https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Nikah mutaah' UMNO, PAS baru berbulan madu

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

UMNO dan PAS dilihat sudah memulakan kerjasama dalam dua pilihan raya kecil (PRK). Bermula di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu dan jalinan ini diteruskan ke PRK DUN Seri Setia, 8 September ini.

Namun, jika dinilai keputusan PRK DUN Sungai Kandis, belum nampak penyokong PAS bersama-sama UMNO bersatu untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH). Ramai pemerhati politik menanti jawapannya. Adakah senario ini akan berpanjangan ke Seri Setia, atau sebaliknya?

DUN Seri Setia pula menjadi permulaan untuk menguji sokongan ahli UMNO kepada PAS, sama ada diterjemahkan ke peti undi atau hanya pemimpin mereka sekadar bertungkus-lumus untuk memenangkan PAS, tetapi matlamat itu tidak sampai atau diresapi ke akar umbi.

Keputusan PRK DUN Seri Setia dilihat pemerhati amat signifikan sebagai pengukur awal kerjasama di antara UMNO dan PAS, sama ada ia ‘pernikahan mutaah’ atau ‘jodoh berkekalan’ sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.

Ini bermakna jika mahukan penyatuan kukuh atas nama maruah bangsa dan agama seperti dicanang kedua-dua parti, perkahwinan antara PAS dan UMNO perlu berkekalan, bukan setakat pernikahan mutaah yang bersifat sementara untuk menghadapi PRK DUN Sungai Kandis dan DUN Seri Setia sahaja.

Menjawab persoalan ini Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, nyata tidak berapa yakin apabila mengakui masih terlalu awal untuk memutuskan sama ada parti itu akan bersatu suatu hari nanti atau sebaliknya.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, pula menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai pengalaman baharu bagi PAS pada era milenium, selepas terpisah 41 tahun lalu.

PAS pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam tempoh singkat, iaitu sekitar empat tahun pada 1973 hingga 1977 yang ketika Datuk Mohd Asri Muda menjadi Presidennya.
Kerjasama terlerai

Hanya segelintir pemimpin dan ahli PAS ketika ini yang sempat menikmati zaman berkenaan, khususnya golongan tua, manakala generasi muda tidak menyedari dan memahami langsung roh kerjasama yang sudah empat dekad berlalu dan terlerai itu.

UMNO pula dikatakan sudah menggerakkan jentera membantu sekutunya PAS bagi merampas kerusi DUN Seri Setia, termasuk penyertaan pemimpin dan anggota parti itu mengiringi calon PAS, Dr Halimah Ali ketika proses penamaan calon di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 18 Ogos lalu.

Nasrudin menjelaskan, kerjasama politik ini sesuatu yang pada dasarnya boleh direalisasikan dengan syarat menepati dasar dan ideologi PAS yang memperjuangkan Islam.

Kedua-dua parti katanya, perlu saling menghormati di antara satu sama lain, walaupun berbeza ideologi politik jika mahukan kerjasama lebih besar dan untuk jangka masa panjang.

“Jika mahu membicarakan kerjasama politik dalam jangka masa panjang, kita serahkan kepada pucuk kepemimpinan kedua-dua parti untuk memutuskannya pada masa depan. Ketika ini, masih terlalu awal membincangkannya,” katanya.

Bagi kerusi DUN Balakong, walaupun Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sudah mengeluarkan kenyataan bahawa anggota parti itu akan memberikan undi kepada MCA atas semangat pembangkang, PAS tidak menghantar jentera parti kerana tumpuan terarah di DUN Seri Setia.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap anggota EXCO kerajaan Selangor, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.

Pada PRU-14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon BN, Datuk Yusoff Haniff, Mohd Ghazali Daud dari PAS dan calon Bebas, Dr S Vignes.
Bagi Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, kerjasama antara PAS dan UMNO termeterai dalam PRK DUN Sungai Kandis, disusuli DUN Seri Setia yang dianggap ia suatu permulaan baik walaupun disifatkan belum sempurna.

Pernah bersengketa

Katanya, penyokong kedua-dua parti dan pemerhati politik tidak seharusnya hanya melihat kerjasama itu sama ada bermula dengan kesempurnaan atau sebaliknya, apatah lagi mereka pernah bersengketa dalam tempoh lama.

Kini sudah ada persetujuan untuk duduk semeja demi perpaduan ummah, manakala PAS sudah mula memasuki kawasan UMNO yang dahulu sukar mereka tembusi, begitu juga sebaliknya.

Dahulu banyak persengketaan yang berlapik bukan sahaja dalam kalangan kepemimpinan atasan, malah berlanjutan ke peringkat akar umbi. Namun, kini secara perlahan-lahan dapat diatasi selepas belajar daripada keputusan PRU-14.

“Jangan bimbang kerana DAP yang kini mendominasi kerajaan mengambil masa sehingga 30 hingga 40 tahun untuk menarik sokongan orang Cina bagi menewaskan parti komponen BN.

“PAS dan UMNO tidak perlu menunggu masa terlalu lama, Insya-Allah kurang dua tahun dari sekarang kita sudah kembali bersatu,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Tidak kekal

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata ‘pernikahan’ di antara PAS dan UMNO hanya perkahwinan mutaah yang bersifat rapuh dan tidak akan kekal lama kerana ego masing-masing.

Ini dapat dilihat dalam isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355, tahun lalu. Walaupun Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan Hadi membentangkan RUU berkenaan, ia tidak dibahas dan diluluskan sehingga BN tumbang dalam PRU-14.

Ini juga dengan sendirinya membuktikan mereka tidak bersatu atas nama Islam dan Melayu, walaupun pernah bersatu dalam misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar, iaitu satu bentuk kerjasama padu bagi kepentingan umat Islam etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar pada Februari 2017.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Hadi juga pernah duduk sepentas menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2016, namun ia tidak dapat menyatukan parti berkenaan untuk bergabung menghadapi PRU-14.

“Kedua-dua parti juga mempunyai sejarah persengketaan dan perbezaan ideologi yang sangat ketara sehingga berpisah pada 1977 dan selepas itu saling menyalahkan lawan,” kata Jeniri.

Begitupun, Hadi masih melihat kerjasama di antara parti Islam itu dengan UMNO pada PRK Seri Setia sebagai isyarat kepada lebih banyak keputusan besar pada masa depan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu menyifatkan kerjasama PAS dengan UMNO sepanjang kempen Sungai Kandis adalah langkah yang tepat serta permulaan positif, dan yakin akan diperkukuhkan di DUN Seri Setia.

Lantas melihat dinamika politik seterusnya, jelas PRK DUN Seri Setia ialah medan menguji sama ada ‘pernikahan’ PAS dengan UMNO akan bermula dengan langkah kanan atau berakhir dengan kekecewaan. Semuanya akan terjawab pada 8 September ini.































Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.