Propaganda LGE burukkan Kelantan, PAS
Oleh DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIR
PERMOHONAN pendahuluan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan adalah bridging loan
yang bersifat pinjaman jangka pendek bagi mengatasi keperluan aliran
tunai yang bersifat sementara sambil menunggu dana lain yang akan
diperoleh.
Pinjaman ini dibuat selari dengan
perutukan perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan
Persekutuan untuk memberikannya kepada Kelantan sesuai dengan semangat
federalisme sekalipun Kelantan ditadbir oleh pembangkang di peringkat
Persekutuan. Ia juga adalah amalan biasa bukan sahaja bagi Kelantan.
Lim Guan Eng tidak wajar bersandiwara,
meletakkan Kerajaan Negeri Kelantan seolah-olah mengemis daripada
Kerajaan Persekutuan sedang ia merupakan tanggungjawab Kerajaan
Persekutuan sebagai imbalan kepada segala cukai yang dikutip oleh
Kerajaan Persekutuan daripada rakyat Kelantan.
Semangat federalisme yang ditegaskan
oleh Perdana Menteri dalam ucapan Kajian Separuh Penggal RMK11 tidak
wajar dikhianati oleh Menteri Kewangan menerusi sandiwara bertaraf
kebudak-budakan.
Tidak timbul isu bahawa Kelantan secara
kewangannya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji kepada
kakitangannya sebagaimana dakwaan murahan Menteri Kewangan. Bahkan,
prestasi pengurusan kewangan Kelantan boleh dikatakan adalah lebih baik
berbanding negeri-negeri lain dan Kerajaan Persekutuan sendiri.
Kelantan dengan peningkatan pungutan
hasil sebanyak RM566.52 juta pada 2017, hasil daripada proses
pendaftaran tanah yang meningkat kepada RM44 juta atau 58% melebihi
anggaran RM28 juta, berjimat sebanyak RM2.9 juta perbelanjaan mengurus
dan surplus yang dianggarkan sebanyak RM38.76 juta menjadi bukti bahawa
negeri yang telah ditadbir oleh PAS selama 28 tahun ini mempunyai
kemampuan untuk menunaikan kewajipan terhadap kakitangannya.
Sebenarnya LGE masih belum sedar bahawa
beliau bukan lagi pembangkang. Malah, sebenarnya LGE masih meneruskan
strategi lapuknya memanipulasi fakta untuk melancarkan propaganda bagi
memburuk-burukkan Kelantan kerana dendamnya yang mendalam terhadap PAS;
strategi sama digunakan dalam isu hutang negara demi menutup kegagalan
Pakatan Harapan menunaikan janji dalam Buku Harapan.
“Islam Memimpin”
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRIAhli Parlimen Kuala Nerus




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.