Majoriti PRK PD, ada pasang surutnya
Oleh SYAHIR SULAIMAN
KEPUTUSAN PRK Port
Dickson disambut dengan penuh gembira oleh Pakatan Harapan, bersandarkan
angka majoriti 23,560 yang lebih besar berbanding majoriti 17,710 dalam
PRU14.
Dalam keadaan peratus keluar mengundi
yang lebih rendah iaitu 58.2% berbanding 82.8% dalam PRU14, jumlah undi
yang diperolehi PH jatuh 14% daripada 36,225 kepada 31,016 dalam PRK
ini, manakala undi yang diterima oleh PAS meningkat 13% daripada 6,594
kepada 7,456.
Jurang majoriti besar ini berlaku kerana
terdapat sejumlah besar daripada 18,515 pengundi BN dalam PRU14 tidak
keluar mengundi dalam PRK kali ini, seterusnya memberi kelebihan kepada
calon PH untuk menang di setiap saluran dan pusat pengundian.
Secara nisbahnya, PH mendapat 71% undi
popular dalam PRK ini (PRU14: 59%), manakala PAS meraih 17% undi popular
(PRU14: 11%) dan kesemua calon bebas memungut 12% undi popular, dalam
keadaan BN yang berada di tempat kedua pada PRU14 yang lalu memperolehi
30% undi popular.
Sekiranya peratusan mengundi dalam PRK
ini tidak terjejas dengan ‘kehilangan’ sejumlah pengundi yang agak
signifikan dalam PRU14, mandat yang diperolehi oleh DSAI dalam PRK ini
juga akan terjejas, dengan anggaran majoriti sekitar 19,000 dan 57% undi
popular, malah berkemungkinan untuk kalah di beberapa pusat pengundian
majoriti Melayu seperti di Linggi dan Bagan Pinang.
Ini kerana jurang majoriti kemenangan
DSAI dalam PRK ini disumbangkan oleh sejumlah besar pengundi ‘bukan-PH’
yang tidak keluar mengundi dalam PRK kali ini, berbeza dengan PAS yang
mendapat sedikit lonjakan daripada pengundi ‘bukan-PAS’ berbanding PRU
yang lalu.
Justeru hakikat yang perlu diakui oleh
PH adalah betapa mandat besar yang memihak kepada DSAI dalam PRK Port
Dickson ini umpama bebuih ombak yang kelihatan banyak, tetapi tidak
kukuh dan bersifat sementara.
Rakyat dan anak muda pastinya bijak
menilai kegagalan PH dalam menunaikan janji manifesto, diikuti pula
dengan cadangan cukai baru bagi menampung kelemahan SST, serta pelbagai
insiden yang memburukkan imej parti pemerintah seperti pergaduhan
sepanjang pemilihan PKR, perebutan pangkat di kalangan pemimpin PAN,
lagak samseng wakil rakyat DAP, dan aksi ‘berani’ seorang Menteri PPBM
berkongsi gambar tanpa berbaju di dalam media sosial.
Pemimpin PH yang masih lena dibuai
‘mimpi Putrajaya' seperti YB LKS perlu sedar bahawa sokongan rakyat
terhadap PH sentiasa berubah setiap hari, umpama air laut di pantai Port
Dickson yang ada pasang dan surutnya.
Terserah kepada pemimpin dan rakyat untuk memerhati dan menilainya.
Pengarah Strategi DPPM




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.