Bukan tanda ,Tun M berundur
PETALING JAYA - Keputusan PKR untuk mengadakan satu lagi pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah asas menekan Tun Dr Mahathir Mohamad mengosongkan posisi nombor satu negara dengan segera.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Anwar telah menyatakan hasrat ini kepada Dr Mahathir termasuk juga rakan pimpinan PH yang lain dan ia disambut baik.
Beliau berkata,dalam membuat keputusan ini, PKR tidak pernah mengikat tempoh masa untuk Dr Mahathir menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
"Anwar selalu pesan kepada kepimpinan PKR, bahawa sekarang adalah masa untuk beri sokongan dan dokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
"Bahkan, Anwar meminta semua pimpinan PKR agar terus bekerja dan mendukung kepimpinan Dr Mahathir," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin lagi, keputusan PKR menempatkan Anwar untuk kerusi Port Dickson ini ialah sebagai persediaan beliau untuk menjadi ahli Parlimen sebelum diangkat Perdana Menteri nanti.
"Kita buat keputusan ini tak bermaksud mengikat tempoh Dr Mahathir untuk terus jadi Perdana Menteri.
"Ketika konsensus PH dibuat ia tidak mengikat tempoh ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, satu perbincangan di peringkat biro politik telah dijalankan semalam dan PKR bersetuju untuk meneruskan proses untuk Anwar menyertai semula Parlimen.
"Kami percaya langkah ini jika berlaku dan Anwar dapat dimenangkan maka akan dapat memberikan nilai tambah dan kekuatan kepada PH yang sudah sedia membentuk kerajaan.
"Port Dickson dipilih setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan kami percaya ini merupakan pilihan bijak untuk menjayakan proses ini. Kami selepas ini akan fokus untuk turun padang untuk memenangkan Anwar," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Port Dickson dlihat sebagai salah satu kerusi selamat buat PKR kerana parti itu telah memenangi kerusi yang sebelum ini dikenali sebagai Telok Kemang itu selama tiga penggal berturut-turut.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.