P. Waytha Moorthy, pemimpin Hindraf dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mencetuskan isu kontroversi mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) juga seorang peguam.

Isu ratifikasi ICERD ini pada pengamatan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL perlu diperjelaskan secara layman (yang boleh diikuti orang biasa).

Maka dalam mencari-cari peguam dalam kalangan barisan pembangkang, bertemulah saya dengan Ahli Parlimen Bera, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB.

Tanpa berselindung, Naib Presiden UMNO itu menjelaskan agenda di sebalik kehendak meratifikasi ICERD. Beliau menghuraikan dalam bentuk bahasa yang mudah, tidak berbelit-belit . Ikuti temubual 20 minit akhbar ini - yang khabarnya masih terus dibaca, diikuti perkembangannya oleh orang Melayu, kalangan pemimpin UMNO dan PH - dengan beliau di Petaling Jaya semalam.
 
WARTAWAN:Adakah Datuk Seri terasa kebelakangan ini timbul isu-isu yang sensitif kepada orang Melayu dan Islam?

ISMAIL SABRI: Sebelum ini heboh penyebaran bible di sekolah. Sekarang saya dengar sudah mula letakkan dekat masjid. Ini suatu tindakan yang boleh mengundang perbalahan kalau tidak disekat.

Dari segi Perlembagaan, walaupun kebebasan beragama diamalkan di negara ini tetapi mereka tidak boleh sebarkan agama lain kepada orang Islam. Ini begitu jelas dalam Perlembagaan. Tapi nampaknya tidak dipedulikan.

Juga, kalau dahulu di premis-premis kerajaan yang menjalankan perniagaan, makanan tidak halal tidak dibenarkan tetapi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), produk tidak halal ini diletakkan sebaris dengan produk halal. Ini tunjukkan Islam semakin dicabar selepas PH memerintah.

Sudah tentu isu kontroversi ratifikasi ICERD ini diikuti secara dekat, apa pengamatan Datuk Seri?

ICERD telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan (ratified) mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Tapi Malaysia waktu itu walaupun tahu pasal ICERD, kita bukan sahaja tidak pernah mencadangkan ia diratifikasi malah tiada sesiapa pun bercakap pasal ICERD. 

Meskipun selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad mentadbir negara ini, ia tidak pernah ditimbulkannya.

Namun secara tiba-tiba PH memerintah, mereka timbulkan ICERD. Mereka tahu perkara ini sensitif tidak pernah disentuh sejak merdeka. Ini kontrak sosial untuk jaga orang Melayu. Ia taboo, tiada siapa sebut. Tapi selepas menang, berani secara terbuka timbulkan.

Jika ICERD dilaksanakan, kita terpaksa pinda, batalkan Perkara 153. Antaranya, Perkara 8(4)(f) menjelaskan Rejimen Askar Melayu Tentera Diraja Malaysia hanya untuk orang Melayu terpaksa dimansuhkan. Begitu juga Perkara 89 yang memperuntukkan Tanah Rizab Melayu (TRM) sebagai salah satu bentuk pemilikan tanah yang dikhususkan kepada komuniti natif Melayu. Maknanya, perkara-perkara yang menyentuh keistimewaan pendidikan di UiTM, adanya dana pinjaman pelajar Mara, biasiswa, kontraktor kelas F, PNB dan ASN yang berdasarkan Perkara 153 semua akan disentuh.

Sebenarnya tidak ada sebab ICERD mahu ditandatangani kerana dalam negara ini semua kaum tidak disekat untuk tuntut hak mereka. Sebab itu ada MCA, MIC, DAP dan Parti Gerakan yang berjuang untuk kaum masing-masing.

Tapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy cakap lain pula. Dia pernah mengatakan Malaysia melakukan penindasan teruk terhadap kaum India, kuil-kuil dimusnahkan, banyak orang India dipaksa tukar agama. Bahkan, dia mendakwa dasar-dasar kerajaan UMNO dulu telah banyak menghalang majoriti masyarakat India berada dalam arus perdana pembangunan negara. Benarkah?

Dia bohong besar. Takkanlah dia tidak nampak hasil keprihatinan kerajaan BN diterajui UMNO kepada masyarakat India. Sejak sekian lama kaum India tidak diabaikan. Bukankah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dilancarkan sebagai bukti kesungguhan kerajaan BN untuk terus membangunkan taraf hidup kaum India di negara ini? Maknanya perjuangan itu nampak. Demikian juga kerajaan Malaysia tidak pernah abaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan SJK Cina dalam meluluskan peruntukan setiap kali pembentangan bajet. Dan saya percaya negara-negara yang menandatangani ICERD tidak akan memberi keistimewaan ini - tidak boleh buka sekolah Cina.

Tapi bak kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, ratifikasi ICERD perlulah dilakukan bersyarat iaitu tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan. Benarkah semua ini termasuk ada pengecualian?

Cuba sesiapa semak Perkara 2 Fasal 1 ICERD yang menyebut mana-mana kerajaan hendaklah antara lain berusaha untuk hapuskan diskriminasi kaum dengan segera termasuk pinda, batal dan mansuhkan undang-undang yang ada sangkut-paut dengan diskriminasi kaum. Soalnya, kita kelak akan mengesahkan perkara-perkara yang ditetapkan dengan jelas dalam ICERD. Untuk membuat pengecualian, ia mesti mendapat persetujuan dua pertiga daripada negara yang tandatangani ICERD. 

Kalau mereka tidak setuju, bukan kuasa kita untuk kecualikan mana-mana undang yang diskriminasi kaum. Kesan ratifikasi ini, kita sudah terikat dengan janji-janji di peringkat antarabangsa iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini bermakna PBB boleh beri tekanan pada kita yang akhirnya untuk hapuskan apa yang ada, walaupun kita kata hendak pinda Perkara 153 ini mesti dibawa ke Parlimen atau perlu perkenan Majlis Raja-raja. Tapi tekanan antarabangsa akan bermula apabila kita ratifikasi ICERD. Bila diperiksa oleh badan dunia itu, kita akan hadapi masalah.

Saya difahamkan, setiap empat tahun sekali, jawatankuasa badan dunia itu akan selaraskan pelaksanaan ICERD. Mereka akan minta laporan daripada negara-negara yang tandatangani ICERD. 
 Periksa dan senaraikan apa yang belum dilaksanakan. Maka apa istimewanya Malaysia untuk dikecualikan?

Apa kesan ICERD kepada rakyat Malaysia?

Di peringkat dalaman atau domestik, sebaik saja kita tandatangan ICERD, maknanya kerajaan sudah beri isyarat salah kepada rakyat bahawa dari segi jangka panjang kerajaan bersetuju untuk batalkan hak istimewa orang Melayu. Kalau tidak mahu buat (batal/hapuskan), buat apa hendak tandatangan jika tidak ada cita-cita untuk hapuskan 153.

Ini juga beri ruang kepada rakyat tanpa segan silu bicarakan secara terbuka apa bentuk justifikasi perkara-perkara yang sensitif seperti tentang Raja-raja Melayu serta Perkara 3 iaitu Islam ialah agama Persekutuan. Walaupun tidak dimansuhkan, rakyat boleh bercakap secara terbuka perkara-perkara ini sebab konvensyen ICERD ini memang ke arah itu.

Pada masa sama, kesan terhadap Raja-Raja Melayu juga cukup besar. Perkara-perkara melibatkan hak istimewa, kuota, permit dan lesen, itu tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan semua perkara itu dilaksanakan. Contohnya Perkara 153 (1) memberikan tanggungjawab kepada Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Jika ICERD menghapuskan keistimewaan ini, bermakna Yang di-Pertuan Agong tidak ada fungsi sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam.

Sebab itu saya anggap ratifikasi ICERD ini sebagai usaha dari ‘pintu belakang’ untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu, Islam dan kuasa Raja-raja Melayu.

Tidak perlulah buat muslihat begini. Ini satu perangkap.

Kita bimbang kalau ICERD diratifikasi atau disahkan, rakyat khususnya orang Melayu yang terkenal dengan toleransi mereka akan bangkit. Sabtu lepas di Pasir Salak dihadiri hampir 50,000 orang. Saya khuatir gelombang yang sederhana ini akan menjadi tsunami pada 8 Disember nanti. Maka saya serulah kerajaan PH jangan lengah-lengahkan untuk batalkan saja ratifikasi ICERD ini.