Komet Tengkorak hampiri Bumi November ini
Oleh
Komet
juga disebut sebagai bintang berekor walaupun ia sebenarnya bukan
bintang, merupakan batu yang meluncur mengelilingi matahari pada
kelajuan jutaan kilometer sejam dalam orbitnya tersendiri di angkasa
lepas.
Saluran dokumentari, National Geographic
pernah melaporkan tentang peristiwa sebuah komet jatuh ke Bumi dan
meletup sekitar 28 juta tahun dahulu di rantau Mesir. Letupan dahsyat
itu menghasilkan gelombang panas dengan suhu mencecah 2,000 darjah
Celsius sekali gus mencairkan pasir-pasir dan membentuk kaca silika yang
bertaburan di kawasan seluas 6,000 kilometer persegi di Gurun Sahara.
Baru-baru ini pula, Pentadbiran Aeronautik
dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengumumkan tentang kehadiran
sebuah komet berbentuk seakan-akan tengkorak gergasi.
Objek ‘berwajah seram’ itu dijangka terbang
menghampiri sebelum melintasi Bumi pada 11 November tahun ini, beberapa
hari selepas masyarakat Barat meraikan perayaan Halloween.
Komuniti saintis menamakan komet tersebut
2015 TB145. Komet itu pertama kali ditemui oleh pasukan penyelidik
Universiti Hawaii menggunakan teleskop di sebuah balai cerap di Maui
pada tahun 2015.
Pada tahun tersebut, Komet Tengkorak
melintasi Bumi pada 31 Oktober dalam radius hanya 1.3 jarak Bulan atau
480,000 kilometer, agak dekat bagi objek cakerawala.
Bulan pula mengelilingi Bumi pada jarak 382,400 kilometer.
Saintis-saintis percaya bahawa jasad 2015
TB145 merupakan sebuah ‘komet mati’. Komet biasanya mempunyai ‘ekor’
panjang bersinar yang terbentuk akibat proses pengewapan pelbagai gas
dan ais ketika ia menghampiri Matahari. Sebuah komet dianggap sudah mati
apabila ia hilang kesemua gas dan ais tersebut sekali gus tidak
mempunyai ekor seperti 2015 TB145.
Pada tahun ini, Komet Tengkorak kembali
sekali lagi untuk ‘menghantui’ penduduk Bumi tetapi pada jarak yang
lebih jauh, bersamaan 105 kali ganda jarak Bulan dari Bumi.
Saiz komet itu tidak besar dengan
saintis-saintis berkata, 2015 TB145 mempunyai diameter kira-kira 609
meter tetapi orang ramai tidak dapat menyaksikan fenomena alam semesta
itu dengan mata kasar mereka kerana faktor saiz dan jarak.
Komet Tengkorak diklasifikasikan sebagai ‘berbahaya’ kerana saiznya dan jarak orbit yang hampir dengan Bumi.
Bagaimanapun, penduduk dunia tidak perlu
gusar kerana ahli-ahli astronomi dan NASA menyatakan bahawa
kebarangkalian 2015 TB145 melencong dan menghentam Bumi adalah sifar.
Komet Tengkorak akan sekali lagi terbang
menghampiri Bumi pada tahun 2088 dan ketika itu NASA meramalkan ia
berada pada jarak jutaan kilometer dari planet kita.
Pada 15 Mei tahun ini, sebuah jasad angkasa
lepas lain yang dinamakan asteroid juga terbang hampir dengan Bumi.
Menurut NASA asteroid atau batu angkasa dinamakan 2010 WC9 itu mempunyai
saiz sebesar sebuah pesawat jumbo 747.
Asteroid itu melintasi Bumi pada jarak yang
agak dekat iaitu kira-kira separuh jarak Bulan atau 203,000 kilometer.
Ia terbang pada kelajuan lebih 46,000 kilometer sejam.
Ahli-ahli sains menyifatkan insiden itu sebagai perkara yang jarang berlaku.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.