Peruntukan Kem. Pertahanan bermotif politik
PENGUMUMAN peruntukan
segera Kementerian Pertahanan yang berjumlah RM500,000 untuk membaiki
kerosakan kuarters dan prasarana Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT)
di Port Dickson adalah dilihat bermotif politik.
Umum mengetahui PRK Parlimen Port
Dickson akan berlangsung pada 13 Oktober 2018, manakala pengundian awal
dijadual pada 9 Oktober 2018. Jumlah pengundi dalam kalangan anggota
tentera yang merangkumi pegawai dan ahli keluarga di Port Dickson
berjumlah 4,532 orang (2018).
Berdasarkan trend semasa, peratusan
keluar mengundi di tiga siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini
terlalu rendah. Tidak dinafikan, salah satu faktor penurunan drastik
adalah disebabkan oleh penolakan pengundi terhadap PH akibat daripada
kegagalan melunaskan manifesto dan penggubalan polisi baru yang tidak
menyebelahi rakyat.
Di Seri Setia, calon PAS turut
memperoleh kemenangan daripada undian awal yang disumbangkan oleh
pengundi polis dan tentera. Perubahan ini adalah signal positif terhadap
PAS dan parti pembangkang.
Tindakan Menteri Pertahanan yang
mengumumkan peruntukan tersebut juga bercanggah dengan kenyataan
Presiden PKR yang juga calon PRK PD kali ini.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak
mahu aset dan jentera kerajaan digunakan untuk pilihan raya. Ia
bertujuan bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dengan
adil.
Malah, beliau turut memberikan contoh
sikap yang ditunjukkan oleh Menteri KPDNHEP yang menangguhkan program
kementeriannya di PD untuk mengelakkan penyalahgunaan jentera kerajaan.
Islam Memimpin
NASRUDIN HASSANKetua Penerangan PAS Pusat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.