https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hentikan kahwini gadis bawah umur

Oleh Ridhuan Tee bin Abdullah

Saya hampir nak termuntah apabila membaca berita hampir sama sebelum ini, mengenai gadis bawah umur, 15 tahun di Kelantan dilaporkan berkahwin dengan lelaki duda hampir 3 dekad, lebih tua daripadanya. Akad nikah telah berlaku di Tumpat Julai lalu, selepas Mahkamah Syariah memberi kebenaran.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperolehi kehidupan yang lebih baik. Apakah jaminan bahawa mengahwinkan anak gadis bawah umur dengan lelaki ‘tua’ akan bahagia?

Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita seorang suami berumur 41 tahun mengahwini isteri ketiga berumur 11. Tidak puas lagikah dengan dua isteri sehingga memilih gadis bawah umur untuk dijadikan isteri ketiga. Saya berasakan seolah-olah berada di Indonesia atau Afrika Selatan. Orang Afrika Selatan pun tidak melakukan perkara sebegini.

Jika nak sangat berkahwin, tidak puas lagi menambah isteri, maka carilah calon seterusnya dalam kalangan janda-janda susah yang memerlukan perlindungan. Melambak di pasaran. Usahkan dua,tiga, empatpun saya tidak kisah. Tetapi jangan cari kanak-kanak berusia 11 tahun – 15 tahun. Adakah kita tidak terasa malu, mengahwini orang yang sebaya dengan anak atau cucu kita?

Tindakan dan berita sebegini hanya merosakkan imej agama Islam yang mulia. Sudahlah sebelum ini imej agama kita tercalar teruk dengan isu-isu negatif seperti, terrorisme, gejala sosial, perpecahan dan berbagai lagi ‘penyakit’ umat Islam.

Pendek kata, sebut sahaja Islam, yang tergambar dikepala bukan Islam, hanya keburukan, tidak banyak kebaikan. Tidakkah agama Islam itu penuh dengan kebaikan? Kenapa tidak ditonjolkan perkara yang baik itu? Kenapa hanya hak buruk sahaja yang diberikan publisiti?

Saya tidak kata, perkahwinan gadis bawah umur itu salah! Jika ada keperluan dan justifikasi, apa salahnya. Tetapi berpada-padalah, fikirkan tentang orang lain yang lebih memerlukan, bukan melunaskan nafsu sarakah yang tidak pernah puas.

Tindakan sebegini hanya akan merosakkan imeh Islam. Maka tidak hairanlah jika orang bukan Islam tidak memeluk agama Islam disebabkan oleh perangai-perangai kita amat hodoh ini.
Justeru, saya ingin mencadangkan beberapa perkara:

Pertama, umat Islam perlu memikirkan perkara lebih besar bukan hanya seks semata-mata. Untuk merasionalkan bukan Islam mengenai isu kahwin empat, masih lagi sukar, inilah pula perkahwinan kali ketiga dan keempat dengan menyasarkan kanak-kanak. Keadaan sudah tentu menjadi bertambah rumit. Islam akan dipersepsikan sebagai agama yang ‘kuat seks’.

Kedua, perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur tidak salah, tetapi menjadikan anak-kanak sebagai objek seks itu salah kerana ini akan merosakkan imej Islam. Orang bukan Islam akan berfikir Islam ini agama yang terlalu fokus pada seks. Lelaki Islam dipersepsikan berimaginasi liar.

Ketiga, sudah tiba masanya lelaki-lelaki Islam yang bergelar imam solat ini, yang mempunyai banyak duit, memikirkan tentang orang lain dan menyelamatkan mereka. Kahwinilah janda-janda yang masih ramai di luar sana, bukannya budak kecil yang belum kenal dunia yang sebenar.

Keempat, alasan ibu bapa perempuan bawah umur tersebut kerana tidak tahan menanggung beban dengan anak yang begitu ramai, sukar untuk diterima.

Jika begitu keadaannya, tahu tidak mampu menanggung anak ramai, janganlah terlalu banyak beranak. Betullah anak itu rezeki, tetapi pada masa ukurlah baju di badan sendiri.

Takkan kerja orang perempuan asyik beranak sahaja. Habis tu, lelaki kerja apa? Buat anak? Saya sudah naik lemas dengan pasangan umat Islam sebegini. Merosakkan imej Islam menggunakan hujah ‘anak itu rezeki’.

Jika begitu keadaannya, semua orang boleh beranak ramai, tidak perlu merancangkan. Persoalannya, mampukah kita melahirkan anak-anak yang berkualiti?

Bandingkan dengan orang Cina, mereka beranak dua tiga orang sahaja kemudian berhenti. Mereka akan pastikan dua tiga orang anak yang dilahirkan benar-benar berkualiti. Mendapatkan makanan secukupnya, berkhasiat serta mendapat pendidikan terbaik. Sebab itu, jarang sekali melihat anak-anak Cina, melepak, menghisap dadah dan merempitkan. Maaf, bukan tujuan saya membuat perbandingan, melain kebenaran.

Bagaimana dengan kita, beranak berbelas-belas, ada anak yang berperut buncit, berhingus tidak terjaga. Pendidikan entah ke mana. Justeru, berubahlah wahai umatku. Saya bukan menghalang orang Islam beranak ramai, tetapi cerminlah diri. Ukur baju di badan sendiri

 Jika tidak mampu menyara anak, janganlah terlalu banyak beranak. Adakah dengan mengahwinkan anak di bawah umur, benar-benar bagi meringankan beban?

Persepsi masyarakat kita seolah-olah kita ‘menjual’ anak. Oleh kerana tidak mampu menanggung kita pun kahwinkan bagi meringankan beban. Sudah tentu anak-anak yang tidak berdosa akan ‘trauma’ kerana disindir dan dihina masyarakat.

Perkahwinan bukan soal meringankan beban, ia merupakan ikatan dua hati bagi membolehkan mereka hidup kekal bahagia. Kita tidak mahu mengahwinkan anak perempuan bagi mengurangkan beban.

Kepada lelaki yang berkemampuan, mahu melepaskan nafsu serakah seks kepada perempuan yang muda ‘trang tang tang’, fikirkan sedalam-dalamnya. Perkahwinan sebegini, sekadar untuk melepaskan nafsu tidak akan bertahan lama. Habis manis sepah dibuang.

Ini bukan soal perkahwinan antara Nabi s.a.w. dengan Aishah r.a. Umur Aishah walaupun ketika itu berusia 9 tahun, berbeza dengan umur 11-15 tahun perempuan kita hari ini.

Akhirnya, jika terlalu sangat suka dan teruja sangat berkahwin dengan gadis bawah umur, kahwinlah senyap-senyap. Tidak perlu diperbesarkan hingga menjadi perdebatan umum dan merosakkan imej Islam. Mohon sangat media-media sosial hari ini, supaya berhentikan menyiarkan berita sebegini.

Media musuh Islam dan ultra kiasu sentiasa mengambil peluang dan ruang mensensasikan berita ini bagi merosakkan imej agama kita, supaya agama mereka yang tidak seberapa dipandang mulia.






















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.