Cabaran orang makan gaji sektor swasta
Oleh
BARU-BARU
ini, laman sosial Facebook dihujani dengan luahan kecewa beberapa
pekerja yang terlibat dalam pembinaan projek bawah tanah Transit Aliran
Massa 2 (MRT2) apabila mereka tidak pasti dengan masa depan mereka.
Tindakan Kabinet membatalkan
kontrak projek bawah tanah MRT2 yang dianugerahkan kepada gabungan
Gamuda-MMC akan menyebabkan 20,000 pekerja dikhuatiri hilang punca
pendapatan.
Walaupun kerajaan memberi
jaminan kontrak itu akan diteruskan menerusi tender terbuka namun ia
tidak menjamin masa depan semua pekerja terlibat.
Dalam
tempoh pelaksanaan semula tender, apakah pekerjaan yang boleh dilakukan
mereka untuk mencari rezeki menyara kehidupan keluarga?
Pastinya
mereka yang terlibat buntu dan pening memikirkan masa depan yang tidak
menentu dalam situasi pasaran kerja yang lembap ketika ini.
Satu
perkongsian luahan perasaan di Facebook yang dibuat oleh Hasnah Ahmad
menyatakan bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan jika tiada punca
pendapatan?
Ibu tunggal kepada seorang
anak berusia lima tahun itu memberitahu, rezekinya ketika ini adalah
projek bawah tanah MRT2 tersebut.
“Aku down gila, menangis memikirkan masa depan anak aku,” tulisnya.
Keadaan
ini juga pernah dirasai ribuan pekerja syarikat penerbangan terkenal
negara, Malaysia Airlines (MAS) beberapa tahun lalu yang terpaksa
mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
Kakitangan
syarikat tersebut terpaksa menerimanya sebagai qada dan qadar dalam
usaha terakhir menyelamatkan MAS daripada terus menanggung kerugian
berbilion-bilion ringgit.
Akibatnya kakitangan syarikat penerbangan itu terpaksa mencari pekerjaan baharu dalam keadaan usia yang menjangkau senja.
Ada
antara mereka mencari jalan mudah dengan menjadi pemandu GrabCar.
Bagaimanapun, terdapat bekas kakitangan MAS berjaya menjalankan bisnes
dan mendapat pekerjaan baharu yang lebih baik.
Diberhentikan
kerja adalah sesuatu perkara yang sangat ditakuti dan bukan disukai
semua orang tidak kira apa skim yang ditawarkan termasuk VSS.
Bagaimanapun,
mahu tidak mahu, mereka yang makan gaji dalam sektor swasta memang
terpaksa berdepan risiko tinggi ini sekiranya syarikat sedang mengalami
masalah kewangan yang tenat.
Tiada
jaminan 100 peratus sesebuah syarikat waima bertaraf antarabangsa atau
keramat akan mampu bertahan selama-lamanya dalam mengharungi suasana
ekonomi dan senario politik yang berubah.
Hanya
mereka yang berkhidmat dalam sektor awam terjamin masa depan serta
selesa kecuali jika mereka ditamatkan perkhidmatan kerana melakukan
jenayah berat.
Pekerja sektor swasta
yang telah bekerja selama berpuluh-puluh tahun pastinya akan terkesan
apabila terpaksa mengambil VSS melainkan mereka yang tinggal beberapa
tahun sahaja lagi untuk bersara.
Ia
tentunya satu keputusan yang paling sukar dalam hidup dan memerlukan
beberapa hari untuk memikirkannya. Ada pro dan kontra dalam membuat
keputusan itu sehingga mereka akhirnya berada dalam dilema.
Apa
pun, pilihan perlu dibuat dengan pertimbangan waras kerana jika tiada
keputusan daripada diri sendiri, orang lain yang mungkin membuat
keputusan untuk diri kita.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.