Akhirnya PAS akui prestasinya kian merosot – Kit Siang
Akhirnya, kepimpinan PAS yang diketuai Datuk Seri Hadi Awang mengakui bahawa di bawah kendaliannya, prestasi PAS kian merosot.
Saya tidak pernah berkata bahawa PAS kini telah kecundang,
pun begitu saya berani untuk membuat ramalan bahawa selagi kepimpinan
Hadi berterusan mengambil pendirian yang berbeza daripada apa yang
pernah diperjuangkan oleh dua bekas Presiden PAS terdahulu iaitu arwah
Fadzil Nor dan Yusof Rawa serta bekas Mursyidul Am arwah Nik Abdul Aziz
Nik Mat, tidak mustahil prestasi PAS akan terus merosot dalam lanskap
politik Malaysia.
Menjawab kenyataan saya semalam, Setiausaha Agung PAS
Takiyuddin Hassan berkata saya tidak seharusnya memandang remeh terhadap
PAS walaupun parti itu menunjukkan prestasi yang lemah pada Pilihan
Raya Umum 9 Mei lalu dan menyatakan bahawa walaupun prestasi PAS semakin
merosot, ia tidak bermakna PAS telah kecundang.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS menyertai pilihan
raya tanpa bergantung kepada sokongan parti lain, tidak seperti Amanah,
PPBM, apatah lagi DAP.
Adakah Setiausaha Agung PAS membayangkan bahawa suatu hari
nanti, PAS secara bersendirian boleh memenangi pilihan raya umum tanpa
bantuan daripada mana-mana parti politik lain? Jika ya, pemimpin PAS
mungkin hidup dalam dunianya sendiri, tidak berpijak di bumi yang nyata.
Institut Darul Ehsan (IDE) menerusi tinjauan pilihan raya
yang dijalankannya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson
membuat ramalan yang sangat tepat apabila mengatakan bahawa PAS “tidak
dijangka mendapat lebih daripada satu peratus undi bukan Melayu”.
Adakah IDE salah? Bolehkah Takiyuddin atau mana-mana
pemimpin PAS lain tunjukkan di mana salahnya ramalan IDE itu, dan
bolehkah mereka tunjukkan bahawa PAS menang lebih daripada satu peratus
undi bukan Melayu pada PRK Port Dickson?
Jika PAS tidak dapat memenangi satu peratus undi bukan
Melayu di Malaysia, adakah ia mampu membentuk Kerajaan Persekutuan di
Malaysia?
Ia bukan rahsia lagi, PAS mendapat sokongan tersirat
daripada kepimpinan tertinggi Umno dalam PRK Port Dickson sebagai
sebahagian daripada konspirasi politik Umno-PAS yang sedang giat
dijalankan, namun satu-satunya faedah yang diperolehi PAS daripada
pakatan tidak suci (unholy) dengan UMNO itu adalah deposit calon PAS
terselamat!
Sekiranya PAS bertanding bersendirian tanpa apa-apa bentuk
“restu” daripada pucuk pimpinan Umno – walaupun kenyataan ini boleh
disanggah dengan keputusan bekas Menteri Besar Umno Negeri Sembilan, Tan
Sri Mohd Isa Samad untuk bertanding PKR Port Dickson – calon PAS akan
kehilangan depositnya, seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum
Ke-14 pada 9 Mei 2018
Saya tidak fikir bahawa kedua-dua bekas presiden PAS,
Fadzil Nor dan Yusuf Rawa, serta bekas PAS Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat
akan menganggap ia sebagai sesuatu yang membanggakan bagi PAS apabila
parti itu sanggup menjalinkan pakatan tidak suci dengan Umno semata-mata
mahu menyelamatkan deposit calon PAS di PKR Port Dickson.
Saya percaya bahawa pelampau politik dan oportunis dalam
Umno serta PAS yang terjerumus ke dalam politik toksik dan berniat jahat
yang memainkan isu kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan
akan tetap tewas dalam era maklumat di Malaysia dan keputusan PRK Port
Dickson harus dijadikan pengajaran kepada pemimpin Umno dan PAS.
Saya tidak percaya bahawa 2.3 juta pengundi Melayu yang
mengundi Umno dan 2 juta pengundi yang mengundi PAS semasa Pilihan Raya
Umum ke-14 mahu Malaysia berterusan menjadi negara penyangak, demokrasi
palsu dan kleptokrasi global di mana pemimpin gagal ujian agama paling
asas dalam membezakan yang benar dan yang salah, kebenaran dan
pembohongan serta keadilan dan ketidakadilan.
Pakatan Harapan mahu mengubah Malaysia daripada kleptokrasi
global kepada sebuah negara yang berintegriti, matlamat yang saya yakin
akan disokong oleh mereka yang telah disesatkan untuk mengundi Umno dan
PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.