https://critoxium.com/shop/

Terkini

Diskusi dan birokrasi

Oleh Muhammad Faiz Kamaruddin

Baru-baru ini kecoh tentang pembatalan program diskusi yang sepatutnya menampilkan Hishamuddin Rais sebagai pembentangnya. Perbincangan tersebut yang bertajuk “Mahathir vs Anwar lagi?”, sudah pasti dapat diagak bakal menyentuh sepak terajang politik di antara 2 figura besar politik tersebut.

Namun program tersebut gagal diteruskan setelah petugas keselamatan Uiversiti Kebangsaan Malaysia mengarahkan ia dibatalkan atas “arahan pengurusan”.

Kebebasan akademik seolah-olah telah “ditangkap dan diterajang” (meminjam kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari) seterusnya dibakulsampahkan apabila Naib Canselor UKM pula mendakwa program tersebut “tidak ada dalam sistem UKM” dan “tidak menempah sudut pidato”.

Jelaslah itulah “kesilapan” penganjur yang tidak mahu menempah sudut pidato dan mendaftarkan program tersebut, mungkin untuk mendapat markah atau merit, bak kata Hishamuddin Rais, “hanya Guru Nanak sahaja yang tahu”.
Apalah ertinya kebebasan akademik dengan surat sekeping untuk memohon kebenaran? Alasan ini sangat dangkal, tidak masuk akal. Hanya kerana ketiadaan surat sekeping, maka program tersebut merupakan satu ancaman kerana tiadanya “pas keselamatan”.

Mungkin selepas ini pihak penganjur, iaitu Diskopi dan Kawah Buku perlu belajar menulis surat dan membiasakan diri dengan hal tersebut.

Menurut pihak yang mendakwa diri mereka “benar” dan berada di pihak Naib Canselor terbabit, ini merupakan model demokrasi dan kebebasan yang “baik”, kerana semua pihak berada dalam aturan dan bidang kuasa masing-masing.

Nampaknya mereka yang “benar” ini belum cukup lama bercakap soal aktivisme intelektual. Mungkin mereka tidak mengenal apakah itu diskusi santai, atau tidak pernah menghadiri program dalam format sebegini.

Justeru, mereka dengan lantang mengkritik program-tidak-bersurat ini sebagai sesuatu yang hodoh dan gelojoh di sisi akademik, seolah-olah mereka orang yang beretika dan bertamadun, hanya kerana menulis sekeping surat memohon kebenaran.

Mungkin ramai yang tidak tahu, proses memohon sekeping surat kebenaran ini merupakan antara kawalan paling berkuasa untuk menentukan kelulusan sesuatu program. Usah bercakap soal program yang sudah lulus, itu semua tidak menggugat kepentingan pemerintah atau pihak berkepentingan.

Tidak ada keperluan bagi organisasi tidak rasmi dan tidak mempunyai keahlian langsung pun, untuk memohon surat kebenaran kerana inilah resmi diskusi, perbincangan santai dan informal, dengan format yang fleksibel dan bertemakan kebebasan.

Seandainya pihak yang berasa “benar” itu tahu bahawa keperluan sekeping surat ini merupakan taktik manipulasi ke atas kebebasan mahasiswa membuat keputusan, pasti mereka tidak akan mengetik papan kekunci meluahkan persetujuan dengan kenyataan Naib Canselor berkenaan.

Malahan, daripada pengalaman berada di kampus menunjukkan banyak aktiviti diskusi yang dijalankan dengan jayanya tidak perlu surat menyurat pun. Banyak daripadanya menampilkan aktivis mahupun intelektual awam seperti Fathi Aris Omar, Hazman Baharom, Imran Rashid, CWI dan entah berapa ramai lagi yang dijemput menghadiri kumpulan diskusi di UKM.

Tradisi diskusi ini telah lama berjalan begini. Apakah keperluan surat menyurat untuk perbincangan santai tetapi berisi sebegini? Proses merekonstruksi tradisi diskusi ini merupakan satu tindakan yang sia-sia. Ia cuba untuk mengawal mahasiswa dan tidak rasional dari sudut kebebasan mahasiswa dan akademik.

Apakah sebenarnya mereka yang cuba dipertahankan oleh mereka yang mendakwa “benar” dan “rasional” ini? Semangat kebebasan akademik atau sosok yang memayungi mereka selama berada di kampus? Mana satu merupakan kepentingan sebenar mahasiswa?

Bacalah lebih banyak buku,. Libatkan diri dalam program sebegini. Ketahuilah serba sedikit hal ehwal sekeliling dan beranikan diri meneroka ilmu yang lebih luas.

Sekadar duduk di dewan kuliah atau berada di saf kepimpinan tinggi mahasiswa, kemudian dengan lantang mengkritik aktiviti diskusi hanya kerana kegagalan mengikuti Prosedur Operasi Standard (yang sebenarnya tidak perlu) atau kerana ketiadaan sekeping surat kebenaran.

Janganlah berpura-pura dan mendakwa diri intelektual dan pemimpin sekiranya anda berpihak kepada “penindas” dan “pembuli”. Usah lacurkan makna istilah mulia tersebut!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.