Dunia alami perubahan iklim
Oleh Azuar Fahmi Mohd. Ali
Dunia menyaksikan kawasan Hemisfera Utara, bermula dari California sehinggalah ke Artik, Sweden dan kemudian, Greece berdepan dengan insiden kebakaran hutan yang dahsyat pada musim panas ini.
Dunia menyaksikan kawasan Hemisfera Utara, bermula dari California sehinggalah ke Artik, Sweden dan kemudian, Greece berdepan dengan insiden kebakaran hutan yang dahsyat pada musim panas ini.
Bahkan kemarau di Eropah menyebabkan
tanah subur dengan tumbuhan menghijau bertukar tandus manakala
masyarakat di Jepun dan Korea turut terpaksa ‘kepanasan’ apabila negara
itu mencatat suhu paling tinggi.
Menurut saintis, perubahan iklim telah berlaku
dan menjejaskan bukan sahaja beruang kutub atau pulau kecil yang
terdedah dengan ancaman paras air meningkat, malah seluruh penduduk
dunia.
Ujar saintis, seluruh masyarakat
dunia termasuklah rakyat Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia
mengalami perkara serupa dan bukti sedia ada menunjukkan fenomena ini
akan bertambah buruk.
Musim panas ini,
seramai 119 orang di Jepun maut akibat gelombang bahang panas, manakala
29 lagi meninggal dunia di Korea Selatan, menurut para pegawai di
kedua-dua negara berkenaan.
Sementara itu, 94
orang terkorban dalam kebakaran hutan di Greece dan kebakaran
berterusan di California menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang
maut. Malah, api kini marak ke kawasan berpenghuni.
Kejadian
serupa juga dirasakan di Sepanyol dan Portugal apabila mencatatkan suhu
panas yang paling tinggi dalam sejarah. Malah, tiga orang dilaporkan
meninggal dunia di Sepanyol.
Menurut kajian
yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change pada musim panas
lalu, gelombang panas melampau akan bertambah kerap dan berlaku di
kebanyakan tempat di planet Bumi ini dalam tempoh beberapa dekad lagi.
Gelombang panas melampau tidak dapat dinafikan adalah salah satu kesan langsung yang terjadi akibat perbuatan manusia sendiri.
Menariknya,
para saintis kini mampu mengesan perubahan iklim atau fenomena cuaca
tertentu yang disebabkan oleh sikap ‘rakus’ manusia dengan menggunakan
gabungan pemerhatian, data sejarah dan maklumat terkini dari stesen
cuaca.
“Gelombang panas di Eropah adalah sekurang-kurangnya dua kali ganda berlaku disebabkan ‘campur tangan’ manusia.
“Berdasarkan
pemerhatian di Ireland, ia adalah dua kali ganda dan kami tahu
mengenainya berpandukan data dari semua stesen cuaca lain,” kata Karsten
Haustein dari Projek Sifat Cuaca Dunia, sebahagian daripada Institut
Perubahan Alam Sekitar, Universiti Oxford.
Satu
laporan dikeluarkan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan
Amerika Syarikat (NOAA) baru-baru ini mendedahkan sesuatu yang kurang
baik.
Pelepasan gas rumah hijau iaitu karbon
dioksida, metana dan nitro oksida - semuanya mencatatkan peningkatan
kepada paras yang melebihi rekod sedia ada pada tahun lalu.
Purata kepekatan karbon dioksida global adalah paling tinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 800,000 tahun.
Tahun
lalu juga menyaksikan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelannya
untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris, sekali gus memberi
tamparan hebat berhubung usaha untuk menangani isu perubahan iklim.
Ini
berikutan AS merupakan penyumbang kedua terbesar pelepasan karbon
dioksida dan tanpa AS, perjanjian itu dilihat kurang memberi kesan
besar.
Walaupun begitu, lebih ramai rakyat AS dilihat mula menerima perubahan iklim sedang berlaku.
Kira-kira
58 peratus rakyat AS percaya perubahan iklim adalah disebabkan oleh
manusia, tetapi peratusan tersebut adalah rendah berbanding di
kebanyakan negara membangun lain.
Menurut
pengarah program Yale berhubung Komunikasi Perubahan Iklim, Anthony
Leiserowitz, pemahaman orang ramai terhadap perubahan iklim adalah
disebabkan mereka melihat dan mengalaminya sendiri.
“Orang ramai mula percaya apabila mereka melihat fenomena cuaca yang berlaku di seluruh AS.
Ia
berkaitan dengan pola - sekiranya berlaku satu atau dua kali, ia adalah
kebetulan, tetapi jika terjadi sebanyak tiga, lima, 12 dan 22 kali,
melihat fenomena yang hanya berlaku setiap 1,000 tahun sekali, terjadi
dengan lebih kerap, maka orang ramai mula sedar, perubahan iklim
sebenarnya menjejaskan cuaca dunia pada hari ini,” kata Leiserowitz.
Dalam
pada itu, kumpulan alam sekitar menyeru seluruh penduduk Bumi untuk
memberikan komitmen yang lebih jitu dalam memastikan iklim dunia
bertambah baik.
“Kesemua negara perlu
melakukan langkah tambahan untuk tujuan transformasi. Negara-negara
lain perlu melangkah ke depan dan menggunakan setiap cara yang ada untuk
memaksa AS bertindak,” ujar Claire Norman, yang bercakap bagi pihak
Friends of the Earth di UK.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.