Arak dan Malaysia Baharu
TRAGEDI arak beracun
yang meragut 23 nyawa kelmarin harus menjadi titik tolak kepada seluruh
rakyat Malaysia untuk menolak penggunaan arak dalam kehidupan seharian.
Terutama kepada pihak Kerajaan Malaysia Baharu, inilah masanya meminda
polisi dan peraturan berkaitan yang selama ini dilihat 'mesra' arak.
Perkara ini bukan baharu, tragedi
seumpama telah banyak dilaporkan di seluruh dunia. Antara terdekat
adalah di negara tetangga kita Indonesia apabila 36 maut di Jawa Tengah
tahun 2016. Malah pernah terjadi dalam masa dua minggu, seramai 90 maut
di Jawa Barat dan Timur Papua akibat meminum arak tercemar.
Lebih dahulu, Islam sejak 1,400 tahun
lampau telah pun mengharamkan arak atas pelbagai keburukan dan kerosakan
berimplikasi dari pengambilannya. Maka, dengan tragedi yang berlaku
perlu dilihat secara serius terhadap malapetaka arak terhadap umat
manusia untuk ditangani secara komprehensif.
Rekod dan kajian turut membuktikan
bahawa pengambilan arak telah menyebabkan punca kepada kejadian
kemalangan jalan raya, pergaduhan dan pertengkaran. Negara kita juga
pernah menyaksikan peristiwa hitam rusuhan kaum di Taman Medan, Petaling
Jaya suatu ketika dahulu tercetus dari pengambilan arak juga.
Lebih menakutkan, natijah pengambilan
arak hingga berpanjangan kepada jenayah pembunuhan, rogol dan cabul,
serta tidak sedikit keganasan rumah tangga. Tiada yang menggembirakan
melainkan ianya manifestasi kejayaan taikun-taikun dan pemegang saham
industri arak antarabangsa menjana keuntungan.
Namun, di sebalik data kemusnahan moral
dan norma masyarakat ini, kerajaan kita masih berterusan dan tanpa rasa
bersalah turut mengaut hasil dari industri arak. Apakah Kerajaan
Malaysia Baharu tidak mahu membuat penelitian hukum kerana masih
membenarkan pengimportan arak selain memberi lesen jualan dan mengambil
cukai?
Rakyat Malaysia dilaporkan membelanja
USD500 juta atau lebih kurang RM2 bilion untuk minuman keras setahun.
Mungkin menjadi kebanggaan bagi pihak tertentu pula apabila pada tahun
2011 Malaysia dinobatkan sebagai 10 negara dunia yang rakyatnya
mengambil alkohol dengan kadar tinggi.
Semua ini harus direnung dengan kaca
mata iman betapa tiadanya keberkatan dari Allah untuk negara, bahkan
sebaliknya mengundang laknat dari-Nya. Allah telah menegaskan dalam ayat
90 surah al-Maidah bahawa arak, judi, sembelihan korban untuk berhala
dan nujum adalah kekejian dan lahir dari perbuatan syaitan.
Maka solusi kepada segala kefasadan ini
mesti disemak kembali undang-undang berkaitan seperti Akta Eksais 1976,
juga Peraturan-peraturan Eksais (Penjualan Liqour memabukkan) 1976 dan
Akta Kastam 1967, Seksyen 2 (1) demi kemaslahatan bersama. Selain
menggerakkan pendidikan dan kesedaran bersepadu.
Polemik berkaitan juga boleh segera
ditamatkan seperti hidangan arak dalam penerbangan MAS, menolak penajaan
syarikat arak, menghentikan iklan-iklan arak, serta menghadkan lesen
jualan arak mengikut komposisi kaum penduduk. Juga melaksanakan
penguatkuasaan ketat terhadap pencegahan dan larangan mengenainya.
Kerajaan Persekutuan harus mencontohi
Kelantan dalam soal pengurusan arak. Minuman ini dilarang dijual di
hotel, pasar raya dan kedai runcit biasa. Namun, Kerajaan Negeri
Kelantan melalui Pihak Berkuasa Tempatan tetap mengeluarkan permit
kebenaran bagi premis tertentu menyediakan kepada pelanggan bukan Islam.
Kaedah mudah yang boleh dicontohi.
"Terus Mara"
NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia -
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.