https://critoxium.com/shop/

Terkini

Abim cadang kerajaan sertai ICERD sebelum tandatangan, ratifikasi

PETALING JAYA: Di sebalik penolakan beberapa NGO Islam berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mencadangkan kerajaan menyertainya terlebih dahulu.

Timbalan Presiden Abim, Mohd Khairul Anwar Ismail berkata terdapat 3 tahap dalam ICERD iaitu penyertaan, tandatangan dan ratifikasi.

“Saya berpandangan kerajaan boleh membuat kesertaan terlebih dahulu sebelum membuat pertimbangan untuk tandatangan kemudian ratifikasi,” katanya

Beliau berkata demikian dalam pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini, berhubung hasrat Malaysia untuk meratifikasi ICERD.
Selain Khairul yang mewakili ABIM, beberapa ilmuan, siswa, peguam dan NGO Islam lain turut menyertai pertemuan selama 3 jam yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, minggu lalu.

Khairul berkata, banyak tanggungjawab yang diperuntukkan dalam ICERD yang boleh dipenuhi kerajaan.

Bagaimanapun katanya, terdapat perkara yang perlu diberikan perhatian kerajaan seperti Perkara 1(4) dan 2(1)(c) membabitkan keistimewaan kepada mana-mana kaum, Perkara 5(d)(vii) hal berkaitan dengan kebebasan beragama dan Perkara 5(e)(vii) penyertaan yang saksama dalam aktiviti kebudayaan.

Beliau menambah, pertemuan yang diadakan bersama Mujahid lebih tertumpu kepada pengumpulan “input” serta pandangan daripada pelbagai pihak sebelum langkah seterusnya dibuat.

Bagaimanapun, Khairul berkata Mujahid turut memberikan pendiriannya kerajaan tidak meletakkan jangka masa untuk menandatangani ICERD dan pertimbangan kerajaan masih lagi meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai penanda aras tertinggi.

“Tindakan daripada kerajaan memberi pertimbangan kepada menjaga agama yang mana tidak akan menjejaskan agama Islam,” katanya.

Khairul juga menafikan dakwaan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mengatakan pertemuan bersama Mujahid pada 7 November lalu, hanya 5 orang menyokong dan 15 lagi menolak ICERD.

“Saya ingat Zainul Rijal meletakkan 5 orang menyokong dan 15 menolak bagi saya tak tepat. Memang malam itu ada 1, 2 yang tolak habis, sokong terus pun ada beberapa orang. Contohnya yang menolak Ikatan Muslimin Malaysia (Isma),” katanya sambil menambah tidak ada hitam putih mengenai keputusan terbabit.

Beliau berpendapat, pada malam itu terdapat 3 kumpulan yang menyokong ICERD secara mutlak, yang menolak secara total dan lebih objektif dalam memberikan pertimbangan, pilihan, membuka ruang perbincangan, dialog dan konsultasi.

Sebelum ini Zainul Rijal mendakwa 15 peserta yang menghadiri perjumpaan bersama menteri agama itu menolak ratifikasi ICERD sementara 5 lagi menyokong.

Beliau yang turut menyertai perbincangan meja bulat itu turut melahirkan rasa terkejut apabila wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memberi amaran kepada NGO Islam yang menolak ICERD sebagai tidak bertamadun.

“Ucapan wakil Suhakam sangat mengejutkan kerana seolah memberi amaran kepada kami dan sudah hilang hak asasi manusia untuk menyatakan pendirian kami dan seolah terus menghukum NGO Islam ingin memecah perpaduan dan tidak bertamadun. Suhakam mahukan kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD,” kata Zainul Rijal.

ICERD bercanggah objektif perlembagaan

Manakala, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader menolak ratifikasi ICERD, menyatakan ia bercanggah dengan objektif perlembagaan negara termasuklah Enakmen Tanah Rezab Orang Melayu.
“Kita tidak boleh terima kerana setiap negara ada masalah dan kepentingan sendiri lantas bila ada keutamaan diberikan kepada satu kaum, ia adalah atas dasar dan keperluan kaum itu berdasarkan sejarah dan asal usul kaum itu yang diberi perlindungan oleh perlembagaan.

“Hak-hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu tidak boleh dihapuskan kerana ia jamin oleh ‘Reid commission’ yang menggubal perlembagaan berlandaskan kepada dasar bahawa Tanah Melayu adalah satu negara majmuk yang didiami pelbagai kaum.

“Justeru itu, hak asasi dan kepentingan kaum pribumi yang dijamin berpuluh tahun tidak boleh diabaikan atau dihapuskan,” katanya.

Akberdin berkata beliau menyokong penuh kenyataan bekas ketua hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang berkata keutamaan perlu diberikan kepada apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Termasuklah jaminan kepada Orang Melayu, Agama Islam dan sistem Raja Berpelembagaan,” katanya.

Suhakam jangan sokong membuta tuli

Mengulas pendirian Suhakam supaya kerajaan menandatangani ICERD sepertimana didakwa Zainul Rijal, Akberdin berkata keseimbangan sosial perlu diutamakan badan hak asasi itu, bukan hanya memperjuangan prinsip universal hak asasi semata-mata.

“Suhakam perlu faham keseimbagan sosial adalah kritiria utama bukan sekadar prinsip universal hak asasi semata mata.

“Selama ini dengan adanya hak-hal ini ia sama sekali tidak mencabul hak-hak kaum-kaum lain. Jadi kenapa perlu mengusik status quo yang sedia ada yang berjalan seperti biasa sejak kemerdekaan.

Suhakam perlu peka kepada realiti bukan semata mata dengan membuta tuli mengagung-agungkan prinsip universal hak asasi,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.