ICERD: Tolak naratif longgar
Oleh
Kenyataan enam tahun dahulu ini
disampaikan kepada sebahagian Ahli Parlimen di Belanda sebagai kaedah
mendapat sokongan agar Malaysia dikutuk dan dihina sebagai bukan negara
demokrasi yang adil. Ironinya, individu sama yang membuat kenyataan
berbaur perkauman, fitnah dan terang-terangan mensabotaj negara ini –
hari ini diangkat menjadi anggota kabinet di Malaysia.
Banyak pihak yang menggesa anggota kabinet ini
dipecat atau meletakkan jawatan. Itu belum tentu berlaku kerana kerajaan
hari ini ‘maksum’ dan kalis dosa politik. Gesaan dan desakan sudah
kurang laku.
Polemik keperluan Malaysia
meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk
Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi tajuk utama akhbar dan perbualan
rakyat mutakhir ini.
Banyak pandangan yang diberikan, baik menyokong
mahupun menidakkan kepentingan kita menjadi sebahagian daripada agenda
ICERD.
Kenyataan P. Waytha Moorthy (pada
masa itu aktivis Hindraf) di Belanda adalah suatu contoh paling klasik
bagaimana usaha penipuan dan propaganda mampu memberi kesan buruk kepada
negara. Bukanlah sesuatu yang mustahil, penerimaan ICERD akan mencambah
lebih banyak NGO yang memperjuangkan perkara-perkara yang ekstrem dan
melampau.
Malaysia digambarkan sebagai
sebuah negara yang tidak pernah menghormati bangsa dan agama lain.
Inilah negara yang paling akut menodai prinsip keadilan dan hak asasi
manusia. Malahan, dikatakan wujud paksaan menukar agama semata-mata mahu
mendapatkan sedikit akses kepada jaringan keselamatan sosial.
Semua
tuduhan yang dinyatakan bukan sahaja tidak benar malahan palsu sama
sekali. Ya, mungkin si jurucakap tersebut sudah menukar ‘pendirian’
selepas diberikan jawatan – namun kenyataan sabotaj seperti ini menuntut
bukan sahaja permohonan maaf, malahan sesuatu yang lebih tegas!
Ada
juga pihak yang memberi pandangan perlus dan longgar. Kononnya inilah
satu-satunya wahana untuk Malaysia mengembalikan ‘martabat’ sebagai
sebuah negara yang dihormati di pentas dunia.
Ratifikasi ICERD mahu
digambarkan sebagai ‘sentuhan Midas’ yang mampu menjulang Malaysia
sebagai jagoan baharu hak asasi.
Memang
benar, di peringkat serantau kita antara dua buah negara yang paling
sedikit meratifikasi instrumen antarabangsa. Namun, ini sama sekali
tidak memberi gambaran sebenar amalan pengurusan dan pentadbiran negara.
Hak semua kaum didengar dan diberikan layanan seadilnya.
Fakta asas, terdapat enam lagi instrumen antarabangsa yang belum diratifikasi oleh Malaysia: -
• International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR)
• International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR)
• Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman and Degrading Treatment or Punishment (CAT);
• International Convention on the Protection of the Rights of All Migrants Workers and Members of Their Families (ICMW)
• International Convention for the Protection of All Persons from Forced Disappearance (CPED)
• International Convention on the Eliminations of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).
Malaysia mempunyai pilihan yang cukup luas untuk terus mengkaji dan meneliti pilihan lain yang lebih wajar diberikan prioriti.
Hanya
24 negara di dunia yang sudah meratifikasi keseluruhan instrumen
antarabangsa yang disebutkan di atas - 24 daripada 197. Kurang lebih 12
peratus. Apakah dengan keadaan itu Malaysia perlu bergopoh-gapah dan
terburu-buru mencari pengiktirafan? Apa yang mahu kita buktikan
sebenarnya?
Penulis bersetuju dengan
pandangan Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri (Dr. Maza) berkenaan prinsip
dan realiti yang melingkari pelaksanaan ICERD. Yang penting dan paling
utama, adakalanya bukan niat ‘ratifikasi’, tetapi pengalaman sebenar
yang sedang berlaku di negara kita.
Tegas
Dr. Maza dalam artikel beliau, “...secara perbandingan, toleransi antara
kaum, khususnya kaum Melayu terhadap kaum-kaum yang dari sejarahnya
berasal dari luar, kualiti toleransi Melayu sekalipun tanpa ICERD jauh
lebih baik dari kebanyakan negara di dunia ini”.
Perdana
Menteri, para Menteri dan ramai kalangan pendukung kerajaan sudahpun
membuat pendirian bahawa ICERD bukanlah prioriti pada waktu dan ketika
ini. Malahan, ada yang menganggap ICERD ‘mencemaskan’ rakyat.
Sebagai
bekas anggota kerajaan yang menggerak aspirasi “hubungan antarabangsa”,
penulis bersetuju bahawa Malaysia perlu mengambil langkah yang jelas
dalam melonjak kedudukan Malaysia di garis atas Deklarasi Sejagat Hak
Asasi Manusia (UDHR).
Namun begitu, ICERD bukanlah satu-satunya cara. Pimpinan negara wajar meletakkan noktah kepada ketidaktentuan ini.
DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.