https://critoxium.com/shop/

Terkini

Usah gopoh tukar sistem pilihan raya

Oleh Mujibu Abd Muis

BARU-BARU ini cadangan supaya sistem pilihan raya di Malaysia disemak dan ditukar amalannya telah kembali diperkatakan. Paling kuat mengutarakan isu ini sudah tentu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Ini apabila mereka menuntut kerajaan supaya menukar amalan pilihan raya negara ketika ini yang menggunakan sistem First-Past-The-Post (FPTP) kepada sistem Senarai Perwakilan Perkadaran Parti (Party List Proportional Representation (List-PR).

Alasannya, FPTP lebih menekankan mandat individu (wakil rakyat) dan terdedah kepada eksploitasi individu atau parti tertentu mengubah barisan kepimpinan mengikut kemahuan mereka dengan mengambil kes PRK Port Dickson yang bakal tiba sebagai hujah tuntutan tersebut.

Kenyataan itu turut mendapat sokongan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan. Menurut beliau, cadangan ini wajar dipertimbangkan kerana sistem FPTP tidak mencipta persaingan yang sihat dan seimbang kerana wujudnya pelbagai parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

Menurutnya lagi, FTPT akan memaksa gabungan antara parti politik tertentu dilakukan kerana mana-mana parti politik dalam sistem ini tidak akan mampu memberikan cabaran kepada parti lawan sekiranya mereka memilih untuk bertanding bersendirian.

Perkara yang dibangkitkan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Seingat kita semua, pada PRU13 dahulu, isu ini ditimbulkan apabila undi popular yang diterima BN dan Pakatan Rakyat (PR) ketika itu tidak mencerminkan hakikat semasa.

Walaupun PR menerima 50.87% undi popular berbanding BN (47.38%), BN tetap membentuk kerajaan ketika itu selepas berjaya memenangi 59.91% kerusi yang dipertandingkan berbanding PR (40.09%).

Oleh yang demikian, sekiranya hujah-hujah itu dan pengalaman PRU13 diambil kira sebagai faktor alasan, maka memang ada kewajaran untuk cadangan menukar sistem pilihan raya ini dilakukan.

Persoalannya ialah, apakah dengan menukar sistem FPTP ini ke List-PR benar-benar akan menyelesaikan kelemahan sistem pilihan raya Malaysia? Kedua, adakah benar sistem FPTP ini ibu kepada segala masalah dalam sistem pilihan raya kita?

Mungkin ramai yang masih tidak tahu yang FPTP ini adalah satu kaedah mengundi. Secara asasnya sistem ini sudah diguna pakai sejak merdeka lagi. FPTP ini menggunakan kaedah majoriti mudah dalam mengira dan menentukan kemenangan seseorang calon menerusi kaedah 50+1 setelah pengundi selesai menunaikan tanggungjawab mereka di kawasan pilihan raya masing-masing.

Untuk suatu ketika perkara ini berjalan dengan lancar di Malaysia sehinggalah beberapa kelemahan muncul daripada amalan itu. Apakah kelemahan itu?

Pertama sistem FPTP ini menidakkan suara minoriti kerana yang menang akan menang semua dan yang kalah akan kalah semua. Ini berlaku sungguhpun kadang-kadang seseorang calon itu hanya menang dengan kelebihan satu undi sahaja.

Lihatlah apa yang berlaku pada PRU11 di Dun Kemuning, Kelantan apabila keputusan memihak kepada calon Pas, Zakaria Yaacob yang memperoleh 6,078 undi, menewaskan Wan Mohamad Zin Mat Amin (BN) dengan majoriti paling tipis dalam sejarah pilihan raya Malaysia iaitu hanya dengan dua undi.

Oleh yang demikian, maka datang pula masalah kedua dalam sistem ini apabila FPTP menjadikan keputusan sesuatu pilihan raya itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kehendak pengundi, misalnya undi popular yang diterima oleh parti yang kalah jauh lebih tinggi dari kerusi yang dimenanginya.

Hal ini sudah tentu merujuk kepada senario PRU13 di mana persoalan kesaksamaan dan nilai setiap undi itu menjadi paradoks dalam konteks yang berbeza, iaitu dalam menentukan kemenangan calon dan keputusan pilihan raya (jumlah kerusi dimenangi dalam membentuk kerajaan).

Ketiga, wujudnya kelebihan ‘rural weightage’ yang memberikan kelebihan kepada kawasan luar bandar dari segi jumlah kerusi. Sebagai contoh, pada PRU14, Parlimen Kinabatangan di Sabah hanya mempunyai pengundi berjumlah 29,161 sedangkan Parlimen Kapar di Selangor yang tidak sebesar Kinabatangan mempunyai 144,159 pengundi, hampir 5 kali ganda ramai berbanding Kinabatangan.

Dan hal ini berlaku hampir di seluruh negara yang mana ia mengundang kritikan apabila hal ini dikaitkan sebagai penyebab kemenangan BN dalam setiap pilihan raya. Ini adalah kerana BN kuat di kawasan-kawasan luar bandar berbanding parti-parti saingannya.

Memang diakui ada kelemahan dalam sistem FPTP yang sedang diamalkan, tetapi tergopoh gapah untuk menukar sistem ini hanya kerana hal-hal sedemikian tanpa sebarang kajian dan perbincangan adalah sesuatu yang tidak wajar.

Terdapat beberapa kelebihan yang dilihat sesuai dengan keadaan demografi politik di Malaysia. Pertama, FPTP diamalkan hampir di kebanyakan negara di dunia kerana ia mudah difahami rakyat dan memudahkan proses pilihan raya yang berkesan. Kedua, sistem ini menghasilkan kerajaan yang lebih kuat dan stabil. Dan yang ketiga, FPTP ini lebih sesuai untuk negara-negara berbilang kaum seperti Malaysia, yang masyarakatnya begitu terpisah dari sudut sosiopolitik dengan setiap kelompok-kelompok menguasai kawasan-kawasan tertentu.

Isu sebenar di sini bukanlah amalan FPTP itu. Ia dilihat lebih kepada isu perbezaan ketara antara nilai undi dan kerusi yang nilainya tidak sama dan seimbang. Dalam hal ini ramai yang bersetuju bahawa ia berpunca dari amalan menetapkan persempadanan kawasan pilihan raya yang tidak seimbang dan bersifat berat sebelah.

Ketika persempadanan dibuat, elemen gerrymandering dan malapportionment dilihat menyumbang kepada itu. Kedua, sesuatu kawasan pilihan raya di Malaysia juga kadang-kadang didominasi kaum tertentu yang dalam pilihan raya, meletakkan calon atau parti dari kaum tertentu akan memberikan kelebihan kepada yang bertanding. Sekiranya amalan ini masih berlaku dan dalam konteks Malaysia ia akan terus berlaku, maka amat sukar untuk menukar sistem FPTP ini kepada sistem seperti yang dicadangkan.

Natijahnya lagi, perubahan ini juga akan memberi kesan kepada pola politik di Malaysia yang dikhuatiri, akan menajamkan lagi aspek persaingan politik dan perkauman. Akhirnya matlamat untuk menyuburkan demokrasi dan partisipasi politik yang sihat di kalangan rakyat tidak berjaya dicapai.

Justeru itu, barangkali perlu ada banyak lagi kajian dan perbandingan, perbincangan dan pertukaran pendapat dikalangan pakar-pakar dan pihak bertanggung jawab sebelum menukar sistem pilihan raya ini berbanding berterusan mendesak kerajaan agar tunduk kepada cadangan mana-mana pihak pun.

* Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.