https://critoxium.com/shop/

Terkini

ICERD: Waspada muslihat pelampau politik

Oleh HAFEZ SABRI

KETEGASAN Mufti, Tan Sri Dato' Seri (Dr) Harussani Zakaria menyanggah keperluan ratifikasi ICERD menjadi peringatan penting yang tidak boleh dipandang ringan semua pihak. Sekiranya ICERD disahkan, ia bakal merombak asas-asas negara, seterusnya meruntuh segala aspek yang telah dibina selama ini.

Terutama kehidupan rakyat pelbagai bangsa yang telah disatupadukan secara harmoni dan mewarnai negara selama lebih 60 tahun. Ia terbangun dari seruan "Li ta'arafu" dibawa Islam yang merupakan pegangan rasmi awal penduduk majoriti tanah berdaulat ini. Menjadikan mereka "Ummatan wasatan" contoh di rantau ini.

Malangnya mutakhir ini, ahli-ahli politik yang baharu menerajui tampuk kerajaan, semakin ghairah menjayakan motif sempit penguasaan ke atas pihak lain. Agenda cuba dijayakan akan menjadikan mereka penjajah ke atas bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, negeri dan agama ini.

Namun, secara sulit mereka memperalatkan ruang demokrasi, sokongan dan kepercayaan rakyat dengan doktrin-doktrin halus, kononnya atas nama 'kesamarataan'. Walhal, hubungan toleransi, kompromi dan diplomasi yang memeterai selama ini adalah manifestasi hati budi nan suci.

Tidak pernah mana-mana bangsa minoriti, sekalipun berawal asalnya dari negara lain, ditindas atau dizalimi oleh bangsa majoriti. Bahkan, bumi bertuah Malaysia ini telah mempersaudarakan, menjamin keamanan dan berkongsi banyak pemilikan, kerana tingginya tolak ansur dari warga pertiwi asal.

Oleh itu, anasir melampau yang cuba dihembus suntik dalam roh masyarakat Malaysia dari tujuan dan hasrat pihak tertentu menerusi ratifikasi ini wajib ditentang sama sekali. Ia cenderung membawa kepada implikasi gugatan dan ancaman yang bakal memusnahkan negara ini di masa depan.

Kami dengan ini menyeru kepada semua pihak untuk bersatu menolak cadangan ratifikasi tersebut. Kami juga menyatakan kebersamaan dan sokongan serta ikrar berdiri teguh dengan pihak Mufti, termasuk para ulamak, umat Islam, bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia yang seia sekata membantah agenda ratifikasi ICERD.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
"Terus Berjuang"
USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.