Mendepani dilema hilang pekerjaan
Oleh
TIDAK
ada sesiapa pun yang sanggup kehilangan kerja, apatah lagi jika sesuatu
pekerjaan itu adalah impiannya sejak kecil, sudah bertahun sebati dalam
hidupnya bahkan segala tugas yang diamanahkan majikan telah
dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.
Bagi kebanyakan kita, tiada
kerja bererti tiada wang masuk ke dalam saku. Komitmen bulanan dan
perbelanjaan wajib yang ditanggung pula perlu dilunaskan seperti biasa.
Jika pekerjaan itu merupakan satu-satunya
sumber rezeki untuk menyara diri serta keluarga, ia bagaikan satu mimpi
buruk yang mahu dihindarkan jauh-jauh.
Namun kita harus akui, dalam keadaan
ekonomi negara bahkan dunia yang dilihat kurang memberangsangkan, proses
pengurangan pekerja berlaku di mana-mana, tanpa mengira industri. Jika
ada yang anggap masih ‘terselamat’, ia mungkin merujuk kepada
penjawat-penjawat awam berstatus tetap. Demikianlah asam garam dunia
pekerjaan.
Hakikatnya, pengurangan kakitangan
merupakan antara langkah akhir yang sering diambil oleh mana-mana
organisasi setiap kali berlakunya kegawatan ekonomi.
Ia dilaksanakan untuk menjimatkan
perbelanjaan operasi sekali gus memberi peluang organisasi menjana
keuntungan demi kelangsungan perniagaan.
Selain mengurangkan kakitangan secara paksa, kebanyakan majikan yang prihatin terlebih dulu menawarkan VSS (Voluntary Separation Scheme)
atau Skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela yang mana pekerja akan
diberi wang pampasan yang ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan
gaji terakhir.
Jika jumlah pampasan yang ditawarkan dianggap munasabah, VSS diterima seadanya.
Bagi yang masih di usia muda, perjalanan
kerjaya baharu terpaksa ditempuh dan dalam keadaan ekonomi seperti
sekarang, tiada jaminan pun mengenai nasib dan masa depan mereka.
Apa yang pasti, tindakan mengurangkan
jumlah pekerja dalam apa bentuk sekali pun, sama ada secara sukarela
atau tidak, mempunyai kesan negatif terhadap pekerja lain yang tidak
terlibat.
Perlu diakui, masing-masing berteka-teki
mengenai hala tuju kerjaya dan beranggapan bahawa mereka juga mungkin
akan menerima nasib yang sama pada suatu hari.
Selain itu, ada juga majikan yang mengambil
pendekatan mengurangkan kakitangan yang kurang kompeten tetapi tindakan
sedemikian belum tentu akan menjanjikan bahawa pekerja-pekerja mahir
dan cemerlang akan terus berkhidmat buat selama-lamanya.
Dalam situasi yang tidak menentu,
pekerja-pekerja cemerlang ini juga mungkin mula mencari pekerjaan lain
yang lebih stabil, justeru membawa kerugian besar kepada majikan yang
sedia ada.
Bagi golongan pekerja yang berdepan dengan
situasi seperti ini, buatlah keputusan dengan tenang. Dalam hidup ini,
ada keputusan yang perlu dibuat itu keputusan biasa-biasa dan tidak
membawa kesan besar dalam kehidupan. Tetapi ada pula keputusan yang
penting kepada kehidupan dan perlu diperhalusi dan difikirkan
masak-masak.
Keputusan yang bijaksana biasanya mampu
dibuat berdasarkan pengalaman dan kematangan hidup. Pengalaman pula
datangnya daripada ilmu pengetahuan, pergaulan, peristiwa lampau dan
kemampuan berfikir yang tinggi.
Semasa membuat keputusan, kita tidak
seharusnya mengambil risiko tanpa pertimbangan. Ini kerana membuat
keputusan untuk mengambil risiko juga satu keputusan.
Pastinya, dua kelompok kakitangan yang
terlibat dalam situasi seperti ini sangat besar pengorbanan mereka.
Masing-masing perlu berterima kasih dan saling menghargai antara satu
sama lain.
Bagi yang memilih untuk melangkah pergi,
mereka berkorban demi kelangsungan operasi manakala kakitangan yang
tinggal, masing-masing membuat pengorbanan untuk terus berjuang dalam
ketidaktentuan keadaan, sekali gus berusaha meletakkan organisasi
kebanggaan yang dibina bersama sebelum ini di persada semula!




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.