https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib tak dipakai baju oren kerana kurang berisiko lari

Di sebalik keinginan sesetengah pihak melihat Datuk Seri Najib Razak dibawa ke mahkamah dengan pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia tidak menjadi kenyataan setakat ini.

Bekas perdana menteri itu hadir untuk mendengar pertuduhan yang dikenakan ke atasnya seperti biasa - kecuali dikawal oleh pegawai agensi antirasuah berkenaan.

Menjelaskan keadaan itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki menjelaskan tidak semua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah mesti dipakaikan dengan baju oren berkenaan.
Katanya SPRM melihat kepada aspek tertentu sebelum memutuskan seseorang itu perlu dipakaikan dengan seragam lokap yang berwarna oren atau sebaliknya.

"Kebiasaannya kalau orang itu (tertuduh) mendatangkan kemudaratan, dia akan dipakaikan baju oren.
"Ia bergantung penilaian dari satu kes ke kes yang lain," katanya.

Menurut Azam lagi selain Najib ada ramai lagi ahli politik yang dibawa ke mahkamah tanpa bergari.
Azam berkata demikian semasa menjadi tetamu rancangan bual bicara yang dirakamkan di stesen radio Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Najib yang berdepan dengan lebih 20 tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dana berkaitan 1MDB tidak digari atau berbaju oren semasa dibawa ke mahkamah.

Keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak terutama individu yang berpendapat SPRM tidak bersikap adil kerana melakukan prosedur itu ke atas orang biasa saja.

Menurut Azam, SPRM melihat kepada aspek risiko seseorang itu semasa dibawa ke mahkamah, sama ada mempunyai potensi besar untuk melarikan diri atau tidak.

Atas pertimbangan itu katanya mereka akan ditentukan untuk digari dan berbaju oren atau tidak.
Katanya amalan menggari tertuduh juga pernah dibangkitkan beberapa badan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia.

Katanya pegawai SPRM perlu berhati-hati semasa membuat keputusan untuk memakaikan baju oren atau gari ke atas tertuduh.

"Ia adalah atas budi bicara. Terpulang kepada pegawai SPRM untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan ke atas tertuduh.

"Kalau tertuduh itu melarikan diri atau timbul kekacauan, pegawai SPRM akan dipersalahkan," katanya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.