https://critoxium.com/shop/

Terkini

PAS bukan cabang mudah dipatahkan

KUALA NERUS: Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah menunaikan kewajipan islah dan tajdid, menyambung kewajipan dakwah Islam dan politiknya berqudwahkan Rasulullah SAW yang tidak mati perjuangannya dengan kewafatan baginda.

PAS bukannya cabang yang dipatahkan dan dipotong daripada mana-mana parti, jamaah atau kumpulan, laksana ranting yang dipatah dan dipacakkan ke tanah tanpa akar umbinya.

Demikian ucapan bersemangat daripada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini.

"Akar umbi organisasi PAS berasaskan aqidah perjuangan yang panjang, demi mendapat keredaan Allah, walaupun jauh perjalanannya daripada dunia sehingga akhirat.

"Berbeza dengan mereka yang hanya berjuang untuk menegakkan teori atau ideologi impian manusia demi mengejar cita-cita yang difikirkan, dan hanya berwawasan dalam kehidupan dunia sementara waktu.

"Perjuangan PAS mendaulatkan kalimah Allah Yang Maha Mulia di atas muka bumi, menjadikan Islam itu tertinggi memerintah, bukannya diperintah. Cahayanya tidak boleh dipadamkan, walaupun negaranya dihilangkan dan partinya dikalahkan dan diharamkan," tegasnya.

Tuan Guru dengan jelas menyatakan bahawa PAS tetap membela umat manusia mengikut tahap kemampuannya sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang.

Justeru, ujar beliau PAS yang berpengalaman kehilangan pemimpin kerana mati, ditahan ISA, melarikan diri, kalah pilihan raya, dan pernah diharamkan slogannya (Allah Muhammad), diharamkan simbol asalnya (Bulan Sabit dan Bintang Lambang Khilafah) tetapi tetap bertambah ahli dan penyokongnya, serta berkembang cawangannya ke seluruh pelosok tanah air termasuk Sabah dan Sarawak sehingga ke luar negara.

Tambah beliau, PAS hanya belum menang, kerana terus berjuang tidak pernah berhenti mengaku kalah. Hanya ada kalangan manusianya yang menyerah kalah atau mengaku kalah kerana tidak beristiqamah bersama PAS.

"Apabila menghadapi cabaran yang tidak tertanggung oleh dirinya, sama ada kerana berpenyakit gila pangkat atau menyerah kalah, namun tetap ditanggung oleh PAS yang tidak pernah rebah dalam perjalanannya.

"Ada mereka yang terus bersama PAS kerana perjuangan Islam sehingga akhir hayat yang wajib mendapat kemenangan, seterusnya tetap ada pelapisnya yang tidak putus meneruskan perjuangan," terangnya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.