
komen berhubung kenyataan Trump itu.
Ini bukan pertama kali Trump memberikan amaran bahawa berlakunya keganasan sekiranya tidak terjadi apa yang beliau inginkan.
Menurut
laporan agensi itu lagi, wartawan dibenarkan mendengar ucapan ringkas
daripada Trump semasa pertemuan berkenaan berhubung isu keguguran
kandungan, kebebasan beragama serta pengangguran dalam kalangan belia.
Namun
selepas wartawan keluar dari bilik tersebut, Trump serta-merta menukar
topik perbincangan dan mencadangkan bagaimana pemimpin agama dapat
membantu Republikan memenangi pilihan raya pada November.
“Saya hanya meminta anda keluar dan memastikan kamu semua mengundi.
“Kerana jika mereka tidak mengundi pada 6 November ini, kita akan menjalani tempoh sukar selama dua tahun,” jelas Trump. – AFP





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.