Semakan harga gas hanya terpakai untuk GPHD
KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd menjelaskan bahawa, semakan semula harganya hanya terpakai kepada perkhidmatan Penghantaran Gas Petronas ke Rumah (Gas Petronas Home Delivery) (GPHD) dan semata-mata untuk caj penghantaran bagi tempahan yang dibuat melalui Pusat Panggilan Mesralink.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas Dagangan menyebut, caj penghantaran itu disemak semula sejajar kadar pasaran daripada RM3.20 untuk silinder 12kg dan 14kg sebelumnya kepada RM8.20 untuk silinder 12kg dan RM8.40 untuk silinder 14kg.
“Harga untuk ambil sendiri di pengedar berdaftar Gas Petronas dan kedai runcit kekal seperti harga yang ditetapkan kerajaan, masing-masing sebanyak RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 untuk silinder 14kg,” kata kenyataan itu.
Harga semasa di laman web GPHD menyenaraikan RM25.80 untuk silinder 12kg dan RM29.80 untuk silinder 14kg bagi wilayah tengah, sementara wilayah selatan, timur dan utara harga bagi kedua-dua silinder berkenaan masing-masing adalah RM25.20 dan RM29.
Dilaporkan bahawa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengeluarkan kenyataan hari ini berkenaan perkara ini. - Bernama
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.