https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib, Al-Jazeera & peranan media

Oleh

PERIBAHASA “agung susut, pongah masih” bermain di fikiran tat­kala saya menonton wawan­cara bersama Datuk Sri Najib Razak yang dianjurkan penyiar media antarabangsa Al-Jazeera minggu lalu.
Pepatah tersebut merujuk kepada seseorang yang telah kehilangan kebesaran atau darjatnya namun masih berlaku angkuh seolah-olah tidak sedar diri. Begitulah gambaran saya mengenai mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah memalukan dirinya di khalayak dunia.

Ekoran tularnya klip video yang menunjukkan aksi Najib yang me­rajuk dengan wartawan lalu bertindak meninggalkan wawancara separuh jalan, beliau cuba mempertahankan diri dengan mendakwa dalam status Facebooknya bahawa soalan-soalan yang diajukan oleh Al-Jazeera telah “menyeberangi skop yang diperse­tujui” dan “tidak kembali kepada topik asal iaitu legasinya dan ekonomi negara”.

Yang menghairankan saya, takkan Najib, sebagai seorang tokoh politik yang berpengalaman puluhan tahun dan bekas pemimpin negara, boleh menganggap bahawa media tidak akan bertanya soalan yang sukar dan patut hanya mengikuti skop yang dipersetujui dari awal?

Jelas, Najib langsung tidak me­mahami budaya kebebasan media. Ini kerana beliau sudah terlalu biasa dengan media yang dikawal ketat oleh kerajaan sejak Ops Lalang 31 tahun lalu sehinggakan soalan yang me­libatkan kepentingan awam tidak boleh diajukan sama sekali.

Apa yang sepatutnya menjadi norma media disangkakan sebagai sesuatu yang amat ganjil sehingga digunakan sebagai sebab untuk mewajarkan tindakan meninggalkan wawancara tersebut.
Najib, oh Najib, selamat datang ke dunia sebenar. Media yang matang dan bebas sememangnya harus berperanan sebagai pemantau dan bukannya pengamal “kewartawanan propagandis” yang menjadi kelazi­man semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Kita semua masih ingat lagi bagaimana berita dan akhbar nasional disaratkan dengan isi yang memuakkan sehingga ramai yang berhenti menonton berita TV3 dan membaca surat khabar-surat khabar yang di­kawal pemerintah.

Tugas wartawan adalah untuk mendapatkan jawapan dalam ­perkara-perkara yang membabitkan kepentingan awam – sepertimana yang dilakukan penemu ramah Mary-Ann Jolley dalam wawancara tersebut.

Justeru, adalah diharapkan media di Malaysia dapat tampil memainkan peranan mereka sebagai “watchmen” ataupun pemantau bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa, di samping mendedahkan apa yang mampu memudaratkan kepentingan rakyat.
Lebih penting lagi, media di Malaysia tidak boleh lagi menjadi alat propaganda yang hanya menjaga kepentingan sang pemerintah semata-mata.

Malaysia Baharu menjanjikan Malaysia yang lebih baik. Ini termasuk memberi ruang kebebasan kepada pengamal media untuk melaporkan apa-apa yang melibatkan kepenti­ngan umum tanpa rasa takut dan memihak.

Di samping itu, pengamal media juga harus bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka dengan memastikan sejauh mungkin ke­benaran dan keadilan dalam laporan yang disampaikan. Ini kerana media mempunyai kuasa untuk membina masyarakat yang bermaklumat ataupun sebaliknya dengan menyekat pemikiran masyarakat.

Kita semua pernah melalui penyekatan itu sebelum ini, apabila akhbar-akhbar dan saluran berita nasional yang bersifat memihak telah menyumbang kepada kelumpuhan perkembangan kesedaran politik di negara ini.

Buktinya adalah permohonan maaf yang dibuat oleh TV3 dan Utu­san Malaysia minggu lalu berkaitan kes saman fitnah yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kenyataan berunsur fitnah yang disiarkan dan diterbitkan pada tahun 2013.

Walaupun kehadiran media sosial telah membantu rakyat Malaysia memperoleh maklumat yang lebih pelbagai dan menjadi lebih matang dalam membuat keputusan seperti yang kita saksikan dalam pilihan raya umum ke-13 dan ke-14, namun ia tidak mencukupi.

Ini kerana media sosial adalah media yang tiada batas dan tiada proses pengesahan, lantas mudah di­salahgunakan untuk menyebarkan berita yang tidak berasas. Oleh itu, media massa tradisional juga yang masih memainkan peranan penting untuk menyiarkan laporan-laporan yang benar.

Semoga dengan ulang tahun ke-31 Ops Lalang baru-baru ini yang secara kebetulannya disambut dengan wawancara Al-Jazeera bersama Najib, Malaysia Baharu akan terus maju dengan media yang bebas dan berkualiti, seterusnya memangkin pembinaan masyarakat yang lebih maklum dan membangun.* Dyana Sofya

Ahli Eksekutif DAPSY Kebangsaan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.